Ahad, 14 April 2013

12 CARA MENDAPATKAN DOA MALAIKAT

    
Sewaktu berkursus di Institut Aminuddin Baki baru-baru ini, saya sempat mengunjungi pameran buku yang diadakan di sana sewaktu 'tea time' dan membeli sebuah buku yang bertajuk 12 CARA MENDAPATKAN DOA MALAIKAT, karya Dr.Haji Johari Haji Alias.

       Saya  berasa terpanggil untuk berkongsi dengan saudara- saudari, muslimin dan muslimat tentang bagaimana untuk kita mendapat doa daripada malaikat ini agar dengan doa daripada malaikat kita akan beroleh keampunan Allah, disayangi  oleh Allah seterusnya memperoleh hidup yang sejahtera di dunia dan akhirat.

      Menurut istilah bahasa, malaikat adalah bentuk jamak daripada kata 'mulk' yang bererti kekuatan. Jadi malaikat adalah kekuatan-kekuatan yang patuh pada ketentuan dan perintah Allah SWT.

      Menurut istilah, malaikat adalah salah satu jenis maklhluk Allah SWT yang diciptakan untuk taat dan beribadat kepada-Nya serta mengerjakan semua tugas-tugas-Nya.  
Hal ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiyaa:19-20 yang bermaksud;
"Dan segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri daripada beribadat kepada-Nya, dan tidak pula mereka  merasa penat dan letih. Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhati-hati"

Malaikat adalah makhluk yang suci, tiada noda dan dosa. Doa mereka tiada hijab dan terus dikabulkan oleh Allah

BERIKUT ADALAH SENARAI ORANG YANG DIDOAKAN OLEH MALAIKAT:

1.         ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN SUCI (BERWUDUK)

Rasulullah SAW  bersabda, "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa, 'Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.'"

(Direkodkan oleh Ibnu Hibban daripada Abdullah bin Umar. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih at Targhib wat Tarhib, I/37)
 

2.    ORANG YANG DUDUK MENUNGGU WAKTU SOLAT 

Rasulullah s.a.w bersabda, "Apabila salah seorang di antara kamu duduk menunggu solat dalam keadaan suci, para malaikat mendoakannya, 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah, sayangilah ia."
 (Direkodkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah, Sahih Muslim no. 469)


3.    ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang yang berada di saf pertama."

(Direkodkan oleh Abu Daud (dan Ibnu Khuzaimah) daripada Barra bin Azib. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud, I/130)


4.    ORANG YANG MENYAMBUNG SAF SOLAT

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf-saf."

(Direkodkan oleh Ahmad,Ibnu Majah,Ibnu Khuzaimah,Ibnu Hibban dan al-Hakim daripada Aisyah. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih at-Targhib wat Tarhib, I/272)


5.    SEMASA PARA MALAIKAT MENGUCAPKAN 'AMIN'

Rasulullah s.a.w bersabda, "Apabila seorang imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaallinn',    maka ucapkanlah oleh kalian "amin".  Sesiapa yang ucapannya itu bersamaan dengan ucapan malaikat, maka akan diampuni dosanya yang lalu."

(Direkodkan oleh Bukhari daripada Abu Hurairah, Sahih Bukhari no. 782)


6.    ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA

Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat akan selalu berselawat (berdoa) untuk orang yang berada di tempat dia melakukan solat, selama dia belum batal wuduknya. (Para malaikat) berkata,   "Ya Allah, ampunilah dan sayangilah dia."   

  (Direkodkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah, al-Musnad no.8106, Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)


7.    ORANG YANG SOLAT SUBUH DAN ASAR BERJAMAAH

Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal.

Lalu Allah bertanya kepada mereka, "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab, 'Kami datang semasa mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka  semasa mereka melakukan solat, maka ampunilah mereka pada  hari kiamat."

(Direkodkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah, al-Musnad no. 9140.Hadis ini disahihkan oleh Ahmad syakir)


8.    MENDOAKAN SAUDARANYA

Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya itu, adalah doa yang akan dikabulkan. Di kepalanya ada malaikat yang menjadi wakil untuknya. Setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kabaikan, maka malaikat itu berkata'Amin, dan engkau pun mendapat apa yang ia dapat.'"

(Direkodkan oleh Muslim daripada Ummu Darda, Sahih Muslim no.2733)


9.    ORANG YANG BERINFAK

Rasulullah SAW  bersabda, "Setiap pagi, pada diri seorang hamba ada dua malaikat yang turun kepadanya. Satu daripadanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti untuk orang yang berinfak.' Dan yang lain berkata,  'Ya Allah,hancurkanlah harta orang yang kedekut."

(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Sahih Bukhari no. 1442 dan sahih muslim no.1010)


10.    ORANG YANG BERSAHUR

Rasulullah SAW  bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (berdoa) untukorang yang bersahur."

(Direkodkan oleh ibnu Hibban dan Thabrani daripada Abdullah bin Umar.
Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih at-Targhib wat Tarhib, 1/519)

11.    ORANG YANG MENGUNJUNGI ORANG SAKIT

Rasulullah SAW bersabda,  "Apabila seorang mukmin menjenguk saudaranya, Allah akan mengutus 70 000 malaikat bagi berselawat kepadanya pada waktu siang hingga petang dan waktu malam hingga subuh."

(Direkodkan oleh Ahmad daripada Ali bin Abu Thalib, al-Musnad no.754, Ahmad Syakir berkomenter, sanadnya sahih)

12.   ORANG YANG MENGAJARKAN KEBAIKAN

Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan orang alim atas ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas orang yang paling rendah antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubang serta ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain."

(Direkodkan oleh Tirmizi daripada Abu Ummah al-Bahily, disahihkan oleh al-Albani dalam kita Sahih at-Tirmizi 11/343

**********************************
         Tuntasnya, hidup di dunia ini adalah bagi menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Justeru, kita harus mengambil peluang atas limpah kurniaan Allah SWT kepada kita ini.

       Mungkin ramai antara kita yang melakukan antara 12 cara yang mendapat doa daripada malaikat tetapi kita tidak tahu bahawa perbuatan kita itu mendapat doa daripada malaikat . 

      Bagi yang berilmu iaitu yang sudah tahu akan hal ini, diharapkan mengambil peluang semaksimum mungkin untuk mendapat ganjaran iaitu doa daripada malaikat untuk kita, contohnya datang awal ke masjid untuk mendapat saf hadapan ataupun jika melihat saf terputus, cepat-cepat menyambungkan saf  tersebut, jika mendengar rakan atau saudara kita yang sakit, luangkanlah masa untuk menziarahi mereka, dalam solat-solat kita doakanlah untuk adik-beradik kita, saudara-mara, rakan-rakan serta guru kita, sentiasa bersedekah (berinfak), menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan lain-lain lagi.

     Sementara kita masih bernafas dan kudrat masih kuat, carilah ilmu sebanyak mungkin terutama ilmu agama agar segala tindakan dan seluruh hidup kita menjurus kepada tindakan dan
kehidupan yang bersyariat.

   Semoga kita semua, muslimin dan muslimat menjadi penghuni Jannah di akhirat kelak...in shaa Allah...

Astaghfirullah...aku mohon keampunan-Mu ya Allah jika ada kesilapan dan dosaku...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan