Jumaat, 12 April 2013

SUCINYA WAJAH IBU

Sempena cuti CNY, aku sekeluarga pulang ke kampung menziarahi ibuku. Tatkala masuk waktu maghrib, kami bersedia utk berjamaah bersama-sama. Anak -anakku bergilir-gilir mengambil wuduk di bilik air. Anak-anak yg siap mengambil wuduk mula mengerjakan solat sunat sebelum maghrib termasuk aku dan ibuku. Kami berdiri dalam saf menunggu anakku uda yg tengah solat sunat maghrib (qabliatan)...ibuku juga berdiri.

Kemudian ibuku berkata kepadaku, "mak duduk dululah, mak tak larat berdiri lama", lalu dia duduk di kerusi sementara menunggu uda selesai solat sunat.

Aku menghampiri ibuku dan duduk menghadapnya. Aku berkata kepadanya, " mak...kalau solat sunat, mak duduk pun tak apa, kalau mak tak larat, solat fardu mak berdirilah..." Ibuku mengangguk mengeyakannya sambil tersenyum. Sebenarnya tujuanku adalah supaya ibuku tidak memaksa dirinya berdiri bagi mengerjakan solat sunat qabliatan sedangkan dia tidak larat dan apabila tiba untuk menunaikan solat fardu, dia sudah tidak berdaya untuk berdiri. Keutamaannya adalah pada solat fardu.

Tatkala aku bercakap dengan ibuku itu, aku memandang wajahnya, KU LIHAT BETAPA SUCI DAN BERSIHNYA WAJAH IBU DALAM KESEGARAN WUDUK. Hatiku tiba-tiba diulik rasa sayu yang teramat sangat. Terasa sebak di dalam dada apabila mengingatkan kepiluan dan kesedihan hati ibuku dek satu persatu peristiwa sedih yang dialaminya.

Hatiku berkata, " entah berapa lama lagi kami berpeluang merasai kasih sayangnya. Entah berapa lama lagi kami berpeluang mendapat doa daripadanya untuk keberkatan hidup kami" ...perasaan sayu menekan ulu hati. Hati ini terasa relah tatkala memandang wajah suci ibu...

Dalam kekusyukkan solat maghrib berjamaah pada malam itu, aku berdoa dalam sujudku, " Tuhanku, aku sangat sayang ibuku. Engkau panjangkanlah umurnya. Kami belum puas merasai kasih sayangnya. Tuhanku...,kami ingin merasai kasih sayang ibu lebih lama lagi... bagilah kami peluang yang sebanyak-banyak dan seluas-luasnya untuk berbakti kepadanya sebelum ibu menutup mata" ...airmataku bergenang dalam sujudku pada waktu maghrib itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan