Rabu, 9 Oktober 2013

TEKS UCAPAN KETUA MURID SEMPENA MAJLIS PERTUKARAN PENGETUA-'MAJLIS SEIKHLAS HATI, SETULUS BUDI & LAMBAIAN KASIH

Assalamualaikum wbt wrt, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

Terima kasih kepada saudara/i Pengerusi Majlis. Yang diraikan Tuan Haji Abdullah bin Mohd. Yusof, Pengetua SMK Seri Raub, Yang berusaha GPK Pentadbiran, Hajah Rodeyah binti Ahmad, GPK HEM, Encik Zainal Abidin bin Eya, GPK Kokurikulum, Encik Abdul Rahman bin Sani, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-guru Cemerlang, guru-guru, AJK PIBG , rakan-rakan serta hadirin warga dewan yang dikasihi sekalian.

     Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama meraikan majlis perpisahan yang sangat bermakna dan penuh erti pada hari ini.

Hadirin Warga Dewan yang Dihormati,

     Dalam salah satu tulisan karya agung Johann Paul Friedrich Ritcher iaitu seorang penulis masyhur dari Jerman ada menyatakan bahawa "man feelings are always purest and most glowing in the hour of meeting and farewell". Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan , yang pastinya setiap perpisahan pasti amat menyedihkan.

     Hari ini, kami berasa terharu dan sedih kerana bakal kehilangan seorang Pengetua yang amat kami sayangi dan kasihi. Pada kami, Tuan Haji Abdullah bukan sahaja sebagai seorang Pengetua tetapi ibarat seorang bapa dalam sebuah keluarga besar SMK Seri Raub.

Hadirin yang Dihormati,

     Memory is a way of holding onto the things you love, the things you are, the things you never want to lost. Itulah pengetua kita, Tuan Haji Abdullah bin Mohd Yusoff, lembut, tenang namun tetap tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Itulah butir-butir kata yang dapat digambarkan mengenai Tuan Pengetua kita.

     Beliau bukan sahaja penyayang, melakukan tugas dengan hati yang tulus, malah mementingkan kebajikan pelajar. Beliau juga seorang yang berhati murni dan senantiasa memberikan yang terbaik buat para pelajar. Saya sering melihat beliau memantau keadaan pelajar di dalam kelas terutamanya kelas-kelas peperiksaan. Tindakan beliau telah menarik perhatian saya. Hal ini membuktikan bahawa beliau amat mengutamakan pelajar-pelajar di SMK Seri Raub supaya sentiasa fokus terhadap pembelajaran di dalam kelas.

     Sikap beliau yang boleh dibawa berbincang, 'easy going' dan tidak lokek untuk memberikan bantuan apabila diperlukan serta senantiasa berusaha mempermudahkan sesuatu urusan adalah kualiti peribadi yang perlu dicontohi dan diteladani oleh kita semua terutama warga SMK Seri Raub. Sebagai seorang pengawas,  saya berasa bangga dan terharu apabila beliau sanggup bersama-sama dengan barisan pengawas semasa mengadakan aktiviti Kem Kepimpinan  di Kem Sangka, Ulu Sungai yang lalu.

Warga Dewan yang Dikasihi,

     Pada kesempatan ini, saya sebagai wakil pelajar SMK Seri Raub merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Haji Abdullah bin Mohd Yusoff yang tidak pernah mengenal erti jemu mentadbir sekolah ini dan mengorbankan waktu demi kami pelajar-pelajar SMK Seri Raub. Kami berdoa semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada Tuan Pengetua. Semoga Tuan Pengetua akan terus mengekalkan usaha-usaha murni beliau dalam membentuk sahsiah diri yang mulia kepada para pelajar di sekolah baharu nanti.

     Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Benar kata pepatah Melayu,  yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti, namun yang hilang tidak akan sama dengan yang berganti. Walau bagaimanapun,  yang hilang akan tetap akan diingati, kekal abadi tersemat di hati.

     Saya juga berharap agar hubungan silaturrahim antara Ayahanda Tuan Pengetua dengan anak-anak didik dan warga SEMESRA  akan terus terjalin erat.  Sesungguhnya jasa dan budi yang ditabur tidak dapat dibalas dan tentunya akan dikenang sampai bila-bila.

          Pulau Pandan jauh ke tengah,
          Gunung Daik bercabang tiga;
          Hancur badan dikandung tanah,
          Budi yang baik dikenang jua.

          Tuai padi antara masak,
          Esok jangan layu-layuan;
          Intai kami antara nampak,
          Esok jangan rindu-rinduan.

          Buah pauh delima batu,
          Anak sembilang di tapak tangan;
          Walau jauh beribu batu,
          Hilang di mata, di hati jangan.

          Asap api embun berderai,
          Patah galah haluan perahu;
          Niat hati tak mahu bercerai,
          Kehendak Allah siapa tahu.

          Kalau ada sumur di ladang,
          Boleh kita menumpang mandi;
          Kalau ada umur yang panjang,
          In shaa Allah kita akan berjumpa lagi.

          Salam kemaafan kami hulurkan,
          Semoga kemesraan terus berpanjangan;
          Ilmu diberi harap halalkan,
          Semoga perjuangan kami mendapat keberkatan.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum wrt wbt.

         

Jumaat, 4 Oktober 2013

Karangan Umum PMR- Peranan Ibu Bapa dalam Membentuk Keluarga Bahagia

IBU BAPA MERUPAKAN KETUA DALAM INSTITUSI KELUARGA. HURAIKAN PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

     Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia ini tentang isu keluarga  bahagia. Keluarga bahagia merupakan keluarga yang berada dalam keadaan gembira, aman, sejahtera, tidak berlaku konflik atau pergaduhan antara ahli keluarga. Setiap anggota keluarganya pula saling membantu dan bertolak ansur. Setiap masalah yang dihadapi dikongsi dan diselesaikan bersama-sama anggota keluarga. Ibu bapa merupakan ketua dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk sesebuah keluarga bahagia.

     Sebagai ibu bapa khususnya golongan bapa,  mereka hendaklah menyediakan keperluan harian yang secukupnya kepada ahli keluarga sebagai tamsilnya makanan, pakaian dan tempat perlindungan. Hal ini demikian kerana anak-anak memerlukan suasana yang kondusif bagi proses tumbesaran mereka untuk  membesar menjadi anak yang sihat dan pintar. Seterusnya anak-anak yang sihat dan pintar akan menjadi anak-anak yang baik seterusnya dapat membalas jasa ibu bapa mereka serta berguna kepada bangsa, agama dan negara.

     Dari kodifikasi yang berbeza, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh anak-anak tamsilnya masalah dengan kawan-kawan atau masalah dalam pembelajaran mereka. Sesetengah anak-anak yang mempunyai masalah sukar untuk mencari jalan penyelesaian akibat tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa menyebabkan mereka mencari jalan keluar dengan melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti merokok, mengambil dadah, melakukan vandalisme dan lain-lain lagi yang memberi impak kepada keharmonian keluarga.  Justeru,  ibu bapa harus memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak terutama apabila anak-anak yang menghadapi masalah agar mereka tidak menjadi anak-anak yang liar dan akan mencipta masalah yang lebih berat.

     Dari perspektif lain, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan pengetahuan agama sejak dari kecil lagi persis aforime klasik Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana, anak-anak yang dididik dengan pengetahuan agama yang cukup akan tahu halal haram dalam setiap perbuatan mereka. Justeru mereka tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang negatif seperti merokok, mengambil dadah, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan di luar batasan agama dan sebagainya kerana mereka tahu perbuatan tersebut haram di sisi agama Islam dan perbuatan ini juga boleh menggongcang kebahagian sesebuah keluarga. 

     Seterusnya, ibu bapa hendaklah sentiasa meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka. Walau sesibuk manapun mereka bekerja menyara keluarga, ibu bapa harus meluangkan masa melakukan aktiviti kekeluargaan bersama-sama tamsilnya beriadah bersama-sama ataupun melancong seisi keluarga. Persis peribahasa sambil menyelam minum air, dengan melakukan aktiviti  bersama-sama anggota keluarga seperti beriadah bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan malah dapat mengukuhkan hubungan antara ahli  keluarga seterusnya membentuk keluarga yang bahagia.

      Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk keluarga bahagia. Justeru, sayangilah anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Dalam membentuk keluarga bahagia, ibu bapa perlu mempunyai ilmu keibubapaan agar mereka tahu cara-cara mendidik anak-anak seterusnya melahirkan warganegara yang berguna kepada bangsa dan negara untuk menjadi masyarakat madani bagi membentuk negara maju menjelang 2020. 


Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

   

Karangan Umum PMR- Kesan Perbuatan Merosakkan Harta Benda Awam

PERBUATAN MEROSAKKAN HARTA BENDA AWAM KIAN MENJADI-JADI.
 BINCANGKAN KESAN-KESANNYA.

      Harta benda awam memberi konotasi harta yang disediakan oleh kerajaan dan swasta untuk kegunaan rakyat jelata tamsilnya tandas awam, taman permainan kanak-kanak, taman rekreasi, telefon, pondok hentian bas dan lain-lain lagi.  Mutakhir ini, kegiatan vandalisme atau merosakkan harta benda awam dalam kalangan sipil di Malaysia semakin menjadi-jadi kerana kurangnya kesedaran dalam diri pelaku tersebut. Kempen-kempen kesedaran yang dianjurkan oleh kerajaan seperti mencurahkan air ke daun keladi kerana kempen tersebut tidak mendatangkan hasil yang positif. 

     Perbuatan vandalisme yang tidak bertanggungjawab ini mendatangkan pelbagai kesan negatif antaranya akan menyusahkan golongan yang kurang berkemampuan apabila berasa dalam keadaan kesusahan atau kecemasan seperti kebakaran. Hal ini demikian kerana, mereka memerlukan harta benda awam tamsilnya telefon awam untuk meminta bantuan daripada pihak bomba. Secara tidak langsung hal ini boleh menyebabkan kemalangan maut akibat tidak mendapat bantuan dengan segera dan kerugian akibat kebakaran tersebut akan bertambah banyak disebabkan lambat mendapat bantuan bomba.

     Dari perspektif lain pula, kewangan negara akan banyak dibelanjakan untuk membaiki kerosakan harta benda awam. Hal ini demikian kerana,  akibat perbuatan vandalisme tersebut negara akan menanggung kerugian yang besar. Impaknya, kerajaan terpaksa menggunakan pendapatan daripada cukai yang dibayar untuk membaik pulih harta benda awam yang dirosakkan daripada menyediakan fasiliti yang lain seperti membaiki kerosakan jalan raya, menyediakan kemudahan di sekolah dan lain-lain. 

     Selain itu, perbuatan merosakkan harta benda awam akan menyebabkan imej negara Malaysia tercemar. Secara tidak langsung para pelancong yang melancong di Malaysia akan memandang serong terhadap imej negara kita akibat perbuatan segelintir sipil yang tidak bertanggungjawab itu. Kesannya negara Malaysia yang kebiasaannya dibanjiri kedatangan pelancong yang tertarik akan keindahan semulajadinya akan semakin berkurang. Impaknya pendapatan negara daripada sektor pelancongan akan merudum jatuh. Justeru, janganlah bersikap kerana nila setitik rosak susu sebelanga. 

     Dari kodifikasi yang berbeza, perbuatan ini akan menyebabkan ibu bapa pelaku tersebut menjadi malu. Hal ini demikian kerana mereka seolah-olah tidak berjaya mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna. Impaknya, keluarga tersebut akan disisih oleh masyarakat kerana masyarakat akan menganggap anak mereka sebagai pemusnah harta benda negara.

     Ijmalnya, semua warganegara harus menyemai rasa sayang akan negara dengan cara tidak merosakkan harta benda awam yang menjadi milik bersama supaya negara tidak kerugian berbilion ringgit akibat menanggung kos membaik pulih harta awam yang dirosakkan. Semua pihak juga harus berganding bahu membanteras perbuatan  vandalisme ini supaya tidak berleluasa di Malaysia agar imej negara yang kita sayangi ini tidak tercemar. 



HAJAH NORNIMAS YAAKOB, GKMP BAHASA SEMESRA