IBU BAPA MERUPAKAN KETUA DALAM INSTITUSI KELUARGA. HURAIKAN PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru dunia ini tentang isu keluarga bahagia. Keluarga bahagia merupakan keluarga yang berada dalam keadaan gembira, aman, sejahtera, tidak berlaku konflik atau pergaduhan antara ahli keluarga. Setiap anggota keluarganya pula saling membantu dan bertolak ansur. Setiap masalah yang dihadapi dikongsi dan diselesaikan bersama-sama anggota keluarga. Ibu bapa merupakan ketua dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk sesebuah keluarga bahagia.
Sebagai ibu bapa khususnya golongan bapa, mereka hendaklah menyediakan keperluan harian yang secukupnya kepada ahli keluarga sebagai tamsilnya makanan, pakaian dan tempat perlindungan. Hal ini demikian kerana anak-anak memerlukan suasana yang kondusif bagi proses tumbesaran mereka untuk membesar menjadi anak yang sihat dan pintar. Seterusnya anak-anak yang sihat dan pintar akan menjadi anak-anak yang baik seterusnya dapat membalas jasa ibu bapa mereka serta berguna kepada bangsa, agama dan negara.
Dari kodifikasi yang berbeza, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh anak-anak tamsilnya masalah dengan kawan-kawan atau masalah dalam pembelajaran mereka. Sesetengah anak-anak yang mempunyai masalah sukar untuk mencari jalan penyelesaian akibat tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa menyebabkan mereka mencari jalan keluar dengan melakukan perbuatan-perbuatan negatif seperti merokok, mengambil dadah, melakukan vandalisme dan lain-lain lagi yang memberi impak kepada keharmonian keluarga. Justeru, ibu bapa harus memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak terutama apabila anak-anak yang menghadapi masalah agar mereka tidak menjadi anak-anak yang liar dan akan mencipta masalah yang lebih berat.
Dari perspektif lain, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak dengan pengetahuan agama sejak dari kecil lagi persis aforime klasik Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana, anak-anak yang dididik dengan pengetahuan agama yang cukup akan tahu halal haram dalam setiap perbuatan mereka. Justeru mereka tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang negatif seperti merokok, mengambil dadah, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan di luar batasan agama dan sebagainya kerana mereka tahu perbuatan tersebut haram di sisi agama Islam dan perbuatan ini juga boleh menggongcang kebahagian sesebuah keluarga.
Seterusnya, ibu bapa hendaklah sentiasa meluangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak mereka. Walau sesibuk manapun mereka bekerja menyara keluarga, ibu bapa harus meluangkan masa melakukan aktiviti kekeluargaan bersama-sama tamsilnya beriadah bersama-sama ataupun melancong seisi keluarga. Persis peribahasa sambil menyelam minum air, dengan melakukan aktiviti bersama-sama anggota keluarga seperti beriadah bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan malah dapat mengukuhkan hubungan antara ahli keluarga seterusnya membentuk keluarga yang bahagia.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk keluarga bahagia. Justeru, sayangilah anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Dalam membentuk keluarga bahagia, ibu bapa perlu mempunyai ilmu keibubapaan agar mereka tahu cara-cara mendidik anak-anak seterusnya melahirkan warganegara yang berguna kepada bangsa dan negara untuk menjadi masyarakat madani bagi membentuk negara maju menjelang 2020.
Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan