PERBUATAN MEROSAKKAN HARTA BENDA AWAM KIAN MENJADI-JADI.
BINCANGKAN KESAN-KESANNYA.
Harta benda awam memberi konotasi harta yang disediakan oleh kerajaan dan swasta untuk kegunaan rakyat jelata tamsilnya tandas awam, taman permainan kanak-kanak, taman rekreasi, telefon, pondok hentian bas dan lain-lain lagi. Mutakhir ini, kegiatan vandalisme atau merosakkan harta benda awam dalam kalangan sipil di Malaysia semakin menjadi-jadi kerana kurangnya kesedaran dalam diri pelaku tersebut. Kempen-kempen kesedaran yang dianjurkan oleh kerajaan seperti mencurahkan air ke daun keladi kerana kempen tersebut tidak mendatangkan hasil yang positif.
Perbuatan vandalisme yang tidak bertanggungjawab ini mendatangkan pelbagai kesan negatif antaranya akan menyusahkan golongan yang kurang berkemampuan apabila berasa dalam keadaan kesusahan atau kecemasan seperti kebakaran. Hal ini demikian kerana, mereka memerlukan harta benda awam tamsilnya telefon awam untuk meminta bantuan daripada pihak bomba. Secara tidak langsung hal ini boleh menyebabkan kemalangan maut akibat tidak mendapat bantuan dengan segera dan kerugian akibat kebakaran tersebut akan bertambah banyak disebabkan lambat mendapat bantuan bomba.
Dari perspektif lain pula, kewangan negara akan banyak dibelanjakan untuk membaiki kerosakan harta benda awam. Hal ini demikian kerana, akibat perbuatan vandalisme tersebut negara akan menanggung kerugian yang besar. Impaknya, kerajaan terpaksa menggunakan pendapatan daripada cukai yang dibayar untuk membaik pulih harta benda awam yang dirosakkan daripada menyediakan fasiliti yang lain seperti membaiki kerosakan jalan raya, menyediakan kemudahan di sekolah dan lain-lain.
Selain itu, perbuatan merosakkan harta benda awam akan menyebabkan imej negara Malaysia tercemar. Secara tidak langsung para pelancong yang melancong di Malaysia akan memandang serong terhadap imej negara kita akibat perbuatan segelintir sipil yang tidak bertanggungjawab itu. Kesannya negara Malaysia yang kebiasaannya dibanjiri kedatangan pelancong yang tertarik akan keindahan semulajadinya akan semakin berkurang. Impaknya pendapatan negara daripada sektor pelancongan akan merudum jatuh. Justeru, janganlah bersikap kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Dari kodifikasi yang berbeza, perbuatan ini akan menyebabkan ibu bapa pelaku tersebut menjadi malu. Hal ini demikian kerana mereka seolah-olah tidak berjaya mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna. Impaknya, keluarga tersebut akan disisih oleh masyarakat kerana masyarakat akan menganggap anak mereka sebagai pemusnah harta benda negara.
Ijmalnya, semua warganegara harus menyemai rasa sayang akan negara dengan cara tidak merosakkan harta benda awam yang menjadi milik bersama supaya negara tidak kerugian berbilion ringgit akibat menanggung kos membaik pulih harta awam yang dirosakkan. Semua pihak juga harus berganding bahu membanteras perbuatan vandalisme ini supaya tidak berleluasa di Malaysia agar imej negara yang kita sayangi ini tidak tercemar.
HAJAH NORNIMAS YAAKOB, GKMP BAHASA SEMESRA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan