Sabtu, 14 September 2013

Karangan Umum PMR - Surat Kiriman Rasmi Ucapan Penghargaan dan Terima Kasih kepada Pengetua


Andaikan bahawa anda telah berjaya diterima melanjutkan pelajaran dalam bidang
kejuruteraan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Tulis sepucuk surat kepada
pengetua sekolah anda untuk mengucapkan terima kasih atas segala tunjuk ajar guru-
guru anda. 



456,Taman Indah Permai,
27600 Raub, Pahang Darul Makmur. 
_____________________________________________________________
Tuan Pengetua,
SMK Seri Raub,                         
27600 Raub,
Pahang Darul Makmur                                                           2 FEBRUARI 2012.

Tuan,

Ucapan Penghargaan dan Terima Kasih

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya, Nur Amalia Hazwani binti Halid ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan dan semua guru di SMK Seri Raub yang telah mendidik saya sejak Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.  Saya kini sudah Berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa dan berada di Semester 1.

2.       Saya amat menghargai segala jasa guru-guru yang telah bersusah-payah mengajar saya sepanjang sesi persekolahan saya di sini dari tahun 2007 sehingga 2011.  Mereka tidak pernah kenal erti letih demi mengharumkan nama sekolah ini.  Memang tidak menghairankan sekiranya sekolah ini mencapai kejayaan dan prestasi yang cemerlang sesuai dengan visi sekolah iaitu ‘SMK Seri Raub Terus Cemerlang Menjelang 2012’.  Segala perancangan pihak sekolah untuk murid-murid seperti kelas tambahan terancang dan latih tubi yang diberikan setiap kali pada waktu bacaan pagi amatlah memberangsangkan dan tidak sia-sia.

3.         Saya juga  ingin menyatakan perasaan terhutang budi kepada pihak sekolah atas lantikan sebagai pengawas sekolah dan mempercayai saya untuk memegang jawatan tersebut.  Sesungguhnya, saya dapat melatih diri saya supaya lebih berdisiplin dan menjadi pemimpin apabila menyandang jawatan tersebut.  Seorang pengawas perlu bijak membahagikan masanya kerana selain menjaga disiplin sekolah, pengawas juga harus fokus untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Oleh sebab itu, sifat menghargai waktu dapat ditanam dalam diri saya.  Selain itu, jawatan pengawas ini juga telah menjadi salah satu tiket untuk saya diterima masuk ke institut pengajian tinggi.

4.           Kejayaan yang saya perolehi ini juga bukanlah atas usaha saya seorang malah kejayaan ini ialah hasil kombinasi usaha saya dan guru-guru yang mendidik saya. Tunjuk ajar guru-guru telah membuahkan hasilnya.  Mereka tidak mengenal erti penat lelah apabila mengajar apatah lagi sewaktu sekolah mengadakan kelas tambahan terancang.  Bahkan mereka tidak mendapat sebarang bayaran pun untuk datang mengajar pada waktu petang atau malam.  Saya amat mengagumi mereka.

5.          Apabila cuti semester tiba nanti, saya berjanji akan membantu pihak sekolah dengan mengajar murid-murid secara percuma untuk murid yang berada di kelas peperiksaan terutamanya.  Hal ini demikian kerana, saya tidak dapat menyumbang sesuatu yang melebihi kemampuan saya.  Hanya perkara ini yang dapat saya sumbangkan kepada pihak sekolah yang telah menjadi tempat saya mencapai kejayaan sekaligus dapat meringankan beban guru-guru yang sanggup bersengkang mata untuk anak-anak bangsa yang tercinta.  Bak kata pepatah, guru ibarat bulan yang menerima dan memberi cahaya.

6.         Akhir sekali, saya berharap agar SEMESRA  terus berjaya dan mencipta kejayaan yang berterusan supaya dapat berdiri setaraf dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain atau lebih bagus lagi dapat menandingi sekolah tersebut.  Semoga semua warga SEMESRA dapat melaksanakan misi sekolah terutamanya guru-guru iaitu memberi perkhidmatan pendidikan berkualiti kepada pelanggan bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Sekian, terima kasih. 


Yang benar,
Amalia
(NUR AMALIA HAZWANI BINTI HALID) 
 Bekas Pelajar SEMESRA.




                                                          Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Kesan-kesan Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)



            Perkataan PATI atau pendatang asing tanpa izin merujuk kepada seseorang yang masuk ke dalam sesebuah negara tanpa permit yang sah. Dasawarsa ini, pembangunan yang pesat di negara kita menyebabkan ramai PATI datang ke Malaysia.

            Terdapat pelbagai kesan kemasukan PATI antaranya adalah pertambahan kawasan petempatan setinggan. Banyak masalah pencemaran akan timbul akibat ketidaksempurnaan sistem pembuangan sampah dan turut menjejaskan imej negara.

            Lambakan PATI akan mengehadkan peluang pekerjaan rakyat. Hal ini kerana pihak majikan lebih suka mengupah mereka dalam pelbagai sektor kerana gaji mereka lebih murah daripada pekerja tempatan.

           Selain itu, kedatangan PATI akan mengancam keselamatan penduduk tempatan kerana sesetengah daripada mereka merupakan penjenayah yang melarikan diri daripada polis tetapi mereka terus melakukan jenayah di sini.

           Konklusinya, semua pihak perlu bersatu-padu untuk menangani maslah PATI  yang memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana ‘Negara Kita Tanggungjawab Kita Bersama’.
                                                                                                                                             
 (120 patah perkataan)



                                                                 Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Sekolah Harmoni



            Sekolah yang harmoni mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam aspek sahsiah, akademik dan kokurikulum.

            Amalan bergotong-royong dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kerjasama erat dalam kalangan guru dan pelajar. Semangat kerjasama dapat meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat sekolah, ibarat kata pepatah muafakat membawa berkat.

             Persekitaran sekolah yang bersih dan ceria mampu merangsang minda pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Apabila semua pelajar datang ke sekolah untuk belajar, suasana sekolah menjadi tenang dan harmoni maka lahirlah budaya kasih sayang.

            Suasana pembelajaran yang kondusif mampu menarik minat pelajar untuk fokus semasa guru sedang mengajar. Pelajar berpeluang meningkatkan pencapaian dengan adanya sokongan pelbagai fasiliti belajar seperti rujukan berkualiti, kemudahan internet dan perpustakaan yang lengkap.

            Tuntasnya, memupuk budaya sayang akan sekolah dalam kalangan pelajar dapat membantu wujudnya suasana yang harmoni.
                                                                                                                                         
       (125 patah perkataan)                                                                  



                                                        Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Perpaduan



              Dasawarsa ini, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin pudar. Hal ini disebabkan oleh kurangnya semangat kekitaan.

            Antara cara memupuk perpaduan adalah melalui aktiviti gotong-royong yang dilakukan oleh penduduk pelbagai kaum di setiap taman perumahan atau di kampung. Selain daripada dapat membersihkan kawasan perumahan, aktiviti ini dapat memupuk semangat perpaduan. Hal ini boleh dikaitkan dengan peribahasa iaitu sambil menyelam minum air.

            Rumah terbuka boleh diadakan pada hari-hari kebesaran setiap kaum tamsilannnya Hari Raya Aidilfitri. Penduduk saling mengunjungi ke rumah terbuka tersebut dan hal ini akan memupuk semangat perpaduan.

           Jawatankuasa Kebajikan dan Kemajuan Kampung perlu menganjurkan pertandingan permainan yang melibatkan pelbagai kaum. Selain daripada  dapat mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda, para pemain dapat memupuk semangat perpaduan.

            Tuntasnya, rakyat Malaysia perlu memberi kerjasama kepada kerajaan dalam menjayakan aktiviti untuk memupuk perpaduan seperti Gagasan 1Malaysia demi menjayakan Wawasan Perdana.
                                                                                                                                           
  (125 patah perkataan)

                                                                                                                                                 Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Punca-punca Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja



            Masalah sosial dalam kalangan remaja semakin berleluasa di negara kita. Masalah ini bukan berpunca daripada diri remaja itu sahaja malah daripada pelbagai pihak. 

            Antara punca berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja ialah keluarga. Sekiranya ibu bapa mereka bergaduh, sudah tentu mereka akan berasa tertekan lalu mengambil keputusan untuk keluar rumah dan bebas melakukan apa sahaja.

           Media massa juga menjadi punca terjadinya masalah sosial ini. Media yang menyiarkan perkara-perkara yang berunsurkan pornografi telah menyebabkan para remaja meniru aksi tersebut.

           Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan terjadinya masalah ini. Remaja kini gemar mengikut rakan sebaya seperti melepak di kafe siber yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan kerana mereka ingin mencuba sesuatu yang baru
.
           Konklusinya, semua pihak perlulah memainkan peranan untuk mengurangkan masalah sosial ini supaya kita dapat membentuk remaja yang berkualiti.
                                                                                                                                                  
 (121 patah perkataan)



                                                        Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA