Sabtu, 14 September 2013

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Kepentingan Menyambut Hari-hari Perayaan di Malaysia



          Hari perayaan bermaksud hari kebesaran yang disambut oleh sesuatu kaum. Negara kita dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum seperti Hari Raya, Krismas dan Deepavali.

          Antara kepentingan menyambut perayaan ialah dapat mengeratkan silaturahim antara kaum dan saudara-mara.  Bak kata pepatah, carik-carik bulu ayam, lama-lama tercantum juga.  Kekerapan interaksi ini menyebabkan wujudnya perpaduan yang utuh.

          Kita juga dapat bermaaf-maafan sekiranya ada yang bersengketa.  Misalnya, sewaktu Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini dapat menjernihkan kembali hubungan yang keruh.

          Selain itu, hari perayaan juga disambut untuk bergembira seperti masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi.

          Tuntasnya, kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk mengurangkan perbezaan antara kaum dan merealisasikan konsep 1Malaysia.
                                                                                                                                           
      (123 patah perkataan)



                                                     Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Kesan-kesan Pencemaran Alam Sekitar



            Pencemaran alam sekitar membawa konotasi alam sekitar yang kotor disebabkan oleh perbuatan manusia.  Mutakhir ini, pencemaran yang berlaku semakin berleluasa akibat perbuatan mereka yang tidak memikirkan impaknya.

            Antara pencemaran yang berlaku ialah pencemaran air yang disebabkan oleh tumpahan minyak kapal ke dalam lautan.  Hal ini telah menyebabkan hidupan akuatik mati kerana kesukaran bernafas. 

            Pencemaran udara juga turut berlaku di Malaysia. Pelepasan asap kereta yang mengandungi gas karbon monoksida menipiskan lapisan ozon lalu menyebabkan pemanasan global. Jerebu juga boleh mengakibatkan kemalangan kerana habuk-habuk menghalang penglihatan manusia. 

            Selain itu, kerja-kerja pembinaan yang dilakukan telah mengakibatkan pencemaran bunyi. Pencemaran ini mengganggu ketenteraman awam dan tidak dapat menjalani kehidupan harian dengan selesa.

            Tuntasnya, semua pihak perlulah bertanggungjawab mengurangkan pencemaran kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
                                                                                                                                                
 (123 patah perkataan)




Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR - Punca-punca Pudarnya Semangat Kejiranan dalam Kalangan Masyarakat




            Jiran membawa konotasi orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita.  Ironinya, pada masa sekarang semangat kejiranan semakin pudar dalam diri masyarakat disebabkan terdapat sesetengah ahli masyarakat yang bersikap individualistik.

            Antara punca yang memudaratkan semangat kejiranan adalah kerana masyarakat terlalu sibuk dengan pekerjaan masing-masing sehingga selalu pulang lewat dan jarang  bertegur-sapa sesama jiran.

            Faktor dominan yang seterusnya ialah masyarakat kurang mengamalkan nilai murni dan bersikap sombong.  Impaknya, mereka tidak akan membantu satu sama lain sekiranya berlaku hal kecemasan.

            Faktor kawasan perumahan yang bertembok tinggi juga dapat membataskan pergaulan antara jiran.  Hal ini seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

            Tuntasnya, semangat kejiranan perlulah dipupuk dalam diri masyarakat kerana sepakat membawa berkat.
                                                                                                                                                
(114 patah perkataan)



Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahasa Melayu PMR - Ciri-ciri Murid Cemerlang


CIRI-CIRI MURID CEMERLANG



            
 Kecemerlangan dalam bidang akademik merupakan idaman dan impian setiap pelajar. Pelajar cemerlang merupakan aset negara. Golongan pelajar seperti inilah yang akan mencorakkan masa depan negara.

     Antara ciri utama pelajar cemerlang ialah pencapaian yang memberangsangkan dalam bidang akademik. Pelajar cemerlang sentiasa memberikan tumpuan terhadap pelajaran dan proses pembelajaran di sekolah. Pelajar seperti ini akan membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan. Justeru, pelajar cemerlang akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

      Selain itu, pelajar cemerlang ialah pelajar yang mengutamakan disiplin diri. Disiplin merupakan penentu kejayaan seseorang dalam kehidupan. Pelajar cemerlang  sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa. Oleh hal yang demikian, pelajar yang berdisiplin tidak akan mendekati gejala sosial yang merugikan agama, bangsa dan negara.

    Pelajar yang cemerlang juga merupakan pelajar yang cergas dalam kegiatan kokurikulum. Pelajar cemerlang akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah secara aktif seperti kegiatan-kegiatan persatuan, badan beruniform, permainan dan sukan. Pelajar cemerlang sedar bahawa penyertaan mereka dalam aktiviti tersebut akan dapat menyihatkan tubuh badan mereka. Badan yang cergas akan membina otak yang cerdas.

      Seterusnya pelajar cemerlang ialah pelajar yang bijak menguruskan masa kerana masa itu emas. Pengurusan masa yang terancang membolehkan segala kerja dan program berjalan dengan lancar. Pelajar seperti ini akan menyediakan waktu belajar peribadi di rumah. Pelajar yang merancang jadual waktu sudah pasti dapat menyiapkan kerja rumah, kerja kursus  dan membuat ulang kaji secara sistematik.

      Ijmalnya, mentimun dan pisau di tangan kita. Justeru, kitalah yang wajar mencorakkan nasib dan masa depan kita, bukannya orang lain. Oleh itu, berusahalah membalas jasa kedua-dua orang tua kita yang tersayang dengan menjadi pelajar cemerlang.


(Karangan daripada 'Fokus A') 


                                                    Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahasa Melayu PMR - Keracunan Makanan


KERACUNAN MAKANAN


           
 Isu  tentang keracunan makanan telah banyak kita dengar melalui media massa sejak belakangan ini. Kejadian-kejadian seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut malahan sehingga membawa kematian akibat keracunan makanan, telah menyebabkan isu ini mendapat perhatian banyak pihak. Terdapat pelbagai punca berlakunya keracunan makanan.

            Keracunan makanan banyak berlaku disebabkan oleh kelalaian pengguna itu sendiri. Kebanyakan anggota masyarakat tidak mempunyai pengetahuan tentang kesempurnaan pengjagaan makanan. Kita perlu sedar bahawa kebersihan amat penting dalam proses penyediaan makanan. Namun, ada antara kita yang tidak mengetahui cara yang betul membasuh bahan makanan sebelum dimasak. Bahan-bahan seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan amat sensitif dengan perubahan udara. Tanpa pembersihan yang teliti sebelum dimakan atau pun dimasak, kuman di dalam bahan makanan akan membahayakan kita.

            Selain itu makanan yang tercemar pasti mengundang bahaya keracunan makanan. Pencemaran makanan berlaku apabila makanan yang disediakan atau dihidangkan itu terdedah. Keadaan persekitaran yang kotor juga dapat mencemarkan makanan. Hal ini sudah tentu menyebabkan makanan dihinggapi lalat, lipas dan tikus yang membawa kuman dalam makanan. Impaknya keracunan makanan berlaku apabila kita makan makanan yang sudah tercemar oleh kuman dan bakteria.

            Keracunan makanan juga disebabkan kandungan racun yang berlebihan dalam makanan. Para petani dan pekebun sayur yang menanam sayur-sayuran biasanya menyembur racun serangga atau racun daun untuk memastikan tanaman mereka itu hidup subur. Penggunaan racun yang berlebihan terhadap tanam-tanaman seperti sawi, kalian, kobis dan bayam akan menyebabkan kandungan racun terserap ke dalam daun. Kedaan ini sudah tentu membahayakan para pengguna jika bahan-bahan tersebut tidak dibersihkan dengan teliti.
           
 Konklusinya, kesedaran orang ramai tentang kebersihan makanan yang dimakan perlu dipertingkatkan. Hal ini amat penting kerana gejala keracunan makanan akan dapat menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup kita. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin kebersihan makanan dan alam sekitar.


 (Karangan daripada 'Fokus A')



                                                   Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA 
           

Jumaat, 28 Jun 2013

MENDERMA DARAH SEBAGAI SATU SEDEKAH DAN MEMBUAT KEBAJIKAN

29 Jun 2013- Hari Koperasi SEMESRA 2013 Kali Ke-3. Tema Hari Koperasi pada kali ini ialah 'KOPERASI : BERSAMA UNTUK KESATUAN SEJAGAT'.  Pelbagai aktiviti dijalankan sempena Hari Koperasi pada kali ini, antaranya adalah persembahan pelajar dari pelbagai persatuan dan kelab, aktiviti jualan, menderma darah, pameran, eksplorais, menanam pokok dan banyak lagi.

Antara pelbagai aktiviti yang dijalankan, aku tertarik dengan aktiviti menderma darah. Ku lihat ramai pelajar Kolej Junior yang menderma darah terutamanya pelajar-pelajar Cina. Hatiku berkata, sepatutnya orang Islamlah yang perlu ada kesedaran untuk menderma darah kerana perbuatan ini merupakan satu sedekah. Satu pain darah iaitu bersamaan dengan 450 mililiter dapat menyelamatkan satu nyawa. Satu titis darah itupun sudah banyak ganjaran pahalanya, apalagi jika 450 ml.

Aku berdiri di tepi garaj guru iaitu tempat di mana katil-katil penderma darah diletakkan. Ada 5 buah katil di situ. Aku memerhati pelajar-pelajar yang berbaring di katil itu , sementara jururawat menjalankan tugas mencucuk lengan mereka.

Fikiranku mengimbau kenangan pada 19 April 2013 -Khamis yang lalu iaitu ketika arwah ibu mentua yang amat aku sayangi yang dimasukkan ke wad Darul Ehsan Medical Centre kerana ususnya yang bocor, bengkak paru-paru dan jantung. Pada malam Jumaat itu, sebelum aku dan suami pulang ke Raub, aku lihat dua orang jururawat berusaha memasukkan 1 pain darah ke dalam tubuh ibu mentuaku. Aku lihat ke arah beg darah yang tergantung dan ku renung titis-titis darah yang masuk ke badan ibu mentuaku melalui lengan kirinya, hatiku berkata "darah siapalah ini? Alangkah baiknya jika darahku atau suamiku yang masuk ke dalam badan ibu mentuaku, sekurang-kurangnya kami dapat berkhidmat untuk ibu kami..."

Mulai hari itulah aku berazam untuk menderma darah jika layak dari segi kesihatanku.

Aku meminta daripada doktor yang bertugas untuk mengambil darahku di dalam bilik guru untuk menjaga auratku daripada dilihat pengunjung.

Seorang jururawat perempuan yang bertugas mengambil darah pada hari itu mengikutiku ke bilik guru. Sebuah katil telah diletakkan di bilik dokumentasi di dalam bilik guru. Dengan perasaan gementar aku berbaring di situ. Dada terasa berdebar-debar. Maklum inilah kali pertama aku mengambil darah seumur hidupku. Cucukpun aku sudah terasa ngeri apatah lagi menderma darah serta melihat darahku mengalir melalui tiub...

Subhanallah, Maha Suci Allah, kuatkan semangatku ya Allah...aku ingin bersedekah, aku ingin menyumbangkan darahku untuk menyelamatkan satu nyawa semata-mata kerana-Mu ya Allah, semata-mata kerana-Mu ya Allah...Engkau permudahkanlah, Engkau hapuskanlah rasa gementar dari diriku ini...

Jururawat menyembur ubat bius di lengan kiriku, hampir dengan siku, hatiku tidak putus-putus berzikir memohon pertolongan Allah. Aku kuatkan semangatku dengan memikirkan jika aku boleh melahirkan lima orang anak, takkanlah aku tidak boleh menderma satu pain darah.

Aku bertanya jururawat, biasanya berapa lama masa yang diambil untuk mengeluarkan 450 ml darah daripada seseorang penderma. Jururawat tersebut memaklumkan bahawa biasanya dalam 15 minit.

Ku lihat darahku sudah mulai menitis setitis demi setitis masuk ke dalam beg darah yang tergantung di tiang. Lidahku tidak henti-henti berzikir, subhanallah   walhamdulillah   walailahaillallah   wallahu akbar. Aku teringat akan kata-kata 'DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI AKAN MENJADI TENANG'.  Memang benar, hatiku terasa tenang setenang tenangnya.

Sepuluh minit kemudian beg darah tersebut sudah penuh. Kata jururawat itu, "Eh! Cepat pula penuh, selalunya dalam lima belas minit baru penuh, darah cikgu pulak cantik, hitam dan pekat".

Aku melihat darahku yang memenuhi beg darah itu. Ya, memang benar, hitam dan pekat. Syukur ya Allah.  Aku berdoa agar satu pain darah yang kudermakan dapat masuk ke tubuh seorang muslim dan dapat menyelamatkan nyawanya.

Alhamdulillah...syukur ke hadrat Allah...terima kasih ya Allah kerana memberikan aku kesedaran dan kekuatan untuk membantu sesama manusia. Semoga mendapat keberkatan dari-Mu ya Allah.