Sabtu, 14 September 2013

Karangan Umum PMR - Kenaikan Harga Barang. Langkah Mengurus Perbelanjaan Keluarga


Harga barang semakin hari semakin meningkat.  Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik.



Marcapada ini, kenaikan harga barang-barang semakin menjadi-jadi.  Puncanya, adalah kerana kenaikan harga minyak yang diperlukan untuk menggerakkan mesin yang digunakan untuk menghasilkan barang.  Hal ini menambahkan lagi kebimbangan ketua keluarga terutamanya yang berpendapatan rendah.  Namun, masih terdapat cara untuk mengurus perbelanjaan dengan baik sekiranya kos pengeluaran bulanan keluarga semakin meningkat.

Antara langkah yang boleh diamalkan adalah dengan menyenaraikan barang-barang yang hendak dibeli setiap bulan.  Melalui cara ini, kita dapat mengelak daripada membeli barang-barang yang tidak penting supaya bajet yang disediakan untuk bulan tersebut cukup untuk membeli barang keperluan.  Elakkan daripada membawa kanak-kanak ketika berbelanja di pasar raya kerana mereka terdorong untuk mengambil apa-apa sahaja yang kelihatan menarik di mata mereka seperti permainan dan makanan ringan.

Selain itu, kita juga boleh membuat belanjawan pada setiap bulan.  Wang hasil pendapatan setiap bulan boleh diagihkan untuk membeli barang keperluan, kegunaan harian dan simpanan. Kita haruslah membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan sekiranya berlaku kecelakaan atau malapetaka.  Bak kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.  Kita juga perlu mengenalpasti antara keperluan dan kehendak kerana kita sering mengikut kehendak hati dengan membeli barang-barang yang tidak penting dan menyebabkan kita menjadi seorang yang boros. Perkara ini tidak bagus untuk orang yang ingin mengurangkan perbelanjaan bulanan. Justeru, kita perlulah berjimat-cermat dalam hal berbelanja dengan membeli barang keperluan sahaja.

Seterusnya, elakkan penggunaan kad kredit dalam kehidupan harian kerana kad kredit hanya akan menambahkan beban kepada penggunanya sahaja. Hal ini demikian kerana sekiranya kita terlewat membayar semulajumlah yang telah digunakan, pihak bank akan mengenakan caj bunga kepada penggunanya.  Sememangnya tidak dinafikan penggunaan kad kredit mempunyai kebaikan kerana pengguna tidak perlu membawa wang yang banyak ketika berbelanja dan hal ini mempengaruhi faktor keselamatan diri namun pengguna akan lebih terdedah untuk berbelanja dengan banyak dan sering terlewat untuk membayarnya semula. 

Akhir sekali, kita juga digalakkan untuk membuat kerja sambilan menanam sayur-sayuran sekiranya terdapat tanah di persekitaran rumah kita.  Di samping dapat menampung keperluan hidup keluarga dengan menjual sayur-sayuran tersebut di pasar, kita dapat berbudi kepada tanah dengan mengusahakan tanaman  makanan tanpa membiarkan tanah tersebut terbiar.  Sayuran yang ditanam juga boleh digunakan untuk memasak tanpa perlu membeli di pasar.  Melalui cara ini kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan dapat merasa hasil tanaman yang segar yang ditanam sendiri.

Konklusinya, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menguruskan perbelanjaan dengan baik.  Terpulang kepada keluarga tersebut untuk menentukan perkara yang terbaik untuk mereka.  Justeru, setiap anggota keluarga perlulah bertoleransi dan bekerjasama untuk memastikan keadaan kewangan mereka kukuh demi kebaikan masa hadapan mereka.

                                                                    Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Surat Kiriman Tidak Rasmi Nasihat kepada Rakan


Rakan anda semakin tidak bermotivasi untuk belajar selepas keputusan peperiksaan percubaannya kurang memberangsangkan.  Anda bercadang untuk menasihati dan memulihkan semangatnya.  Tulis surat anda selengkapnya.





                                                                                         456, Taman Indah Permai,       
                                                                                         27600 Raub,                 
                                                                                         Pahang Darul Makmur.      
                                                                          
                                                                                         26 April 2012.


Menemui sahabatku saudari Nina yang kini berada di Johor dengan selamatnya di samping keluarga tercinta.

Saudari, 

Surat saudari telah selamat saya terima pada minggu lepas.  Saudari ada memberitahu dalam surat tersebut bahawa keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang kurang memberangsangkan menyebabkan saudari semakin tidak bermotivasi untuk belajar.  Sebelum itu, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat membalas surat saudari kerana kekangan masa.

Peperiksaan percubaan PMR ini hanya untuk mengukur prestasi saudari sahaja.  Janganlah saudari terus bersedih kerana tindakan seperti ini tidak dapat menyelesaikan masalah.  Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.  Jika kita gagal sekali, tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya.  Oleh itu, saudari perlulah sentiasa berusaha dengan gigih untuk berjaya seperti mengurus masa dengan baik untuk mendisiplinkan diri saudari.  Seperti yang saudari sedia maklum, kehidupan sebagai seorang pelajar amat mencabar dan mempunyai jadual harian yang padat.  Justeru, saudari perlulah bijak menguruskan diri kerana alah bisa, tegal biasa.

Saudari yang disayangi,

Di dunia ini ramai yang gagal pada peringkat awal, tetapi akhirnya bangkit denga kejayaan yang berganda.  Apa yang penting adalah saudari sentiasa berfikiran positif dan jangan terlalu memikirkan perkara yang telah berlalu.  Jadikan kegagalan yang lepas sebagai pendorong untuk terus cemerlang.  Manfaatkanlah waktu yang masih ada untuk membaiki kelemahan saudari.

Saudari boleh mendampingi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan kehidupannya untuk mengetahui cara belajar mereka.  Bahkan saudari boleh mengajak mereka untuk belajar secara berkumpulan.  Secara tidak langsung, saudari dapat berkongsi ilmu dengan mereka. Orang yang berilmu sudah tentu bukan orang yang kedekut ilmu.  Bak kata pepatah, menyelam sambil minum air.

Saudari, 

Gred B yang saudari peroleh merupakan platform untuk saudari mencapai gred A dalam peperiksaan yang sebenar.  Segalanya boleh terjadi jika saudari bersedia untuk berubah demi masa hadapan yang cerah kerana matlamat yang membara akan dapat merempuh walau apapun halangan yang datang.  Sentiasa ingatkan keluarga, ibu bapa dan guru-guru yang meletakkan kepercayaan mereka kepada saudari untuk memperoleh kecemerlangan.  Janganlah saudari menghampakan mereka semua yang telah banyak berkorban untuk saudari.

Di samping saudari meneruskan usaha untuk berjaya, saudari perlulah sentiasa mendekati Tuhan agar doa kita dimakbulkan.  Semoga saudari lebih bersemangat setelah membaca surat saya ini dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa.  Saya berdoa agar kita dapat menjawab soalan dengan tenang dan terang hati ketika menjawabnya.  Sampai di sini sahaja surat saya pada kali ini, semoga kita berjumpa di lembaran yang lain pula.  Sambutlah salam sayang saya buat saudari sekeluarga.  Sekian, terima kasih.

                                                                      Sahabatmu,
                                     Amalia
                                                                                 (Nur Amalia Hazwani binti Halid)






Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Perbuatan Merosakkan Harta Awam Kian Menjadi-jadi.


Harta awam membawa konotasi harta kegunaan orang ramai yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun swasta.  Contohnya seperti taman rekreasi, telefon awam, tandas awam dan pangkalan teksi.  Mutakhir ini, perbuatan merosakkan harta awam kian menjadi-jadi.  Perkara ini telah memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara.

Antara kesannya adalah menyusahkan masyarakat terutamanya golongan miskin atau sederhana. Mereka mungkin tidak mampu untuk membeli telefon bimbit kerana mereka hanya menggunakan duit mereka untuk menampung kehidupan seharian. Oleh itu, mereka pasti akan menggunakan telefon awam.  Sekiranya telefon awam rosak, mereka tidak dapat meminta bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, perbuatan ini juga menyebabkan kewangan negara terganggu.  Kerajaan terpaksa memperuntukkan dana untuk membaiki harta awam ini sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk membangunkan sektor lain.  Negara juga tidak dapat menaikkan taraf sosial ekonomi rakyat apabila wang rakyat dihabiskan untuk kerja membaik pulih harta-harta awam.

Imej negara juga pasti akan turut tercemar. Sebagai tamsilannya, apabila pelancong datang ke Malaysia dan terlihat contengan-contengan di dinding-dinding bangunan, mereka akan memandang serong terhadap negara ini. Mereka akan pulang ke negara mereka lalu memberitahu teman-teman mereka  tentang keadaan di Malaysia. Secara tidak langsung, Malaysia akan dipandang rendah sebagai sebuah negara yang maju.

Akhir sekali, industri pelancongan juga boleh tercemar sekiranya perbuatan ini berleluasa. Kita pasti sudah sedia maklum bahawa industri pelancongan menjadi salah satu sektor yang menjana kewangan negara dan sumber pendapatan rakyat di Malaysia.  Justeru, kemungkinan besar industri pelancongan ini akan terjejas dan rakyat mengalami kesukaran untuk mencari pendapatan sebagai akibat daripada perbuatan ini.

Tuntasnya, perbuatan merosakkan  harta benda awam ini akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara Malaysia.  Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berganding bahu untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.


                                                                     Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Surat Kiriman Rasmi Ucapan Penghargaan dan Terima Kasih kepada Pengetua


Andaikan bahawa anda telah berjaya diterima melanjutkan pelajaran dalam bidang
kejuruteraan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Tulis sepucuk surat kepada
pengetua sekolah anda untuk mengucapkan terima kasih atas segala tunjuk ajar guru-
guru anda. 



456,Taman Indah Permai,
27600 Raub, Pahang Darul Makmur. 
_____________________________________________________________
Tuan Pengetua,
SMK Seri Raub,                         
27600 Raub,
Pahang Darul Makmur                                                           2 FEBRUARI 2012.

Tuan,

Ucapan Penghargaan dan Terima Kasih

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya, Nur Amalia Hazwani binti Halid ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan dan semua guru di SMK Seri Raub yang telah mendidik saya sejak Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.  Saya kini sudah Berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa dan berada di Semester 1.

2.       Saya amat menghargai segala jasa guru-guru yang telah bersusah-payah mengajar saya sepanjang sesi persekolahan saya di sini dari tahun 2007 sehingga 2011.  Mereka tidak pernah kenal erti letih demi mengharumkan nama sekolah ini.  Memang tidak menghairankan sekiranya sekolah ini mencapai kejayaan dan prestasi yang cemerlang sesuai dengan visi sekolah iaitu ‘SMK Seri Raub Terus Cemerlang Menjelang 2012’.  Segala perancangan pihak sekolah untuk murid-murid seperti kelas tambahan terancang dan latih tubi yang diberikan setiap kali pada waktu bacaan pagi amatlah memberangsangkan dan tidak sia-sia.

3.         Saya juga  ingin menyatakan perasaan terhutang budi kepada pihak sekolah atas lantikan sebagai pengawas sekolah dan mempercayai saya untuk memegang jawatan tersebut.  Sesungguhnya, saya dapat melatih diri saya supaya lebih berdisiplin dan menjadi pemimpin apabila menyandang jawatan tersebut.  Seorang pengawas perlu bijak membahagikan masanya kerana selain menjaga disiplin sekolah, pengawas juga harus fokus untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Oleh sebab itu, sifat menghargai waktu dapat ditanam dalam diri saya.  Selain itu, jawatan pengawas ini juga telah menjadi salah satu tiket untuk saya diterima masuk ke institut pengajian tinggi.

4.           Kejayaan yang saya perolehi ini juga bukanlah atas usaha saya seorang malah kejayaan ini ialah hasil kombinasi usaha saya dan guru-guru yang mendidik saya. Tunjuk ajar guru-guru telah membuahkan hasilnya.  Mereka tidak mengenal erti penat lelah apabila mengajar apatah lagi sewaktu sekolah mengadakan kelas tambahan terancang.  Bahkan mereka tidak mendapat sebarang bayaran pun untuk datang mengajar pada waktu petang atau malam.  Saya amat mengagumi mereka.

5.          Apabila cuti semester tiba nanti, saya berjanji akan membantu pihak sekolah dengan mengajar murid-murid secara percuma untuk murid yang berada di kelas peperiksaan terutamanya.  Hal ini demikian kerana, saya tidak dapat menyumbang sesuatu yang melebihi kemampuan saya.  Hanya perkara ini yang dapat saya sumbangkan kepada pihak sekolah yang telah menjadi tempat saya mencapai kejayaan sekaligus dapat meringankan beban guru-guru yang sanggup bersengkang mata untuk anak-anak bangsa yang tercinta.  Bak kata pepatah, guru ibarat bulan yang menerima dan memberi cahaya.

6.         Akhir sekali, saya berharap agar SEMESRA  terus berjaya dan mencipta kejayaan yang berterusan supaya dapat berdiri setaraf dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain atau lebih bagus lagi dapat menandingi sekolah tersebut.  Semoga semua warga SEMESRA dapat melaksanakan misi sekolah terutamanya guru-guru iaitu memberi perkhidmatan pendidikan berkualiti kepada pelanggan bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Sekian, terima kasih. 


Yang benar,
Amalia
(NUR AMALIA HAZWANI BINTI HALID) 
 Bekas Pelajar SEMESRA.




                                                          Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA