Harga barang semakin hari semakin meningkat. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah
mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik.
Marcapada
ini, kenaikan harga barang-barang semakin menjadi-jadi. Puncanya, adalah kerana kenaikan harga minyak
yang diperlukan untuk menggerakkan mesin yang digunakan untuk menghasilkan
barang. Hal ini menambahkan lagi
kebimbangan ketua keluarga terutamanya yang berpendapatan rendah. Namun, masih terdapat cara untuk mengurus
perbelanjaan dengan baik sekiranya kos pengeluaran bulanan keluarga semakin
meningkat.
Antara
langkah yang boleh diamalkan adalah dengan menyenaraikan barang-barang yang
hendak dibeli setiap bulan. Melalui cara
ini, kita dapat mengelak daripada membeli barang-barang yang tidak penting
supaya bajet yang disediakan untuk bulan tersebut cukup untuk membeli barang
keperluan. Elakkan daripada membawa
kanak-kanak ketika berbelanja di pasar raya kerana mereka terdorong untuk
mengambil apa-apa sahaja yang kelihatan menarik di mata mereka seperti
permainan dan makanan ringan.
Selain itu,
kita juga boleh membuat belanjawan pada setiap bulan. Wang hasil pendapatan setiap bulan boleh
diagihkan untuk membeli barang keperluan, kegunaan harian dan simpanan. Kita
haruslah membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan sekiranya berlaku
kecelakaan atau malapetaka. Bak kata
pepatah “sediakan payung sebelum hujan”.
Kita juga perlu mengenalpasti antara keperluan dan kehendak kerana kita
sering mengikut kehendak hati dengan membeli barang-barang yang tidak penting
dan menyebabkan kita menjadi seorang yang boros. Perkara ini tidak bagus untuk
orang yang ingin mengurangkan perbelanjaan bulanan. Justeru, kita perlulah
berjimat-cermat dalam hal berbelanja dengan membeli barang keperluan sahaja.
Seterusnya,
elakkan penggunaan kad kredit dalam kehidupan harian kerana kad kredit hanya
akan menambahkan beban kepada penggunanya sahaja. Hal ini demikian kerana
sekiranya kita terlewat membayar semulajumlah yang telah digunakan, pihak bank
akan mengenakan caj bunga kepada penggunanya.
Sememangnya tidak dinafikan penggunaan kad kredit mempunyai kebaikan
kerana pengguna tidak perlu membawa wang yang banyak ketika berbelanja dan hal
ini mempengaruhi faktor keselamatan diri namun pengguna akan lebih terdedah
untuk berbelanja dengan banyak dan sering terlewat untuk membayarnya semula.
Akhir sekali,
kita juga digalakkan untuk membuat kerja sambilan menanam sayur-sayuran
sekiranya terdapat tanah di persekitaran rumah kita. Di samping dapat menampung keperluan hidup
keluarga dengan menjual sayur-sayuran tersebut di pasar, kita dapat berbudi
kepada tanah dengan mengusahakan tanaman
makanan tanpa membiarkan tanah tersebut terbiar. Sayuran yang ditanam juga boleh digunakan
untuk memasak tanpa perlu membeli di pasar.
Melalui cara ini kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan dapat
merasa hasil tanaman yang segar yang ditanam sendiri.
Konklusinya,
terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menguruskan perbelanjaan
dengan baik. Terpulang kepada keluarga
tersebut untuk menentukan perkara yang terbaik untuk mereka. Justeru, setiap anggota keluarga perlulah
bertoleransi dan bekerjasama untuk memastikan keadaan kewangan mereka kukuh
demi kebaikan masa hadapan mereka.
Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA
Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan