Ahad, 14 April 2013

TIDUR SEBAGAI TANDA KEKUASAAN ALLAH- POSISI TIDUR MENURUT ISLAM DAN SAINS





Allah SWT berfirman dalam surah ar Ruum:23 yang bermaksud;

"Dan di antara tanda-tanda kemurahan-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan siang hari, dan kamu mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang mahu mendengar nasihat pengajaran".

Dalam surah an Naba':9 pula Allah berfirman yang bermaksud "Dan Kami telah jadikan tidur kamu untuk berehat? "



POSISI TIDUR MENURUT ISLAM DAN SAINS

Barra bin Azib melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu." (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengajar umat Islam supaya baring pada lambung kanan. 

TIDUR YANG TERBAIK

Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan  (di lambung kanan seperti keterangan di atas) kerana paru-paru kiri lebih kecil daripada paru-paru kanan. Hal ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringgan.

Hati juga akan berada dalam kedudukan stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Posisi ini memudahkan proses mengosongkan perut daripada makanan selepas proses penghadaman. Tidur cara ini adalah tidur cara Rasulullah SAW.

TIDUR SECARA MENIARAP

Dr. Zafir al-Attar berkata,

"Seseorang yang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar, menghalang dada daripada meregang dan mengecut semasa menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang dapat mengganggu jantung dan otak."

Pengkaji dari Australia menyatakan berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan ataupun lambung kiri. (mengiring ke kanan atau mengiring ke kiri) 
Justeru, jangan tidurkan bayi secara posisi meniarap.

Tidur meniarap dilarang oleh Islam. Abu Hurairah melaporkan yang Rasulullah melihat seorang lelaki meniarap lalu baginda bersabda, "Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasul-Nya" (Direkodkan oleh Tirmizi dan Ahmad-Hasan Lighairihi)

Abu Umamah melaporkan yang Nabi berjalan berhampiran seorang lelaki yang tidur meniarap di masjid lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata,

"Bangunlah kamu daripada tidur dan duduklah. Sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka Jahanam. " (Direkodkan oleh Ibnu Majah)


TIDUR MENELENTANG

Dr. Zafir al-Attar berkata,

"Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan berlaku melalui mulut kerana mulut akan terbuka semasa menelentang disebabkan meregangnya rahang bawah."

Seelok-eloknya hidung yang bernafas kerana ada bulu-bulu dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan bagi memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut meninggalkan risiko seseorang itu terkena selesema pada musim sejuk dan menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.



TIDUR MENGIRING KE KIRI

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung akan dihimpit oleh paru-paru kanan yang lebih besar daripada paru-paru kiri. Tidur cara ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih-lebih lagi kepada orang yang sudah tua. Sepertimana perut yang penuh semasa itu, akan menekan jantung.

Satu kajian menunjukkan bahawa makanan yang lalu dari perut kepada usus berlangsung selama 2.5 hingga 4.5 jam bagi orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.

Rujukan: Buku '12 Cara Mendapatkan Doa Malaikat' oleh Dr.Haji Johari Haji Alias

******************

Intihanya, TIDUR JUGA MERUPAKAN SATU IBADAH DAN TIDUR UNTUK MENJAGA KESIHATAN.  Ikutlah sunah Rasulullah SAW agar melalui tidur kita dapat beristirehat setelah penat bekerja atau belajar serta mendapat ganjaran pahala untuk bekalan kita di akhirat kelak kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. 

Tidur mengikut cara Rasulullah SAW akan mudah  kita bangun pada 1/3 malam yang tersisa untuk beribadat kepada Allah SWT iaitu menunaikan solat Tahajjud dan seterusnya menunaikan solat fardu Subuh.

Janganlah kita tidur meniarap iaitu cara tidur ahli neraka Jahanam dan dimurkai oleh Allah SWT... Nauzubillah minzalik...

Carilah ilmu terutama ilmu agama agar segala tindakan kita, perbuatan kita serta cara hidup kita berlandaskan syariat Islamiah. Banyak tindakan kita, perbuatan kita serta cara hidup kita yang bertentangan dengan syariat Islam disebabkan kita tidak tahu dan tiada ilmu agama. Malah ada antara kita juga yang tidak berusaha untuk mencari ilmu untuk memandu tatacara hidup kita. 
Jangan disebabkan kecetekan ilmu, tatacara hidup kita terpesong dari landasan Islam seterusnya kita memikul banyak dosa tanpa kita sedari. Hal ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak. 

Melalui pembacaan, kita memperoleh ilmu. Diharapkan kita dapat memperteguhkan iman di dalam dada dengan ilmu yang bermanfaat yang diamalkan.

Semoga HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM DAN HARI ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI DENGAN gabungan ILMU, IMAN DAN AMAL ...in shaa Allah...

Astaghfirullah...aku mohon keampunan-Mu ya Allah jika ada kesilapanku dan dosa-dosaku...
Subhanallah   Alhamdulillah   Allahu Akbar...
Allah  Allah  ya Allah...

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan