Jumaat, 20 September 2013

Karangan Bahan Rangsangan PMR- Kesan-kesan Pencemaran Alam Sekitar

KESAN-KESAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR


     Pencemaran alam sekitar membawa konotasi persekitaran yang kotor disebabkan oleh tindakan manusia. Mutakhir ini, Malaysia mengalami pencemaran alam sekitar yang serius disebabkan sikap negatif segelintir sipil.

     Pencemaran air merupakan pencemaran alam sekitar yang serius . Hal ini berpunca daripada pembuangan sampah dan sisa toksid ke dalam punca saliran. Impaknya, sumber air akan tercemar dan hidupan akuatik akan mati.

     Seterusnya, asap daripada kenderaan dan kilang menyebabkan pencemaran udara. Impaknya, masyarakat sukar bernafas dan menyebabkan penyakit asma. Hujan asid juga berlaku dan penyakit kulit terjadi.

     Selain itu, pencemaran bunyi datangnya daripada kenderaan dan kerja-kerja pembinaan. Impaknya, masyarakat tidak selesa untuk beristirehat kerana terganggu dengan bunyi-bunyi yang bising.

   Konklusinya, pencemaran alam sekitar banyak membawa bahana kepada negara. Masyarakat perlu bekerjasama bagi menangani pencemaran ini daripada terus serius kerana muafakat membawa berkat.

(125 patah perkataan)
                                               Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan bahan Rangsangan PMR- Faedah-faedah Menabung

FAEDAH-FAEDAH MENABUNG


     Mutakhir ini, kerajaan sering melancarkan kempen menabung tamsilnya ASB 2  bagi menggalakkan masyarakat menabung. Banyak faedah yang diperoleh melalui amalan menabung.

     Kita dapat memupuk amalan berjimat-cermat melalui menabung. Amalan ini sangat dituntut dalam Islam dan dapat merancang seterusnya menguruskan wang dengan bijak.

     Selain itu, menabung dapat kita gunakan semasa hari tua kita. Kita dapat menggunakan wang tersebut bagi menampung keperluan asas semasa tua seperti membeli makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Bagi orang Islam, wang tersebut juga boleh digunakan untuk mengerjakan haji dan umrah.

     Seterusnya, kita dapat membuat persediaan awal bagi menghadapi kecemasan dengan menabung. Kita dapat menampung perbelanjaan perubatan jika menghadapi penyakit kritikal persis peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

     Konklusinya, amalan menabung perlu disemai dalam diri sejak kecil lagi agar dapat melahirkan masyarakat madani selaras dengan Wawasan Perdana. 

(125 patah perkataan)

                                                     Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR- Amalan Gaya Hidup Sihat

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

     Mutakhir ini, masyarakat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini demikian kerana mereka sangat sibuk dengan kerjaya masing-masing.

     Antara amalan gaya hidup sihat ialah kita hendaklah bersenam untuk menyihatkan badan. Senaman boleh dilakukan tiga kali seminggu sekurang-kurangnya dua puluh minit pada setiap kali. . Amalan ini juga dapat mencerdaskan minda.

     Seterusnya, rehat dan tidur yang secukupnya penting dalam amalan gaya hidup sihat. Pelajar yang tidak cukup tidur menyebabkan mereka mengantuk di dalam kelas dan tidak fokus terhadap pelajaran.

     Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan dengan makan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan. Hal ini demikian kerana kita akan terhindar daripada segala penyakit melalui amalan ini.

     Tuntasnya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa untuk menjamin kehidupan yang cerah.


(121 patah perkataan)

                                                            Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Selasa, 17 September 2013

Karangan Bahan Rangsangan PMR- Kepentingan Menyambut Hari-hari Perayaan di Malaysia

KEPENTINGAN MENYAMBUT HARI-HARI PERAYAAN DI MALAYSIA

     Perayaan membawa konotasi hari kebesaran yang disambut oleh sesuatu kaum. Mutakhir ini, kerajaan telah mengadakan Rumah Terbuka Malaysia bagi meraikan sambutan perayaan di negara kita.

     Sambutan hari perayaan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim seperti Tahun Baru Cina, Hal ini sedemikian kerana kita dapat mengenali sanak-saudara yang jauh bak peribahasa air dicencang tidak akan putus.

     Kita dapat bermaaf-maafan melalui sambutan hari perayaan. Sambil saling menziarahi, kita dapat bermaafan antara satu sama lain, contohnya semasa Hari Raya Aidil Fitri. 

     Sambutan hari perayaan dapat melahirkan perasaan gembira. Hal ini kerana umat Islam berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan dan dapat menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

     Tuntasnya, sambutan hari-hari perayaan di Malaysia dapat mengekalkan adat dan budaya kaum masing-masing. Masyarakat perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi merealisasikan konsep 1Malaysia seperti kata-kata hikmat Muafakat Membawa Berkat.

(Fatin Ani)

                                                  Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Bahan Rangsangan PMR- Usaha-usaha untuk Memupuk Sikap Berbudi Bahasa

USAHA-USAHA UNTUK MEMUPUK SIKAP BERBUDI BAHASA

      Mutakhir ini sikap berbudi bahasa dalam kalangan sipil di Malaysia kian terhakis dek pengaruh budaya barat. Terdapat pelbagai usaha untuk menyemai sikap berbudi bahasa dalam kalangan sipil.

     Setiap individu hendaklah menggunakan bahasa yang bertatasusila lebih-lebih lagi apabila berkomunikasi dengan orang tua bak kata pepatah yang tua dihormati, yang muda disayangi sebagai tanda penghormatan kepada mereka.

     Berikutnya, kita juga hendaklah mengucapkan salam apabila bertemu dan  mempraktikkan sikap berbudi bahasa dalam kehidupan kita seharian bagi menjamin keharmonian hidup dalam komuniti.

     Seterusnya, kita janganlah meninggikan suara apabila bercakap dengan orang yang lebih tua bagi menjaga perasaan mereka. Hal ini demikian dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan.

    Tuntasnya, semua pihak mestilah bekerjasama menyemaikan sikap berbudi bahasa dalam kalangan sipil demi melahirkan masyarakat madani.

(119 patah perkataan)


                                                              Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Peranan Ahli Keluarga dalam Membentuk Keluarga Bahagia

Setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memupuk keluarga bahagia. Berikan pendapat anda tentang hal tersebut. 


        Keluarga bahagia ialah keluarga yang hidup dalam keadaan aman damai, tenang dan harmoni. Mutakhir ini, kita dapat menyaksikan hubungan kekeluargaan yang semakin renggang lantaran dek terlalu sibuk mengejar hal-hal duniawi. Hubungan kekeluargaan ini mestilah dirapatkan semula demi membentuk keluarga bahagia seterusnya untuk kesejahteraan negara. Seseorang yang mempunyai keluarga yang bahagia pasti akan bertambah berkat hidupnya. Bukan itu sahaja, malah hidup kita juga sentiasa tenang dan berasa gembira . 

       Pada realitinya, banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa berada jauh di luar bandar sedangkan anak-anak sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tanggungan sendiri di bandar. Suami isteri bekerja di luar rumah dan mereka sentiasa sibuk. Hal ini, akan menyebabkan hubungan kekeluargaan semakin renggang dan menyebabkan keluarga menjadi tidak bahagia. Lebih parah lagi, hal ini boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus dan seterusnya keluarga menjadi porak peranda. 

    Terdapat beberapa usaha dalam memupuk keluarga bahagia. Antaranya ialah, ibu bapa mestilah memberikan didikan agama dan moral sejak kecil lagi. Mereka hendaklah diberi keinsafan betapa sukarnya ibu bapa masing-masing mendidik mereka. Oleh itu, jasa ibu bapa haruslah dibalas misalnya dengan selalu mengunjungi mereka atau menghulurkan wang untuk mereka berbelanja demi menampung kehidupan. Dengan adanya bekalan didikan agama juga, seseorang individu akan mengetahui tanggungjawab masing-masing dan melaksanakan atau memikul tanggungjawab tersebut dengan baik, tamsilnya seorang bapa akan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dengan baik, begitu juga seorang ibu atau isteri dan juga anak-anak yang masing-masing menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana dengan didikan agama mereka tahu dosa dan pahala. Didikan agama menjadikan seseorang itu tidak alpa terhadap tanggungjawab yang digalas. Natijahnya, seseorang yang ada ilmu agama akan menjalankan tanggungjawab dalam sesebuah keluarga dengan baik seterusnya akan melahirkan keluarga yang bahagia. 

     Seterusnya, ibu bapa dan anak-anak perlulah meluangkan masa bersama-sama dengan melakukan beberapa aktiviti yang berfaedah. Tamsilnya , melancong, bersenam, berkelah, menonton televisyen dan sebagainya. Hal ini, dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga. Persis peribahasa Melayu, bagai isi dengan kuku. Aktiviti ini boleh dilakukan pada hujung minggu , hari-hari cuti umum atau pada masa musim cuti persekolahan. Aforisme klasik Melayu mengatakan sambil menyelam minum air, selain daripada membentuk keluarga bahagia, masa yang terluang juga dapat dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah bak kata peribahasa Melayu masa itu emas

    Berikutnya, anak-anak juga memainkan peranan yang penting dalam memupuk keluarga bahagia. Contohnya, bagi abang atau kakak yang sudah dewasa, bolehlah membantu meringankan beban ibu bapa seperti menjaga adik, mengemas rumah dan memasak. Dengan itu, ibu tidaklah terlalu tertekan apabila pulang ke rumah setelah penat bekerja. Malah, ibu juga akan berasa gembira melihat keadaan rumah yang teratur dan bersih. Hal ini, akan mengelakkan pertelingkahan antara ibu dan anak seterusnya membawa kepada pembentukan keluarga bahagia. 

    Selanjutnya, datuk, nenek serta sanak- saudara yang lain turut memainkan peranan yang besar dalam membentuk keluarga bahagia. Semangat kekeluargaan hendaklah dipupuk dari semasa ke semasa. Tamsilnya, apabila mengadakan kenduri kahwin, seelok-eloknya hidangan untuk majlis tersebut hendaklah disediakan secara gotong-royong oleh seisi keluarga dan dengan menjemput semua ahli keluarga serta sanak- saudara. Dengan ini, saudara yang jauh dapat didekatkan dan saudara yang dekat dapat pula dimesrakan dan sudah tentu majlis tersebut akan menjadi sangat meriah. 

    Akhir sekali, untuk mengelakkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang , berkongsilah masalah yang dihadapi dan cubalah mencari penyelesaiannya dengan cara berbincang secara baik antara ahli keluarga. Jelaskan juga jika terdapat ketidakpuasan hati antara ahli keluarga. Aforisme klasik Melayu mengatakan , berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Hal ini akan dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi serta mengelakkan berlakunya konflik dalam sesebuah keluarga yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam keluarga tersebut. 

    Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh keluarga bahagia amat penting dalam kehidupan kita, bahkan negara kita juga akan aman damai kerana tiada pertelingkahan sesama sendiri. Saya berharap agar semua masyarakat di bumi Malaysia ini berusaha untuk memupuk keluarga bahagia agar hidup kita diberkati. 

(Nurul Haziatie Aninna)

                                                   Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Sabtu, 14 September 2013

Karangan SPM- Ucapan- Inovasi dan Kreativiti Melalui Aktiviti Kokurikulum

INOVASI DAN KREATIVITI MELALUI AKTIVITI KOKURIKULUM

Yang dihormati Tuan Pengetua, Guru-guru Penolong Kanan, barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, barisan guru serta rakan-rakan sekalian,assalamualaikum , selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

Tajuk yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Inovasi dan Kreativiti Melalui Aktiviti Kokurikulum. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, Inovasi didefinisikan sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan sebagainya manakala kreativiti pula bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli.

Warga Dewan yang Dihormati Sekalian,
           
            Pelbagai aktiviti yang inovatif dan kreatif boleh kita lakukan melalui gerak kerja kokurikulum misalnya aktiviti kawad kaki. Kawad kaki merupakan aktiviti yang mesti dijalankan oleh setiap badan beruniform . Semua ahli  badan beruniform harus tahu arahan dan disiplin dalam kawad kaki. Kita boleh melakukan inovasi dan kreativiti melaui aktiviti kawad kaki ini tanpa menjejaskan disiplin kawad contohnya dengan menggunakan muzik. Cara ini membuatkan murid lebih seronok berkawad dan tidak berasa tertekan. Tambah-tambah lagi jika berkawad di tengah panas.

            Dalam aktiviti perkhemahan, inovasi dan kreativiti  juga boleh dilakukan contohnya melalui aktiviti ikhtiar hidup. Murid-murid boleh cuba memasak dengan tidak menggunakan peralatan memasak seperti periuk dan kuali tetapi memasak dengan menggunakan peralatan dari alam semulajadi contohnya memasak nasi dan lauk di dalam buluh, memasak telur di dalam tanah dan sebagainya.

Warga Dewan yang Dihormati,

            Dalam aktiviti sukan dan permainan pula, kita boleh melakukan inovasi dan kreativiti melalui permainan bola jarng misalnya. Bola Jaring merupakan permainan yang sinonim dengan murid perempuan. Apa kata kalau kita memberi peluang kepada murid lelaki pula bermain bola jaring. Cara ini dapat mendedahkan mereka tentang kaedah bermain bola jaring serta dapat merasai keseronokannya. Inovasi dan kreativiti juga boleh dilakukan misalnya bermain bola jaring tanpa gol. Fokus permainan bukan terhadap bilangan skor tetapi kepada teknik balingan, teknik menghadang dan sebagainya. Seperti kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

            Acara sukan juga boleh dilakukan inovasi dan kreativiti misalnya dalam acara larian. Selalunya acara larian atau trek akan didominasi oleh atlit-atlit yang bertubuh kurus atau langsing, tinggi dan mempunyai langkah yang panjang. Murid yang berbadan gempal atau obesiti tidak berpeluang memasuki acara ini. Justeru, untuk memberi peluang murid-murid obesiti memasuki acara larian, kita boleh mengadakan acara larian untuk murid obesiti. Mereka akan dikategorikan mengikut berat badan mereka.

Hadirin yang Dikasihi sekalian, 

            Dalam aktiviti persatuan pula, inovasi dan kreativiti dapat diterapkan misalnya melaksanakan projek kitar semula. Murid-murid boleh mereka cipta barangan daripada bahan-bahan terbuang. Contohnya membuat bekas pensil daripada batang ais krim, membuat pasu bunga daripada kertas surat khabar atau majalah lama, membuat bunga daripada kulit jagung, bunga kelapa, bekas plastik minuman dan aluminium. Selain daripada dapat menerapkan nilai inovasi dan menjana kreativiti murid-murid dalam aktiviti ini, kita juga dapat mengumpul wang tabung persatuan dengan cara menjual hasil kerja tangan tersebut. Alam sekitar juga dapat diselamatkan.

Akhirul kalam, diharapkan rakan-rakan membuka mata dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Aktiviti kokurikulum mempunyai pelbagai manfaat. Selain membantu kurikulum, menerapkan ciri-ciri kepimpinan, kerjasama dan perpaduan, aktiviti kokurikulum juga dapat menjana minda yang kreatif dan inovatif.


Sekian, terima kasih.



                                                    Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

AYAHKU SEORANG PELAYAR



Ayahku seorang pelayar. Itulah pekerjaan nenek moyangku zaman berzaman yang diwarisi oleh ayahku. Pekerjaan orang pantai timur. Awak-awak perahu bidur ayah memanggil ayahku ‘Tok Nakhoda’.

Belayar merupakan satu pekerjaan yang dikagumi pada masa itu kerana bukan calang-calang orang mampu mengemudikan sebuah perahu bidur. Menjadi pelayar memerlukan keberanian yang tinggi kerana dugaan di lautan amat mencabar. Kadang-kadang diserang lanun, kadang-kadang diancam ribut. 

Pernah ayahku bercerita, bila ribut melanda, langit tiba-tiba menjadi gelap, laut bergelora. Ombak boleh mencecah setinggi pokok kelapa. Perahu bidur ayah akan terumbang ambing di lautan meredah ombah besar. Silap haribulan, perahu boleh pecah dan tenggelam. Pada masa itu hanya Allah sahajalah diri ayah diserahkan. Banyak kali juga perahu bidur ayah diserang lanun terutama bila berada di perairan Siam. Kadang-kadang ayah terpaksa terjun ke dalam laut dan menyelam berjam-jam lamanya untuk menyelamatkan diri. Apabila ayah tidak timbul-timbul, lanun menyangkakan ayah sudah mati, jadi mereka pun meninggalkan perahu ayah. Masa itulah baru ayah boleh timbul dan naik semula ke perahu. Sebab itulah menjadi seorang pelayar memerlukan keberanian yang tinggi. Silap-silap haribulan, akan dibunuh lanun. Hal inilah yang selalu diceritakan oleh ayahku.

Ayah belayar ke Siam(Thailand) iaitu ke Patani dan Bangkok,  Kelantan, Pulau Tioman dan lain-lain tempat lagi, memuat garam, beras, bawang, rempah dan sebagainya yang boleh diperdagangkan. 

Aku masih ingat ketika kecilku, aku tidak suka ayah pergi berlayar. Bila ayah berlayar bermakna ayah akan meninggal kami kurang lebih tiga bulan. Selama tempoh itu aku akan merindui ayah dan menanti kepulangannya hari demi hari. 

Tiap-tiap pagi dan petang, aku akan ke tepi sungai memandang ke muka kuala, berharap agar ada kelibat layar perahu bidur. Bila tiada kelibat perahu bidur yang masuk ke kuala, aku merasa sangat kecewa. Namun hati masih berharap agar hari esok kelibat layar akan kelihatan. Jika nampak ada perahu bidur yang masuk ke muka kuala, hatiku akan melonjak kegirangan kerana aku mengharapkan bahawa perahu bidur itu kepunyaan ayahku. Jika bukan, aku kecewa lagi. Dan esoknya aku menanti lagi. Begitulah kelakuanku menanti kepulangan ayah saban waktu hinggalah penantian itu menjadi realiti. Bila ayah pulang, ayah akan membelikan aku dan adikku sehelai baju. Itulah yang paling aku suka di zaman kanak-kanakku dulu.

Masih aku ingat waktu itu aku dalam darjah empat. Aku sering menolong ayahku menggumba air dalam perahu bidur ayahku kerana perahu bidur ayahku bocor. Aku mengayuh sampan berseorangan dari jambatan Sungai Buaya ke muara sungai tempat ayahku meletakkan perahu bidurnya itu. 

Aku mengayuh sampan itu melalui hutan pohon nipah di kiri kanannya berseorangan. Tidak pernah aku merasa takut terhadap apa-apa pun. Mujurlah tidak pula aku terserempak dengan ’penghuni sungai’ itu yang kadang-kadang timbul menunjukkan kewujudannya. Kini, bila aku mengingatinya kembali, aku berasa gerun dan dalam masa yang sama aku juga kagum pada diriku sendiri.Apa tidaknya, hanya dengan kudrat seorang gadis sekecil aku waktu itu dan berbadan kurus pula, aku boleh menggumba air sebuah perahu besar dan mengayuh sampan berseorangan.

Masihku  ingat lagi, aku akan berasa sedih bila ayah mula mencari kulit pokok gurah dan membeli kain guni gandum yang banyak, kerana aku tahu ayah akan meninggalkan aku lagi untuk berlayar. Guni gandum itu akan direbus ke dalam tong drum yang besar bersama kulit pokok gurah. Kata ayahku, kulit pokok itu adalah untuk menjadikan kain guni gandum itu tahan dan tidak mudah koyak ditiup angin kencang apabila dijadikan layar. Selepas itu ayah dan beberapa orang awak-awaknya akan menjahit kain guni gandum itu berhari-hari lamanya untuk dijadikan layar. Aku dan adikku akan bermain-main di atas layar itu dengan gembira, sementara ayah menjahit layar itu. Ayah tidak pula memarahiku. Tapi sebaik sahaja layar itu siap, aku tahu bila-bila masa sahaja ayah akan berpergian lagi, meninggalkan ibu, aku dan adik- beradik lainnya.  

Bila tiba musim tengkujuh, ayah tidak berlayar. Waktu ini ayah akan membuat apa-apa sahaja pekerjaan yang boleh menampung kehidupan kami sekeluarga. Di pantai timur pada musim ini, hujan akan turun mencurah-curah. Kadang-kadang tidak berhenti-henti selama seminggu lebih. 

Waktu inilah kehidupan kami amat susah. Susah mendapat ikan pada waktu itu kerana nelayan tidak ke laut. Ikan yang ada pada waktu itu ialah ikan ’tambang buru’ yang mempunyai banyak tulang. Waktu kecilku, aku sangat tidak suka akan ikan itu kerana aku tidak pandai memakannya. Emak akan kelar ikan itu halus-halus sebelum digoreng supaya kami tidak tercekik tulang. Bila perut lapar, terpaksalah aku menjamahnya juga. Tiada pilihan. Kini, jika aku melihat ikan itu di jual di pekan sehari, nostalgia itu akan terimbau kembali. Susahnya waktu kecilku dulu.

Sebagai seorang nakhoda, ayahku pandai memasak. Aku paling suka jika ayah memasak lempeng ubi kayu berlapikkan daun pisang  pada musim tengkujuh. Baunya yang wangi menyebabkan aku dan adikku tidak sabar-sabar memakannya. Aku dan adikku akan bersedia dengan pinggan masing-masing menadah lempeng yang dimasak ayah. Sedapnya lempeng yang dimasak ayah,  kini menggamit rinduku lagi.

Apabila mengingati akan daun pisang, aku masih ingat lagi, pernah pada musim tengkujuh, ibuku menebang pokok pisang yang sudah masak buahnya untuk digoreng dalam hujan lebat yang mencurah-curah. Pelepah daun pisang itu pula ibu raut dan menyuruh aku dan adikku menghantarnya ke rumah Mak Chik Nah, rakan ibu yang membuat jualan. Kata ibu, ”pergilah hantar, dapat duit, boleh buat belanja”. 

Dalam hujan lebat itu, aku menjunjung daun pisang yang telah diikat kemas itu sementara adik lelakiku memayungi aku. Tubuhnya yang lebih rendah dariku menyebabkan dia terkial-kial memegang payung supaya kami tidak basah. Tetapi disebabkan payung itu kecil, hujan pula lebat, payung itu tidak dapat melindungi kami berdua beradik. Habis kami berdua basah kuyup. Walaupun begitu, aku tetap gembira kerana hasil jualan daun pisang itu yang sebanyak lapan puluh sen dapat aku berikan kepada ibuku.Ternyata ibuku sangat gembira kerana dengan duit itu dapatlah digunakan untuk membeli barangan dapur yang diperlukan.  Begitulah besarnya peranan duit sebanyak lapan puluh sen pada waktu itu.

Aku masih ingat lagi, waktu itu apabila setiap kali bulan Januari, sekolah akan dibuka semula. Aku akan merasa sedih kerana tiada baju baharu dan kasut baharu untuk dipakai ke sekolah seperti rakan-rakanku yang lain. Walau bagaimanapun, persekolahan tetap diteruskan jua walau hanya memakai baju lusuh dan kasut yang sudah ’haus’ tapaknya. Aku ke sekolah hanya dengan berjalan kaki berbatu-batu jauhnya dari darjah satu hinggalah ke darjah enam. Itulah sebabnya tapak kasutku cepat ’haus’. 

Emak hanya mampu memberiku wang saku sebanyak sepuluh sen beserta nasi yang dibungkus dengan daun pisang dan seekor ikan selar kuning yang digoreng sebagai bekalan. Kadang-kadang aku membawa bekal air teh ’o’ di dalam botol kaca (bekas botol sos tomato) dan jika tidak membawanya, air paip sahajalah yang membasahi tekakku. Duit sepuluh sen pemberian emak aku simpan di dalam tabung ayam yang ayah beli sewaktu pelayarannya. Begitulah susahnya kehidupan masa dulu. Tapi aku tidak pernah meminta lebih dari itu, kerana aku tahu ayah dan ibuku tidak mampu memberinya sebagaimana orang lain. Jika tiba hari raya, emak akan menjahit bajuku, dan kasut yang akan aku pakai adalah kasut sekolah sahaja. Ayah tidak mampu membelinya buat kami adik beradik. Abangku sentiasa berpesan, ”ayah tiada berharta untuk ditinggalkan kepada kita semua, hanya pelajaran sahajalah yang mampu ayah beri”. 

Pesan itu bagai azimat buatku untuk belajar bersungguh-sungguh hinggalah aku berjaya ke menara gading. Aku tahu, hanya pelajaran sahajalah yang boleh mengubah hidupku.

Aku masih ingat, selepas tidak lagi belayar kerana sukar mencari awak-awak, perahu bidur ayah hanya tersadai di tepi sungai berhampiran rumah kami. Lama-kelamaan perahu itu reput dan dibakar. Sekarang jika aku ingin melihat perahu bidur, aku akan ke muzium maritim yang terletak di Losong. Bagi menyara hidup dan mengisi masa, ayah hanya membuat kerja-kerja kampung dan berternak. Tahun demi tahun, usia ayah semakin meningkat. Kudrat ayah tidak sekuat semasa dia menjadi pelayar dahulu. Setiap kali aku balik kampung, aku akan memintanya meninggalkan pekerjaannya itu dan tinggal bersamaku, tetapi kata ayah dia jemu. Aku tidak dapat memaksanya untuk mengikutiku.

Suatu hari pada bulan November 2008, adikku memberitahuku bahawa ayahku sakit. Aku terus pulang untuk menjengguknya. Masihku ingat dalam sakit-sakit itu, ayah masih berselera memakan lemang dan serunding yang kusuap. Aku tahu ayah amat gemar memakan lemang. Akhirnya aku membawa ayah pulang dan menjaganya di rumahku di Raub. Setelah beberapa hari di rumahku, ayah mendesak untuk pulang ke kampung. Akhirnya ayah dihantar pulang. 

Sakit ayah semakin tenat. Aku dan adik-adikku yang tinggal jauh pulang ke kampung menjaganya. Aku mencukur janggut, menukar lampin dan pakaiannya serta mengelap badannya dengan kain basah. Begitulah setiap hari aku lakukan semasa menjaga ayahku yang sakit. Adikku pula menyuap ’nestum’ untuknya menggunakan picagari. Hanya itulah yang mampu ayah makan. Ayah tidak mampu bercakap lagi. Setelah tinggal beberapa hari di kampung, suami dan anak-anakku pulang ke Raub kerana suamiku terpaksa bekerja. Aku meminta izin untuk tinggal di kampung selama seminggu lagi untuk menjaga ayahku. Nasib baiklah suamiku memahami. Adikku yang bekerja sebagai jururawat juga memohon cuti untuk menjaga ayah.

             Masih ku ingat, pada masa itu Hari Raya Aidil Adha 2008, adikku yang bekerja sebagai jururawat bertekad mahu memasukkan air (drip) ke dalam badan ayah melalui urat tangan kerana katanya jika dimasukkan air, ayah akan lebih bertenaga. Aku memegang tangan ayah manakala adikku mencari urat pada belakang tapak tangan ayah. Puas juga adikku mencari urat yang sesuai untuk dimasukkan jarum kerana urat-urat tangan ayah yang sudah tua itu tidak lurus lagi. Akhirnya dapatlah juga dia mencucukkan jarum ke dalam urat tangan ayah. Tetapi beberapa saat kemudian, air yang masuk ke urat ayah membuak-buak keluar. Adikku cepat-cepat menghentikan ’drip’ air tersebut sambil menangis. Aku tergamam dan bertanya kepada adikku sebab-sebab dia menangis. Adikku berkata bahawa sebagai seorang jururawat, daripada pengalamannya, ayahku akan ’pergi’ bila-bila masa kerana air tidak lagi diterima oleh badannya. Menangislah kami pada hari itu apabila mendengar adikku berkata demikian.”Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, Engkau panjangkanlah umur ayahku, tapi sekiranya sudah tiba masanya dia kembali kepada-Mu, aku reda ya Allah, Engkau ambillah dia dalam kalimat Lailahailallah Muhammadur Rasulullah”.   Aku cuba menerima kenyataan bahawa entah hari itu, entah esok atau entah lusa, Allah akan menjemput ayahku ’pulang’ ke pangkuan-Nya.

Pada malamnya, kami memanggil jiran-jiran untuk membacakan surah Yaasin untuk ayah. Kami tidak henti-henti membacakan ayat-ayat suci al-Quran.  Esoknya semasa adikku menyuap ’nestum’ untuk ayah, tiba-tiba ayahku seperti terpana. Dia memandang ke arah hujung kakinya dan tidak mahu menelan ’nestum’ yang disuapkan. Aku dan adikku jadi terkejut. Kami tertanya-tanya apa yang dilihat ayah agaknya. Anak saudaraku yang berumur tiga tahun memeluk umminya sambil berkata dia takut. Aku bertanya sebab-sebab dia takut. Katanya ada ’sesuatu di sana’ sambil menunjukkan ke hujung kaki ayah. Lebih kurang lima minit keadaan ayah kembali normal. Aku bertanya kepada anak saudaraku dari mana ’benda itu’ masuk. Anak saudaraku mengatakan ’benda itu’ masuk melalui pintu hadapan. Dia menceritakan bagaimana rupa ’benda itu’ yang dilihatnya sebentar tadi. Aku tahu bahawa ’benda’ yang dilihat oleh anak saudaraku dan ayahku itu tadi ialah malaikat maut yang sudah datang menziarahi ayahku kerana datangnya ’benda itu’ melalui laluan yang elok iaitu melaui pintu masuk rumah kami. Disebabkan masanya belum sampai ’dia’ pergi semula. Kami reda, jika kiranya sudah sampai masanya untuk ayahku meninggalkan kami semua. Esoknya ‘benda’ itu datang lagi, tetapi kali ini pada sebelah petang pula. Kami tahu masanya sudah hampir tiba.

Pada hari Sabtu 13 Disember 2008, aku memohon kepada ibuku untuk pulang ke Raub kerana suami dan anak-anakku sudah seminggu ditinggalkan. Tiada sesiapa yang menguruskan anak-anakku kerana suamiku bekerja. Aku membisikkan di telinga ayahku bahawa aku terpaksa pulang. Aku berjanji bahawa aku akan balik semula ke kampung, dan jika ayah panjang umur, insha-Allah aku akan berjumpa lagi dengannya. Aku memohon maaf daripadanya berkali-kali kerana terpaksa pulang. Aku juga membisikkan ke telinganya bahawa ayah tidak ada dosa denganku. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah kecik hati dengannya. Sambil mengalirkan air mata, tidak lupa aku membisikkan syahadah di telinganya  berkali-kali. Aku berdoa jika Allah menjemputnya sepeninggalanku, aku reda. Aku juga memohon kepada Ilahi, jika Allah ingin menjemput ayahku, biarlah tidak di depanku kerana aku adalah hamba-Nya yang lemah, aku tidak sanggup melihat saat-saat malaikat mencabut nyawa ayahku.

Hari itu seharian ayahku memandang ke dinding, ke arah atas peti televisyen. Aku tidak mengerti, apa-apa yang dilihat oleh ayahku itu. (Kini aku tahu rupa-rupanya ayah melihat ke atas frame bertulisan Allah yang terletak di dinding itu). Dengan berat hati, selepas solat zohor, aku dan adikku (jururawat) yang tinggal di Kuantan pulang. Aku memandu kereta adikku ke Kuantan. Di sana suamiku menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Raub.  Aku sampai di Raub lebih kurang jam 11.00 malam. Setelah mandi dan solat, aku tidor. Aku berdoa kepada Allah agar ayahku dipanjangkan umur dan beberapa hari lagi aku akan pulang semula ke kampung menjenguk dan menjaganya. Disebabkan penat mudah sahaja aku melelapkan mata. Aku bermimpi ayahku datang kepadaku. Aku terjaga dan terus ke bilik air. Seketika kemudian tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Rupa-rupanya adikku yang menelefon. Aku melihat jam dinding di bilikku, waktu itu hampir pukul 2.00 pagi. Adikku memberitahu bahawa ayahku baru sahaja dijemput Ilahi. Innalillah hiwainna ilahirojiun. Daripada-Nya dia datang, kepada-Nya dia kembali.  

Dengan beg-beg baju yang masih berada di tepi pintu, aku sekeluarga pulang semula ke kampung jam 2.00 pagi Ahad 14 Disember, 2008. Kami tiba pukul 7.00 pagi. Aku terus menuju ke sekujur tubuh kaku yang ditutupi kain batik lepas di ruang tamu rumah ibuku. Rumah ibuku dipenuhi jiran-jiran yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Aku mendekati jenazah ayahku. Ku buka kain yang menutupi jenazahnya. Aku mengucapkan salam kepadanya kerana aku tahu rohnya masih berada di situ. Aku lihat kelopak matanya sedikit terbuka. Dalam hatiku mengatakan bahawa mungkin ayahku menunggu aku pulang. Aku baca ayat-ayat suci al-Quran dan mengurut kelopak matanya pelahan-lahan. Setelah mengurut matanya sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran, kelopok mata ayahku pun tertutup rapat. Aku teringat firman Allah yang aku pernah baca daripada tafsir al-Quran yang bermaksud...

“ Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia;  Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”  (surah Al-Fajr, ayat 27-30)

Aku cium pipi ayahku dengan genangan air mata yang cuba ku tahankan. Aku berbisik kepadanya bahawa aku sudah pulang. Aku reda Allah menjemputnya. Aku berjanji kepadanya bahawa aku akan sentiasa membacakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai hadiah kepadanya agar rohnya aman ‘di sana’. Itulah hadiah dariku sebagai anak untuk bapanya yang telah meninggal dunia yang fana ini. Dengan linangan air mata, aku memohon kepada Allah agar menempatkan roh ayahku bersama roh orang-orang yang beriman.

Sejurus kemudian, jenazah ayahku pun dimandikan. Aku melihat bagaimana jenazah ayahku dimandi dan dikafankan. Aku teringat bagaimana aku memandikan ayah sewaktu ayah berada di rumahku. Aku lihat begitu lembut tangan dan anggota badannya seperti seorang bayi yang sedang tidur sahaja. Setelah siap solat jenazah, adikku yang bekerja di Kuala Lumpur belum sampai lagi. Aku memohon kepada imam agar menunggu adikku yang dalam perjalanan pulang. Nasib baiklah tuan imam akur dan kain kafan penutup muka tidak diikat. Apabila adikku sampai, dia terus masuk ke rumah dan mencium jenazah ayahku. Aku lihat begitu tenangnya dia. Tidak sedikitpun dia menangis. Agaknya adikku sudah bersedia menerima kenyataan bahawa ayah akan meninggalkan kami adik-beradik sejak kejadian Hari Raya Aidil Adha tempoh hari.

Aku bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan cuaca yang baik pada 14 Disember itu, walaupun sebelum ini hujan lebat tidak berhenti-henti. Akhirnya jenazah ayahku selamat dikebumikan di perkuburan Bukit Tumbuh di samping bapanya. Ayah berpesan jika dia meninggal, gunalah batu yang dia ambil dari pulau semasa pelayarannya dahulu sebagai nisan. Batu itulah kami jadikan nisan ayah seperti wasiatnya. Begitulah akrabnya arwah ayahku dengan dunia pelayarannya.

Ibuku menceritakan bahawa pada malam sepeninggalan aku dan adikku, lebih kurang jam 1.00 pagi, ibuku sudah melihat kelainan pada wajah ayahku. Sebagai orang tua yang berpengalaman menghadapi beberapa kematian sebelum ini, ibuku tahu bahawa sudah sampai masanya ayahku dijemput Ilahi. Ayahku sudah berada diambang sakratul maut. Ibu mengejutkan adik-beradikku yang tidur berhampiran ayah dan mengatakan bahawa ayah sudah hendak mengucapkan ’selamat tinggal’. Ibu lalu mendekati ayah dan membisikkan syahadah di telinganya. Ibu lalu berzikir menyebut Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Sebaik sahaja habis 100 kali zikir itu, ibu melalukan tasbih 100 biji yang dibelinya di Mekah dulu itu di muka ayah dan sejurus selepas itu ayah terus menutup matanya buat selama-lamanya. Pada masa yang sama itulah, aku telah bermimpi ayahku datang kepadaku pada malam itu sebelum deringan telefon berbunyi memaklumkan bahawa ayahku telah kembali kepada-Nya.
Rupa-rupanya khidmatku mengelap badannya, menukar baju dan lampinnya serta menyuapkannya pada pagi Sabtu itu adalah khidmatku yang terakhir padanya. Subhanalllah.

Kini arwah ayahku sudah  tiada lagi. Sudah hampir dua tahun arwah ayah meninggalkanku. Setiap kali aku pulang ke kampung, aku tidak lupa menziarahi ’rumahnya’ yang kaku dan sepi itu, bersama-sama suami dan anak-anak sambil menghadiahkan bacaan surah Yaasin. Aku berasa sedih apabila melihat nisan batu laut itu. Begitu sayang ayahku dengan dunia pelayarannya. Aku bersyukur kerana adik-beradikku yang tinggal di kampung menjaga kebersihan kubur ayah.  Setiap masa, tidak terkecuali setiap kali selepas solat aku tidak lupa menghadiahi arwah ayah dengan ayat-ayat suci al-Quran. Aku berdoa agar Allah mengurniakan ’rumahnya di sana’ lebih baik daripada rumahnya di- dunia seperti bacaan doa yang dibacakan tuan imam selepas bacaan ’talkin’ yang masih aku ingat hingga kini. Kenangan bersama arwah ayahku tidak dapat aku lupakan. Semoga aku akan berjumpanya di akhirat nanti. Insha-Allah.

Kepada anak-anak didikku dan pembaca sekalian, sayangilah ibu bapa anda dan berkhidmatlah kepadanya selagi hayat mereka masih ada supaya apabila tiba masa Allah menjemput mereka kembali kepadanya, anda tidak akan berasa terkilan dan berasa berpuas hati atas khidmat yang diberikan walaupun kecil berbanding jasanya membesarkan kita dan kasih sayangnya yang seluas lautan terhadap kita.

Akhir kata, sudilah kiranya muslimin dan muslimat menghadiahkan al-Fatihah buat ayahandaku dan saudara kita semua yang dikasihi serta muslimin dan muslimat yang telah terlebih dahulu kembali menemui-Nya. Al-Fatihah. Amin.

                          ...Ny... 6.30 petang 17 Oktober 2010 (Sabtu)
  

*****************
Tatkala ini aku begitu rindu kepada arwah ayahandaku. Doaku agar arwah ayahandaku aman di sana dan semoga Allah SWT mengumpulkan kita semula di syurga-Nya yang paling istimewa di akhirat kelak. Amin. al Fatihah.
  








Karangan Umum PMR - Sebab-sebab Remaja Mudah Terpengaruh dengan Budaya Negatif


Remaja pada masa sekarang mudah terpengaruh dengan budaya negatif.  Huraikan sebab-sebab berlakunya perkara tersebut.



Para remaja atau muda-mudi kita adalah warisan kita bagi masa hadapan.  Dasawarsa ini, dunia kini dibelenggu fenomena yang sangat membimbangkan.  Remaja kita mudah terpengaruh dan terbawa-bawa dengan budaya negatif yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam.

Mengapakah mereka berkelakuan begitu?  Banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya perkara tersebut tetapi yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing.  Remaja yang mudah terpengaruh oleh budaya barat akan gagal membezakan perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan mereka lalu melakukan perkara negatif.

Masyarakat kita kini sudah tidak lagi seperti katak di bawah tempurung.  Penggunaan Internet membawa bersama-sama unsur yang negatif.  Ramai remaja beranggapan bahawa sesuatu yang datang daripada negara barat itu menyeronokkan dan sesiapa yang mengikut budaya barat dikatakan moden serta mengikut peredaran zaman.  Mereka yang celik IT juga disajikan dengan laman-laman web pornografi sehingga mereka terikut-ikut budaya negatif tersebut.  Justeru izharlah bahawa peranan media elektronik mahupun media massa dapat menyebabkan remaja zaman kini terdedah dengan unsur-unsur negatif.

Kendatipun demikian, kita tidak boleh menyalahkan pihak media 100% atas keruntuhan akhlak para remaja zaman sekarang.  Sebaliknya kita perlu merenung kembali kesalahan pihak lain.  Anak-anak secara semulajadi memandang ibu bapa sebagai panduan hidup mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Keruntuhan rumahtangga seperti masalah penceraian dan pergaduhan ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka terutamanya remaja berasa tertekan dan mencari kesoronakan dan kebebasan diluar.  Pada usia remaja, mereka lebih mudah terpengaruh dengan budaya negatif yang membawa kerugian kepada diri.

Bukan itu sahaja, keruntuhan moral seperti kurang didikan asas agama dan pengetahuan serta penghayatan agama daripada keluarga menyebabkan nilai murni budaya dalam sesetengah masyarakat semakin menipis.  Oleh yang demikian, tidak mustahillah bagi mereka yang kurang didikan agama atau tidak menurut perintah agama mudah terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral dan negatif.

Konklusinya, remaja perlu dididik dengan kukuh agar dapat mempertahankan diri daripada dugaan dan cabaran dalam era yang pascaglobalisasi ini.  Hal ini kerana, remaja merupakan warisan pemimpin masa hadapan.

                                                                     Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Peranan Ibu Bapa dalam Menentukan Kejayaan Anak-anak


Ibu bapa berperanan menentukan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan.  Bincangkan usaha-usaha ibu bapa untuk membantu anak-anak membuat persiapan menghadapi peperiksaan.




Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari semakin dekat hari peperiksaan akan bermula sama ada UPSR, PMR mahupun SPM.  Bukan sahaja calon-calon peperiksaan yang berdebar-debar, ibu bapa juga tidak senang duduk lantaran peperiksaan-peperiksaan utama ini merupakan pengukur kejayaan anak-anak terhadap apa yang telah mereka usahakan selama ini.

Bagi memastikan anak-anak bersedia untuk menghadapi peperiksaan, ibu bapa berperanan penting untuk membantu anak-anak mereka dengan cara mengurangkan aktiviti luar keluarga.  Aktiviti di luar seperti keluar membeli-belah, makan di luar, pulang ke kampung dan sebagainya hanya membuang masa.  Ingatlah ‘masa itu emas’ oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan.

Sebagaimana yang kita ketahui, mendapat tidur yang cukup penting dalam kehidupan seorang pelajar.  Namun, terdapat segelintir pelajar suka belajar hingga lewat malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka.  Jika keadaan seperti ini berlarutan, kesihatan pelajar akan terjejas dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika menjawab peperiksaan pada keesokan harinya.  Justeru, sebagai ibu bapa, mereka perlulah memastikan anak-anak tidur awal dan bangun awal untuk kesegaran.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap anak perlu berbakti kepada ibu bapa tetapi tidak salah sekiranya ibu bapa memberi layanan yang istimewa kepada anak-anak apabila menjelangnya peperiksaan.  Berikan anak-anak kebebasan daripada melakukan tugas harian seperti mengemas bilik, mencuci pakaian dan membantu ibu di dapur yang menjadi rutin harian mereka.  Melalui cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh ahli keluarganya benar-benar ingin melihatnya berjaya dan memanfaatkan waktu yang diperuntukkan untuk mengulangkaji pelajaran.

Selain itu, kita perlu mengharapkan pertolongan Allah dan yakin dengan pertolongannnya sebagai umat Islam.  Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna untuk seorang anak ketika menghadapi peperiksaan selain daripada doa dan restu dari kedua-dua ibu bapanya.  Oleh itu, ibu bapa perlu perbanyakkan berdoa dan solat hajat untuk kejayaan anak-anak mereka supaya mereka menghargainya.

Intihanya, peranan ibu bapa penting untuk memastikan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan.  Sentuhan fizikal dan kata-kata motivasi serta doa yang berterusan akan menjadi satu senjata yang berkesan untuk memotivasikan anak-anak supaya terus berjuang dalam peperiksaan.


                                                                    Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA

Karangan Umum PMR - Perbualan Cara-cara Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Pelajar


Anda dikehendaki mewawancara seorang pelajar yang telah terpilih sebagai tokoh NILAM di peringkat sekolah tentang cara-cara memupuk dan menyuburkan minat membaca dalam kalangan pelajar.  Tulis wawancara itu selengkapnya.




Pada 23 Julai yang lalu saya telah mewawancara seorang pelajar yang telah terpilih sebagai tokoh NILAM di peringkat sekolah.  Beliau ialah Alisha Fahmi daripada tingkatan 4 Mutiara.  Kami telah berjanji untuk berjumpa di pusat sumber sekolah.  Wawancara ini bertujuan untuk mengetahui cara-cara memupuk dan menyuburkan minat membaca dalam kalangan pelajar.

Amalia:  Selamat pagi.  Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudari Alisha
 kerana dipilih untuk menerima anugerah tokoh NILAM di peringkat sekolah. 
 Bagaimanakah perasaansaudari apabila diumumkan sebagai tokoh NILAM?        

Alisha:   Saya berasa gembira dan terharu.  Sebenarnya masih banyak pelajar yang layak 
di luar sanauntuk menerima anugerah ini.  
 Mereka boleh mendapat anugerah ini sekiranya mereka rajin
membaca dan berusaha untuk memenuhi kriteria yang diperlukan untuk dianugerahkan
sebagai tokoh NILAM.

Amalia:  Saya bersetuju dengan pendapat saudari.  Seperti yang kita sedia maklum,
 tokoh NILAM dipilihberdasarkan jumlah bacaan yang dibaca dan 
pengetahuan am mereka yang diperoleh daripada bacaan mereka sendiri. 
 Namun begitu, ramai pelajar yang kelihatan tidak berminat untuk
membaca.  Justeru, pada pendapat saudari, apakah cara-cara yang 
boleh dilakukan untuk memupuk dan menyemaikan minat membaca
 dalam kalangan pelajar?

Alisha:   Baiklah, pada pendapat saya, cara paling utama untuk memupuk
 minat membaca haruslahdimulakan oleh diri pelajar itu sendiri.
  Para pelajar mestilah menjadikan membaca sebagai hobi.  Kita boleh
 membaca sekiranya terdapat waktu lapang daripada menggunakan masa terluang 
untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah.  Bahkan, secara tidak langsung
 setiap hari kita telah membaca pelbagai bahan bacaan sama ada surat khabar ataupun
 bahan ilmiah yang diberikan oleh guru ketika di sekolah. 
 Melalui pembacaan bahan-bahan ini, kita dapat menambah pengetahuan am
 dari berita semasa seperti perkara-perkara yang berlaku didalam dan luar negara.

Amalia:  Begitu rupanya tetapi adakah terdapat cara lain yang boleh membantu
 memandangkan pelajar-pelajar zaman sekarang mempunyai jadual
 yang amat padat dalam kehidupan harian mereka terutamanya di sekolah?

Alisha:   Sekiranya begitu, pihak sekolah boleh memainkan peranan yang 
penting untuk memupuk minat pelajar dalam membaca.  Pihak sekolah boleh
 mengadakan program bacaan pagi pada setiap hari di sekolah. Masa yang diperuntukkan
 untuk membaca boleh dimanfaatkan oleh pelajar untuk membaca dan mengulangkaji 
pelajaran serta sebagai persediaan sebelum memulakan sesi pembelajaran di kelas.

Amalia:  Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa supaya anak-anak mereka 
berminat untuk membaca di rumah?

Alisha:   Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka di rumah supaya membaca.
  Mereka perlulahprihatin dan tidak bersikap lepas tangan terhadap anak-anak 
mereka dengan membelikan buku cerita atau bahan bacaan yang berguna
 dan sering menasihati anak-anak supaya membaca demi kebaikan masa hadapan
 mereka juga.  Namun begitu, kebanyakan ibu bapa terlalu menyayangi anak
 mereka bagai menatang minyak yang penuh sehingga membiarkan
sahaja anak-anak mereka leka menonton televisyen dan bermain permainan video.

Amalia:  Selain itu, adakah pihak lain juga boleh bersama-sama membantu untuk menyuburkan
 minat membaca dalam diri para pelajar?

Alisha:   Sudah tentu.  Pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan mesti 
bekerjasama untuk mengurangkan kadar buta huruf di negara kita.  Pihak kerajaan boleh 
memainkan peranan dengan menggerakkan kempen ‘Mari Membaca’ di setiap sekolah
 dalam daerah dan negeri. Mereka perlu menyedarkan semua golongan terutamanya 
pelajar bahawa ‘Membaca Jambatan Ilmu’.  Ilmu pengetahuan amat penting untuk
 melanjutkan pelajaran dan merebut peluang pekerjaaan.Sebagai tamsilannya,ramai rakyat 
Malaysia menganggur kerana kebanyakan pekerjaan dan jawatan telah diberikan kepada
 rakyat luar negara yang kaya dengan pengetahuan am dan 
kemahiran yang tinggi untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa
 terutamanya Bahasa Inggeris.

Amalia:  Sebelum berpisah, apakah nasihat saudari kepada pelajar
 supaya mereka berminat untuk membaca?

Alisha:   Faktor minat boleh menjamin kejayaan seseorang.  Oleh itu, 
setiap pelajar perlu rajin membaca demi kejayaan mereka pada
 masa akan datang.

Amalia:  Baiklah, setakat ini sahaja temu bual kita pada hari ini. 
  Wawancara ini akan saya muatkan dalam majalah tahunan sekolah. 
  Saya mengucapkan terima kasih kepada saudari Alisha
 kerana sudi diwawancara walaupun kekangan masa. 
 Semoga hasil wawancara ini dapat
dijadikan panduan kepada pelajar-pelajar yang lain.  Selamat maju jaya.

Alisha:  Terima kasih.

Wawancara ini berakhir pada jam 2.30 petang.  Konklusinya, saya dapat mengetahui
  langkah-langkah untuk memupuk dan menyuburkan minat membaca dalam diri pelajar.
Diharapkan agar pelajar dapat menjadikan membaca sebagai minat
 dan hobi mereka untuk menyahut seruan kerajaan untuk 
meningkatkan kadar celik huruf di Malaysia.


                                                             Hajah Nornimas Yaakob, GKMP Bahasa SEMESRA