Ahad, 14 April 2013

WANITA ISLAM DAN MINYAK WANGI

      
Wanita dan minyak wangi, bagai tidak dapat dipisahkan. Tetapi sebagai wanita muslim atau muslimah, tahukah kita bahawa kita tidak boleh memakai minyak wangi keluar dari rumah?

Rasulullah SAW bersabda, "Siapa sahaja perempuan yang memakai minyak wangi, kemudian dia keluar, lalu dia melewati satu kaum (orang ramai) supaya mereka mendapati (mencium) baunya maka dia itu adalah perempuan zina."

(Hadis riwayat Hassan, Ahmad, Nasa'i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Thahawi dari jalan Abu Musa)

Masya-Allah terlalu banyak kaum wanita Islam yang tidak tahu akan hal ini atau ada yang tahu tetapi engkar iaitu tetap juga memakai minyak wangi sewaktu keluar dari rumah.
Malahan terdapat sesetengah wanita yang berasa bangga apabila kalangan rakan dan kenalan memuji-muji akan bau badannya yang wangi daripada minyak wangi yang berjenama dan mahal harganya yang dipakainya itu  sedangkan dia tidak tahu bahawa dia dalam keadaan berdosa dan dikategorikan sebagai wanita penzina.  
Nauzubillah minzalik...masya-Allah, jika wanita seperti ini dikategorikan sebagai wanita penzina, dia akan mendapat balasannya iaitu diseksa di alam barzah dan dimasukkan ke dalam neraka di akhirat kelak. Nauzubillah...

Ada juga dalam kalangan wanita memikirkan bahawa boleh memakai minyak atar  dalam solat.  Memang betul boleh memakai minyak atar dalam solat malah hukumnya adalah sunat tetapi hendaklah solat atau ibadat itu dilakukan di rumah. 

Terdapat hadis  yang menjelaskan wanita juga digalakkan  berwangi-wangian  tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud , "Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya. (Riwayat al-Tarmizi)

Golongan wanita wajib tahu bahawa hukum memakai wangi-wangian termasuk minyak atar adalah haram jika keluar dari rumah walaupun ke masjid untuk solat berjamaah atau beribadat. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Siapa sahaja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar  ke masjid nescaya tidak diterima sholatnya sehingga dia mandi terlebih dahulu  (membersihkan dirinya daripada wangi-wangian tersebut) "
(Hadis riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)  

Hadis ini menjelaskan kepada kita sebagai golongan wanita bahawa, kita tidak boleh memakai minyak wangi termasuk minyak atar sewaktu keluar dari rumah hatta ke masjid sekalipun, malah solat wanita yang memakai minyak wangi termasuk minyak atar tidak diterima oleh Allah. 

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seseorang perempuan keluar ke masjid, maka hendaklah dia mandi (membersihkan diri daripada wangi-wangian sebagaimana dia mandi daripada janabat."
(Shahih riwayat Nasa'i dari jalan Abi Hurairah)

 Golongan wanita yang bersuami harus tahu bahawa memakai minyak wangi di rumah khususnya untuk suami adalah sangat disukai dan diharuskan untuk menyenangkan hati suami.
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Hadis riwayat an-Nasa'is dari Abu Hurairah

*****************
Justifikasinya, bertaubatlah wahai muslimah jika sebelum ini anda selalu memakai minyak wangi sewaktu keluar dari rumah dan memakai minyak atar ke masjid. Kita tidak mahu Allah kategorikan kita sebagai wanita penzina. Patuhlah pada perintah Allah. Allah tidak rugi sedikitpun jika kita engkar akan perintah-Nya malah kitalah yang rugi kerana apabila mati kelak, balasan azab kubur sudah sedia menanti. Nauzubillah...

Astaghfirullah...aku mohon keampunan-Mu ya Allah atas segala kesilapan dan dosa-dosaku.
Janganlah Engkau letakkan aku dalam kalangan orang-orang yang berdosa. Jauhilah aku daripada dosa syirik kepada-Mu...Allah-Allah ya Allah...aamiin.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan