Ayahku seorang
pelayar. Itulah pekerjaan nenek moyangku zaman berzaman yang diwarisi oleh
ayahku. Pekerjaan orang pantai timur. Awak-awak perahu bidur ayah memanggil
ayahku ‘Tok Nakhoda’.
Belayar
merupakan satu pekerjaan yang dikagumi pada masa itu kerana bukan calang-calang
orang mampu mengemudikan sebuah perahu bidur. Menjadi pelayar memerlukan
keberanian yang tinggi kerana dugaan di lautan amat mencabar. Kadang-kadang
diserang lanun, kadang-kadang diancam ribut.
Pernah ayahku bercerita, bila
ribut melanda, langit tiba-tiba menjadi gelap, laut bergelora. Ombak boleh
mencecah setinggi pokok kelapa. Perahu bidur ayah akan terumbang ambing di
lautan meredah ombah besar. Silap haribulan, perahu boleh pecah dan tenggelam. Pada
masa itu hanya Allah sahajalah diri ayah diserahkan. Banyak kali juga perahu
bidur ayah diserang lanun terutama bila berada di perairan Siam. Kadang-kadang ayah terpaksa
terjun ke dalam laut dan menyelam berjam-jam lamanya untuk menyelamatkan diri.
Apabila ayah tidak timbul-timbul, lanun menyangkakan ayah sudah mati, jadi
mereka pun meninggalkan perahu ayah. Masa itulah baru ayah boleh timbul dan
naik semula ke perahu. Sebab itulah menjadi seorang pelayar memerlukan
keberanian yang tinggi. Silap-silap haribulan, akan dibunuh lanun. Hal inilah
yang selalu diceritakan oleh ayahku.
Ayah belayar ke
Siam(Thailand) iaitu ke Patani dan Bangkok, Kelantan, Pulau Tioman dan lain-lain tempat
lagi, memuat garam, beras, bawang, rempah dan sebagainya yang boleh
diperdagangkan.
Aku masih ingat ketika kecilku, aku tidak suka ayah pergi
berlayar. Bila ayah berlayar
bermakna ayah akan meninggal kami kurang lebih tiga bulan. Selama tempoh itu
aku akan merindui ayah dan menanti kepulangannya hari demi hari.
Tiap-tiap pagi
dan petang, aku akan ke tepi sungai memandang ke muka kuala, berharap agar ada
kelibat layar perahu bidur. Bila tiada kelibat perahu bidur yang masuk ke
kuala, aku merasa sangat kecewa. Namun hati masih berharap agar hari esok
kelibat layar akan kelihatan. Jika nampak ada perahu bidur yang masuk ke muka
kuala, hatiku akan melonjak kegirangan kerana aku mengharapkan bahawa perahu
bidur itu kepunyaan ayahku. Jika bukan, aku kecewa lagi. Dan esoknya aku
menanti lagi. Begitulah kelakuanku menanti kepulangan ayah saban waktu
hinggalah penantian itu menjadi realiti. Bila ayah pulang, ayah akan membelikan
aku dan adikku sehelai baju. Itulah yang paling aku suka di zaman kanak-kanakku
dulu.
Masih aku ingat waktu itu aku dalam darjah empat.
Aku sering menolong ayahku menggumba air dalam perahu bidur ayahku kerana
perahu bidur ayahku bocor. Aku mengayuh sampan berseorangan dari jambatan
Sungai Buaya ke muara sungai tempat ayahku meletakkan perahu bidurnya itu.
Aku mengayuh sampan itu melalui hutan
pohon nipah di kiri kanannya berseorangan. Tidak pernah aku merasa takut terhadap apa-apa
pun. Mujurlah tidak pula aku terserempak dengan ’penghuni sungai’ itu yang
kadang-kadang timbul menunjukkan kewujudannya. Kini, bila aku mengingatinya
kembali, aku berasa gerun dan dalam masa yang sama aku juga kagum pada diriku
sendiri.Apa tidaknya, hanya dengan kudrat seorang gadis sekecil aku waktu itu
dan berbadan kurus pula, aku boleh menggumba air sebuah perahu besar dan
mengayuh sampan berseorangan.
Masihku ingat lagi, aku akan berasa sedih bila ayah
mula mencari kulit pokok gurah dan membeli kain guni gandum yang banyak, kerana
aku tahu ayah akan meninggalkan aku lagi untuk berlayar. Guni gandum itu akan
direbus ke dalam tong drum yang besar bersama kulit pokok gurah. Kata ayahku, kulit
pokok itu adalah untuk menjadikan kain guni gandum itu tahan dan tidak mudah
koyak ditiup angin kencang apabila dijadikan layar. Selepas itu ayah dan
beberapa orang awak-awaknya akan menjahit kain guni gandum itu berhari-hari
lamanya untuk dijadikan layar. Aku dan adikku akan bermain-main di atas layar
itu dengan gembira, sementara ayah menjahit layar itu. Ayah tidak pula memarahiku.
Tapi sebaik sahaja layar itu siap, aku tahu bila-bila masa sahaja ayah akan
berpergian lagi, meninggalkan ibu, aku dan adik- beradik lainnya.
Bila tiba musim tengkujuh, ayah tidak berlayar.
Waktu ini ayah akan membuat apa-apa sahaja pekerjaan yang boleh menampung kehidupan
kami sekeluarga. Di pantai
timur pada musim ini, hujan akan turun mencurah-curah. Kadang-kadang tidak berhenti-henti
selama seminggu lebih.
Waktu inilah kehidupan kami amat susah. Susah mendapat
ikan pada waktu itu kerana nelayan tidak ke laut. Ikan yang ada pada waktu itu ialah
ikan ’tambang buru’ yang mempunyai banyak tulang. Waktu kecilku, aku sangat tidak
suka akan ikan itu kerana aku tidak pandai memakannya. Emak akan kelar ikan itu
halus-halus sebelum digoreng supaya kami tidak tercekik tulang. Bila perut
lapar, terpaksalah aku menjamahnya juga. Tiada pilihan. Kini, jika aku melihat
ikan itu di jual di pekan sehari, nostalgia itu akan terimbau kembali. Susahnya
waktu kecilku dulu.
Sebagai seorang nakhoda, ayahku pandai memasak.
Aku paling suka jika ayah memasak lempeng ubi kayu berlapikkan daun pisang pada musim tengkujuh. Baunya yang wangi
menyebabkan aku dan adikku tidak sabar-sabar memakannya. Aku dan adikku akan
bersedia dengan pinggan masing-masing menadah lempeng yang dimasak ayah. Sedapnya
lempeng yang dimasak ayah, kini menggamit
rinduku lagi.
Apabila mengingati akan daun pisang, aku masih
ingat lagi, pernah pada musim tengkujuh, ibuku menebang pokok pisang yang sudah
masak buahnya untuk digoreng dalam hujan lebat yang mencurah-curah. Pelepah daun
pisang itu pula ibu raut dan menyuruh aku dan adikku menghantarnya ke rumah Mak
Chik Nah, rakan ibu yang membuat jualan. Kata ibu, ”pergilah hantar, dapat duit,
boleh buat belanja”.
Dalam hujan lebat itu, aku menjunjung daun pisang yang
telah diikat kemas itu sementara adik lelakiku memayungi aku. Tubuhnya yang
lebih rendah dariku menyebabkan dia terkial-kial memegang payung supaya kami
tidak basah. Tetapi disebabkan payung itu kecil, hujan pula lebat, payung itu
tidak dapat melindungi kami berdua beradik. Habis kami berdua basah kuyup.
Walaupun begitu, aku tetap gembira kerana hasil jualan daun pisang itu yang sebanyak
lapan puluh sen dapat aku berikan kepada ibuku.Ternyata ibuku sangat gembira
kerana dengan duit itu dapatlah digunakan untuk membeli barangan dapur yang
diperlukan. Begitulah besarnya
peranan duit sebanyak lapan puluh sen pada waktu itu.
Aku masih ingat lagi, waktu itu apabila setiap
kali bulan Januari, sekolah akan dibuka semula. Aku akan merasa sedih kerana
tiada baju baharu dan kasut baharu untuk dipakai ke sekolah seperti rakan-rakanku
yang lain. Walau bagaimanapun, persekolahan tetap diteruskan jua walau hanya
memakai baju lusuh dan kasut yang sudah ’haus’ tapaknya. Aku ke sekolah hanya
dengan berjalan kaki berbatu-batu jauhnya dari darjah satu hinggalah ke darjah
enam. Itulah sebabnya tapak kasutku cepat ’haus’.
Emak hanya mampu memberiku
wang saku sebanyak sepuluh sen beserta nasi yang dibungkus dengan daun pisang
dan seekor ikan selar kuning yang digoreng sebagai bekalan. Kadang-kadang aku
membawa bekal air teh ’o’ di dalam botol kaca (bekas botol sos tomato) dan jika
tidak membawanya, air paip sahajalah yang membasahi tekakku. Duit sepuluh sen
pemberian emak aku simpan di dalam tabung ayam yang ayah beli sewaktu
pelayarannya. Begitulah susahnya kehidupan masa dulu. Tapi aku tidak pernah
meminta lebih dari itu, kerana aku tahu ayah dan ibuku tidak mampu memberinya
sebagaimana orang lain. Jika tiba hari raya, emak akan menjahit bajuku, dan
kasut yang akan aku pakai adalah kasut sekolah sahaja. Ayah tidak mampu
membelinya buat kami adik beradik. Abangku sentiasa berpesan, ”ayah tiada
berharta untuk ditinggalkan kepada kita semua, hanya pelajaran sahajalah yang
mampu ayah beri”.
Pesan itu bagai azimat buatku untuk belajar
bersungguh-sungguh hinggalah aku berjaya ke menara gading. Aku tahu, hanya
pelajaran sahajalah yang boleh mengubah hidupku.
Aku masih ingat, selepas tidak lagi belayar kerana
sukar mencari awak-awak, perahu bidur ayah hanya tersadai di tepi sungai
berhampiran rumah kami. Lama-kelamaan
perahu itu reput dan dibakar. Sekarang jika aku ingin melihat perahu bidur, aku
akan ke muzium maritim yang terletak di Losong. Bagi menyara hidup dan mengisi
masa, ayah hanya membuat kerja-kerja kampung dan berternak. Tahun demi tahun,
usia ayah semakin meningkat. Kudrat ayah tidak sekuat semasa dia menjadi
pelayar dahulu. Setiap kali aku balik kampung, aku akan memintanya meninggalkan
pekerjaannya itu dan tinggal bersamaku, tetapi kata ayah dia jemu. Aku tidak
dapat memaksanya untuk mengikutiku.
Suatu hari pada bulan November 2008, adikku
memberitahuku bahawa ayahku sakit. Aku terus pulang untuk menjengguknya.
Masihku ingat dalam sakit-sakit itu, ayah masih berselera memakan lemang dan
serunding yang kusuap. Aku tahu ayah amat gemar memakan lemang. Akhirnya aku membawa
ayah pulang dan menjaganya di rumahku di Raub. Setelah beberapa hari di
rumahku, ayah mendesak untuk pulang ke kampung. Akhirnya ayah dihantar pulang.
Sakit ayah semakin tenat. Aku dan adik-adikku yang tinggal jauh pulang ke
kampung menjaganya. Aku mencukur janggut, menukar lampin dan pakaiannya serta
mengelap badannya dengan kain basah. Begitulah setiap hari aku lakukan semasa
menjaga ayahku yang sakit. Adikku pula menyuap ’nestum’ untuknya menggunakan
picagari. Hanya itulah yang mampu ayah makan. Ayah tidak mampu bercakap lagi. Setelah
tinggal beberapa hari di kampung, suami dan anak-anakku pulang ke Raub kerana
suamiku terpaksa bekerja. Aku meminta izin untuk tinggal di kampung selama
seminggu lagi untuk menjaga ayahku. Nasib baiklah suamiku memahami. Adikku yang
bekerja sebagai jururawat juga memohon cuti untuk menjaga ayah.
Masih ku ingat, pada masa itu Hari Raya Aidil
Adha 2008, adikku yang bekerja sebagai jururawat bertekad mahu memasukkan air (drip)
ke dalam badan ayah melalui urat tangan kerana katanya jika dimasukkan air,
ayah akan lebih bertenaga. Aku memegang tangan ayah manakala adikku mencari
urat pada belakang tapak tangan ayah. Puas juga adikku mencari urat yang sesuai
untuk dimasukkan jarum kerana urat-urat tangan ayah yang sudah tua itu tidak
lurus lagi. Akhirnya dapatlah juga dia mencucukkan jarum ke dalam urat tangan
ayah. Tetapi beberapa saat kemudian, air yang masuk ke urat ayah membuak-buak
keluar. Adikku cepat-cepat menghentikan ’drip’ air tersebut sambil
menangis. Aku tergamam dan bertanya kepada adikku sebab-sebab dia menangis. Adikku
berkata bahawa sebagai seorang jururawat, daripada pengalamannya, ayahku akan
’pergi’ bila-bila masa kerana air tidak lagi diterima oleh badannya.
Menangislah kami pada hari itu apabila mendengar adikku berkata demikian.”Ya
Allah ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, Engkau panjangkanlah umur ayahku, tapi
sekiranya sudah tiba masanya dia kembali kepada-Mu, aku reda ya Allah, Engkau
ambillah dia dalam kalimat Lailahailallah Muhammadur Rasulullah”. Aku
cuba menerima kenyataan bahawa entah hari itu, entah esok atau entah lusa,
Allah akan menjemput ayahku ’pulang’ ke pangkuan-Nya.
Pada malamnya, kami memanggil jiran-jiran untuk
membacakan surah Yaasin untuk ayah. Kami tidak henti-henti membacakan ayat-ayat
suci al-Quran. Esoknya semasa adikku
menyuap ’nestum’ untuk ayah, tiba-tiba ayahku seperti terpana. Dia memandang ke
arah hujung kakinya dan tidak mahu menelan ’nestum’ yang disuapkan. Aku dan
adikku jadi terkejut. Kami tertanya-tanya apa yang dilihat ayah agaknya. Anak
saudaraku yang berumur tiga tahun memeluk umminya sambil berkata dia takut. Aku
bertanya sebab-sebab dia takut. Katanya ada ’sesuatu di sana’ sambil
menunjukkan ke hujung kaki ayah. Lebih kurang lima minit keadaan ayah kembali
normal. Aku bertanya kepada anak saudaraku dari mana ’benda itu’ masuk. Anak saudaraku
mengatakan ’benda itu’ masuk melalui pintu hadapan. Dia menceritakan bagaimana
rupa ’benda itu’ yang dilihatnya sebentar tadi. Aku tahu bahawa ’benda’ yang
dilihat oleh anak saudaraku dan ayahku itu tadi ialah malaikat maut yang sudah
datang menziarahi ayahku kerana datangnya ’benda itu’ melalui laluan yang elok
iaitu melaui pintu masuk rumah kami. Disebabkan masanya belum sampai ’dia’ pergi semula. Kami reda, jika kiranya
sudah sampai masanya untuk ayahku meninggalkan kami semua. Esoknya ‘benda’ itu
datang lagi, tetapi kali ini pada sebelah petang pula. Kami tahu masanya sudah
hampir tiba.
Pada hari Sabtu 13 Disember 2008,
aku memohon kepada ibuku untuk pulang ke Raub kerana suami dan anak-anakku
sudah seminggu ditinggalkan. Tiada sesiapa yang menguruskan anak-anakku kerana
suamiku bekerja. Aku membisikkan di telinga ayahku bahawa aku terpaksa pulang.
Aku berjanji bahawa aku akan balik semula ke kampung, dan jika ayah panjang
umur, insha-Allah aku akan berjumpa lagi dengannya. Aku memohon maaf daripadanya
berkali-kali kerana terpaksa pulang. Aku juga membisikkan ke telinganya bahawa
ayah tidak ada dosa denganku. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah kecik hati
dengannya. Sambil mengalirkan air mata, tidak lupa aku membisikkan syahadah di
telinganya berkali-kali. Aku berdoa jika
Allah menjemputnya sepeninggalanku, aku reda. Aku juga memohon kepada Ilahi,
jika Allah ingin menjemput ayahku, biarlah tidak di depanku kerana aku adalah
hamba-Nya yang lemah, aku tidak sanggup melihat saat-saat malaikat mencabut
nyawa ayahku.
Hari itu seharian ayahku memandang
ke dinding, ke arah atas peti televisyen. Aku tidak mengerti, apa-apa yang
dilihat oleh ayahku itu. (Kini aku tahu rupa-rupanya ayah melihat ke atas frame
bertulisan Allah yang terletak di dinding itu). Dengan berat hati, selepas
solat zohor, aku dan adikku (jururawat) yang tinggal di Kuantan pulang. Aku memandu kereta adikku ke Kuantan. Di
sana suamiku menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Raub. Aku sampai di Raub lebih kurang jam 11.00
malam. Setelah mandi dan solat, aku tidor. Aku berdoa kepada Allah agar ayahku
dipanjangkan umur dan beberapa hari lagi aku akan pulang semula ke kampung
menjenguk dan menjaganya. Disebabkan penat mudah sahaja aku melelapkan mata. Aku bermimpi ayahku
datang kepadaku. Aku terjaga dan terus ke bilik air. Seketika kemudian
tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Rupa-rupanya adikku yang menelefon. Aku
melihat jam dinding di bilikku, waktu itu hampir pukul 2.00 pagi. Adikku
memberitahu bahawa ayahku baru sahaja dijemput Ilahi. Innalillah hiwainna
ilahirojiun. Daripada-Nya dia datang, kepada-Nya dia kembali.
Dengan beg-beg baju yang masih
berada di tepi pintu, aku sekeluarga pulang semula ke kampung jam 2.00 pagi
Ahad 14 Disember, 2008. Kami tiba pukul 7.00 pagi. Aku terus menuju ke sekujur
tubuh kaku yang ditutupi kain batik lepas di ruang tamu rumah ibuku. Rumah ibuku
dipenuhi jiran-jiran yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Aku mendekati
jenazah ayahku. Ku buka kain yang menutupi jenazahnya. Aku mengucapkan salam
kepadanya kerana aku tahu rohnya masih berada di situ. Aku lihat kelopak
matanya sedikit terbuka. Dalam hatiku mengatakan bahawa mungkin ayahku menunggu
aku pulang. Aku baca ayat-ayat suci al-Quran dan mengurut kelopak matanya
pelahan-lahan. Setelah mengurut matanya sambil membacakan ayat-ayat suci
al-Quran, kelopok mata ayahku pun tertutup rapat. Aku teringat firman Allah
yang aku pernah baca daripada tafsir al-Quran yang bermaksud...
“ Wahai jiwa yang tenang, kembalilah
kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah engkau di
dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia;
Dan masuklah ke dalam
syurga-Ku” (surah Al-Fajr, ayat 27-30)
Aku cium pipi ayahku dengan genangan air mata
yang cuba ku tahankan. Aku berbisik kepadanya bahawa aku sudah pulang. Aku reda
Allah menjemputnya. Aku berjanji kepadanya bahawa aku akan sentiasa membacakan
ayat-ayat suci al-Quran sebagai hadiah kepadanya agar rohnya aman ‘di sana’.
Itulah hadiah dariku sebagai anak untuk bapanya yang telah meninggal dunia yang
fana ini. Dengan linangan air mata, aku memohon kepada Allah agar menempatkan
roh ayahku bersama roh orang-orang yang beriman.
Sejurus kemudian, jenazah ayahku pun dimandikan. Aku
melihat bagaimana jenazah ayahku dimandi dan dikafankan. Aku teringat bagaimana
aku memandikan ayah sewaktu ayah berada di rumahku. Aku lihat begitu lembut
tangan dan anggota badannya seperti seorang bayi yang sedang tidur sahaja. Setelah siap solat jenazah, adikku yang
bekerja di Kuala Lumpur belum sampai lagi. Aku memohon kepada imam agar
menunggu adikku yang dalam perjalanan pulang. Nasib baiklah tuan imam akur dan
kain kafan penutup muka tidak diikat. Apabila adikku sampai, dia terus masuk ke
rumah dan mencium jenazah ayahku. Aku lihat begitu tenangnya dia. Tidak
sedikitpun dia menangis. Agaknya adikku sudah bersedia menerima kenyataan
bahawa ayah akan meninggalkan kami adik-beradik sejak kejadian Hari Raya Aidil
Adha tempoh hari.
Aku bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan
cuaca yang baik pada 14 Disember itu, walaupun sebelum ini hujan lebat tidak
berhenti-henti. Akhirnya jenazah ayahku selamat dikebumikan di perkuburan Bukit
Tumbuh di samping bapanya. Ayah berpesan jika dia meninggal, gunalah batu yang
dia ambil dari pulau semasa pelayarannya dahulu sebagai nisan. Batu itulah kami
jadikan nisan ayah seperti wasiatnya. Begitulah akrabnya arwah ayahku dengan
dunia pelayarannya.
Ibuku menceritakan bahawa pada malam sepeninggalan
aku dan adikku, lebih kurang jam 1.00 pagi, ibuku sudah melihat kelainan pada
wajah ayahku. Sebagai orang tua yang berpengalaman menghadapi beberapa kematian
sebelum ini, ibuku tahu bahawa sudah sampai masanya ayahku dijemput Ilahi. Ayahku
sudah berada diambang sakratul maut. Ibu mengejutkan adik-beradikku yang tidur
berhampiran ayah dan mengatakan bahawa ayah sudah hendak mengucapkan ’selamat
tinggal’. Ibu lalu mendekati ayah dan membisikkan syahadah di telinganya. Ibu
lalu berzikir menyebut Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Allah). Sebaik sahaja habis 100 kali zikir itu, ibu melalukan tasbih 100
biji yang dibelinya di Mekah dulu itu di muka ayah dan sejurus selepas itu ayah
terus menutup matanya buat selama-lamanya. Pada masa yang sama itulah, aku telah bermimpi
ayahku datang kepadaku pada malam itu sebelum deringan telefon berbunyi
memaklumkan bahawa ayahku telah kembali kepada-Nya.
Rupa-rupanya khidmatku mengelap
badannya, menukar baju dan lampinnya serta menyuapkannya pada pagi Sabtu itu
adalah khidmatku yang terakhir padanya. Subhanalllah.
Kini arwah ayahku sudah tiada lagi. Sudah hampir dua tahun arwah ayah
meninggalkanku. Setiap kali aku pulang ke kampung, aku tidak lupa menziarahi ’rumahnya’ yang kaku dan sepi
itu, bersama-sama suami dan anak-anak sambil menghadiahkan bacaan surah Yaasin.
Aku berasa sedih apabila melihat nisan batu laut itu. Begitu sayang ayahku
dengan dunia pelayarannya. Aku bersyukur kerana adik-beradikku yang tinggal di
kampung menjaga kebersihan kubur ayah. Setiap
masa, tidak terkecuali setiap kali selepas solat aku tidak lupa menghadiahi
arwah ayah dengan ayat-ayat suci al-Quran. Aku berdoa agar Allah mengurniakan ’rumahnya
di sana’ lebih baik daripada rumahnya di- dunia seperti bacaan doa yang
dibacakan tuan imam selepas bacaan ’talkin’ yang masih aku ingat hingga kini.
Kenangan bersama arwah ayahku tidak dapat aku lupakan. Semoga aku akan
berjumpanya di akhirat nanti. Insha-Allah.
Kepada anak-anak didikku dan pembaca sekalian,
sayangilah ibu bapa anda dan berkhidmatlah kepadanya selagi hayat mereka masih
ada supaya apabila tiba masa Allah menjemput mereka kembali kepadanya, anda
tidak akan berasa terkilan dan berasa berpuas hati atas khidmat yang diberikan
walaupun kecil berbanding jasanya membesarkan kita dan kasih sayangnya yang
seluas lautan terhadap kita.
Akhir kata, sudilah kiranya muslimin dan muslimat
menghadiahkan al-Fatihah buat ayahandaku dan saudara kita semua yang dikasihi
serta muslimin dan muslimat yang telah terlebih dahulu kembali menemui-Nya.
Al-Fatihah. Amin.
...Ny... 6.30 petang 17 Oktober 2010 (Sabtu)
*****************
Tatkala ini aku begitu rindu kepada arwah ayahandaku. Doaku agar arwah ayahandaku aman di sana dan semoga Allah SWT mengumpulkan kita semula di syurga-Nya yang paling istimewa di akhirat kelak. Amin. al Fatihah.