Sabtu, 14 September 2013

AYAHKU SEORANG PELAYAR



Ayahku seorang pelayar. Itulah pekerjaan nenek moyangku zaman berzaman yang diwarisi oleh ayahku. Pekerjaan orang pantai timur. Awak-awak perahu bidur ayah memanggil ayahku ‘Tok Nakhoda’.

Belayar merupakan satu pekerjaan yang dikagumi pada masa itu kerana bukan calang-calang orang mampu mengemudikan sebuah perahu bidur. Menjadi pelayar memerlukan keberanian yang tinggi kerana dugaan di lautan amat mencabar. Kadang-kadang diserang lanun, kadang-kadang diancam ribut. 

Pernah ayahku bercerita, bila ribut melanda, langit tiba-tiba menjadi gelap, laut bergelora. Ombak boleh mencecah setinggi pokok kelapa. Perahu bidur ayah akan terumbang ambing di lautan meredah ombah besar. Silap haribulan, perahu boleh pecah dan tenggelam. Pada masa itu hanya Allah sahajalah diri ayah diserahkan. Banyak kali juga perahu bidur ayah diserang lanun terutama bila berada di perairan Siam. Kadang-kadang ayah terpaksa terjun ke dalam laut dan menyelam berjam-jam lamanya untuk menyelamatkan diri. Apabila ayah tidak timbul-timbul, lanun menyangkakan ayah sudah mati, jadi mereka pun meninggalkan perahu ayah. Masa itulah baru ayah boleh timbul dan naik semula ke perahu. Sebab itulah menjadi seorang pelayar memerlukan keberanian yang tinggi. Silap-silap haribulan, akan dibunuh lanun. Hal inilah yang selalu diceritakan oleh ayahku.

Ayah belayar ke Siam(Thailand) iaitu ke Patani dan Bangkok,  Kelantan, Pulau Tioman dan lain-lain tempat lagi, memuat garam, beras, bawang, rempah dan sebagainya yang boleh diperdagangkan. 

Aku masih ingat ketika kecilku, aku tidak suka ayah pergi berlayar. Bila ayah berlayar bermakna ayah akan meninggal kami kurang lebih tiga bulan. Selama tempoh itu aku akan merindui ayah dan menanti kepulangannya hari demi hari. 

Tiap-tiap pagi dan petang, aku akan ke tepi sungai memandang ke muka kuala, berharap agar ada kelibat layar perahu bidur. Bila tiada kelibat perahu bidur yang masuk ke kuala, aku merasa sangat kecewa. Namun hati masih berharap agar hari esok kelibat layar akan kelihatan. Jika nampak ada perahu bidur yang masuk ke muka kuala, hatiku akan melonjak kegirangan kerana aku mengharapkan bahawa perahu bidur itu kepunyaan ayahku. Jika bukan, aku kecewa lagi. Dan esoknya aku menanti lagi. Begitulah kelakuanku menanti kepulangan ayah saban waktu hinggalah penantian itu menjadi realiti. Bila ayah pulang, ayah akan membelikan aku dan adikku sehelai baju. Itulah yang paling aku suka di zaman kanak-kanakku dulu.

Masih aku ingat waktu itu aku dalam darjah empat. Aku sering menolong ayahku menggumba air dalam perahu bidur ayahku kerana perahu bidur ayahku bocor. Aku mengayuh sampan berseorangan dari jambatan Sungai Buaya ke muara sungai tempat ayahku meletakkan perahu bidurnya itu. 

Aku mengayuh sampan itu melalui hutan pohon nipah di kiri kanannya berseorangan. Tidak pernah aku merasa takut terhadap apa-apa pun. Mujurlah tidak pula aku terserempak dengan ’penghuni sungai’ itu yang kadang-kadang timbul menunjukkan kewujudannya. Kini, bila aku mengingatinya kembali, aku berasa gerun dan dalam masa yang sama aku juga kagum pada diriku sendiri.Apa tidaknya, hanya dengan kudrat seorang gadis sekecil aku waktu itu dan berbadan kurus pula, aku boleh menggumba air sebuah perahu besar dan mengayuh sampan berseorangan.

Masihku  ingat lagi, aku akan berasa sedih bila ayah mula mencari kulit pokok gurah dan membeli kain guni gandum yang banyak, kerana aku tahu ayah akan meninggalkan aku lagi untuk berlayar. Guni gandum itu akan direbus ke dalam tong drum yang besar bersama kulit pokok gurah. Kata ayahku, kulit pokok itu adalah untuk menjadikan kain guni gandum itu tahan dan tidak mudah koyak ditiup angin kencang apabila dijadikan layar. Selepas itu ayah dan beberapa orang awak-awaknya akan menjahit kain guni gandum itu berhari-hari lamanya untuk dijadikan layar. Aku dan adikku akan bermain-main di atas layar itu dengan gembira, sementara ayah menjahit layar itu. Ayah tidak pula memarahiku. Tapi sebaik sahaja layar itu siap, aku tahu bila-bila masa sahaja ayah akan berpergian lagi, meninggalkan ibu, aku dan adik- beradik lainnya.  

Bila tiba musim tengkujuh, ayah tidak berlayar. Waktu ini ayah akan membuat apa-apa sahaja pekerjaan yang boleh menampung kehidupan kami sekeluarga. Di pantai timur pada musim ini, hujan akan turun mencurah-curah. Kadang-kadang tidak berhenti-henti selama seminggu lebih. 

Waktu inilah kehidupan kami amat susah. Susah mendapat ikan pada waktu itu kerana nelayan tidak ke laut. Ikan yang ada pada waktu itu ialah ikan ’tambang buru’ yang mempunyai banyak tulang. Waktu kecilku, aku sangat tidak suka akan ikan itu kerana aku tidak pandai memakannya. Emak akan kelar ikan itu halus-halus sebelum digoreng supaya kami tidak tercekik tulang. Bila perut lapar, terpaksalah aku menjamahnya juga. Tiada pilihan. Kini, jika aku melihat ikan itu di jual di pekan sehari, nostalgia itu akan terimbau kembali. Susahnya waktu kecilku dulu.

Sebagai seorang nakhoda, ayahku pandai memasak. Aku paling suka jika ayah memasak lempeng ubi kayu berlapikkan daun pisang  pada musim tengkujuh. Baunya yang wangi menyebabkan aku dan adikku tidak sabar-sabar memakannya. Aku dan adikku akan bersedia dengan pinggan masing-masing menadah lempeng yang dimasak ayah. Sedapnya lempeng yang dimasak ayah,  kini menggamit rinduku lagi.

Apabila mengingati akan daun pisang, aku masih ingat lagi, pernah pada musim tengkujuh, ibuku menebang pokok pisang yang sudah masak buahnya untuk digoreng dalam hujan lebat yang mencurah-curah. Pelepah daun pisang itu pula ibu raut dan menyuruh aku dan adikku menghantarnya ke rumah Mak Chik Nah, rakan ibu yang membuat jualan. Kata ibu, ”pergilah hantar, dapat duit, boleh buat belanja”. 

Dalam hujan lebat itu, aku menjunjung daun pisang yang telah diikat kemas itu sementara adik lelakiku memayungi aku. Tubuhnya yang lebih rendah dariku menyebabkan dia terkial-kial memegang payung supaya kami tidak basah. Tetapi disebabkan payung itu kecil, hujan pula lebat, payung itu tidak dapat melindungi kami berdua beradik. Habis kami berdua basah kuyup. Walaupun begitu, aku tetap gembira kerana hasil jualan daun pisang itu yang sebanyak lapan puluh sen dapat aku berikan kepada ibuku.Ternyata ibuku sangat gembira kerana dengan duit itu dapatlah digunakan untuk membeli barangan dapur yang diperlukan.  Begitulah besarnya peranan duit sebanyak lapan puluh sen pada waktu itu.

Aku masih ingat lagi, waktu itu apabila setiap kali bulan Januari, sekolah akan dibuka semula. Aku akan merasa sedih kerana tiada baju baharu dan kasut baharu untuk dipakai ke sekolah seperti rakan-rakanku yang lain. Walau bagaimanapun, persekolahan tetap diteruskan jua walau hanya memakai baju lusuh dan kasut yang sudah ’haus’ tapaknya. Aku ke sekolah hanya dengan berjalan kaki berbatu-batu jauhnya dari darjah satu hinggalah ke darjah enam. Itulah sebabnya tapak kasutku cepat ’haus’. 

Emak hanya mampu memberiku wang saku sebanyak sepuluh sen beserta nasi yang dibungkus dengan daun pisang dan seekor ikan selar kuning yang digoreng sebagai bekalan. Kadang-kadang aku membawa bekal air teh ’o’ di dalam botol kaca (bekas botol sos tomato) dan jika tidak membawanya, air paip sahajalah yang membasahi tekakku. Duit sepuluh sen pemberian emak aku simpan di dalam tabung ayam yang ayah beli sewaktu pelayarannya. Begitulah susahnya kehidupan masa dulu. Tapi aku tidak pernah meminta lebih dari itu, kerana aku tahu ayah dan ibuku tidak mampu memberinya sebagaimana orang lain. Jika tiba hari raya, emak akan menjahit bajuku, dan kasut yang akan aku pakai adalah kasut sekolah sahaja. Ayah tidak mampu membelinya buat kami adik beradik. Abangku sentiasa berpesan, ”ayah tiada berharta untuk ditinggalkan kepada kita semua, hanya pelajaran sahajalah yang mampu ayah beri”. 

Pesan itu bagai azimat buatku untuk belajar bersungguh-sungguh hinggalah aku berjaya ke menara gading. Aku tahu, hanya pelajaran sahajalah yang boleh mengubah hidupku.

Aku masih ingat, selepas tidak lagi belayar kerana sukar mencari awak-awak, perahu bidur ayah hanya tersadai di tepi sungai berhampiran rumah kami. Lama-kelamaan perahu itu reput dan dibakar. Sekarang jika aku ingin melihat perahu bidur, aku akan ke muzium maritim yang terletak di Losong. Bagi menyara hidup dan mengisi masa, ayah hanya membuat kerja-kerja kampung dan berternak. Tahun demi tahun, usia ayah semakin meningkat. Kudrat ayah tidak sekuat semasa dia menjadi pelayar dahulu. Setiap kali aku balik kampung, aku akan memintanya meninggalkan pekerjaannya itu dan tinggal bersamaku, tetapi kata ayah dia jemu. Aku tidak dapat memaksanya untuk mengikutiku.

Suatu hari pada bulan November 2008, adikku memberitahuku bahawa ayahku sakit. Aku terus pulang untuk menjengguknya. Masihku ingat dalam sakit-sakit itu, ayah masih berselera memakan lemang dan serunding yang kusuap. Aku tahu ayah amat gemar memakan lemang. Akhirnya aku membawa ayah pulang dan menjaganya di rumahku di Raub. Setelah beberapa hari di rumahku, ayah mendesak untuk pulang ke kampung. Akhirnya ayah dihantar pulang. 

Sakit ayah semakin tenat. Aku dan adik-adikku yang tinggal jauh pulang ke kampung menjaganya. Aku mencukur janggut, menukar lampin dan pakaiannya serta mengelap badannya dengan kain basah. Begitulah setiap hari aku lakukan semasa menjaga ayahku yang sakit. Adikku pula menyuap ’nestum’ untuknya menggunakan picagari. Hanya itulah yang mampu ayah makan. Ayah tidak mampu bercakap lagi. Setelah tinggal beberapa hari di kampung, suami dan anak-anakku pulang ke Raub kerana suamiku terpaksa bekerja. Aku meminta izin untuk tinggal di kampung selama seminggu lagi untuk menjaga ayahku. Nasib baiklah suamiku memahami. Adikku yang bekerja sebagai jururawat juga memohon cuti untuk menjaga ayah.

             Masih ku ingat, pada masa itu Hari Raya Aidil Adha 2008, adikku yang bekerja sebagai jururawat bertekad mahu memasukkan air (drip) ke dalam badan ayah melalui urat tangan kerana katanya jika dimasukkan air, ayah akan lebih bertenaga. Aku memegang tangan ayah manakala adikku mencari urat pada belakang tapak tangan ayah. Puas juga adikku mencari urat yang sesuai untuk dimasukkan jarum kerana urat-urat tangan ayah yang sudah tua itu tidak lurus lagi. Akhirnya dapatlah juga dia mencucukkan jarum ke dalam urat tangan ayah. Tetapi beberapa saat kemudian, air yang masuk ke urat ayah membuak-buak keluar. Adikku cepat-cepat menghentikan ’drip’ air tersebut sambil menangis. Aku tergamam dan bertanya kepada adikku sebab-sebab dia menangis. Adikku berkata bahawa sebagai seorang jururawat, daripada pengalamannya, ayahku akan ’pergi’ bila-bila masa kerana air tidak lagi diterima oleh badannya. Menangislah kami pada hari itu apabila mendengar adikku berkata demikian.”Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, Engkau panjangkanlah umur ayahku, tapi sekiranya sudah tiba masanya dia kembali kepada-Mu, aku reda ya Allah, Engkau ambillah dia dalam kalimat Lailahailallah Muhammadur Rasulullah”.   Aku cuba menerima kenyataan bahawa entah hari itu, entah esok atau entah lusa, Allah akan menjemput ayahku ’pulang’ ke pangkuan-Nya.

Pada malamnya, kami memanggil jiran-jiran untuk membacakan surah Yaasin untuk ayah. Kami tidak henti-henti membacakan ayat-ayat suci al-Quran.  Esoknya semasa adikku menyuap ’nestum’ untuk ayah, tiba-tiba ayahku seperti terpana. Dia memandang ke arah hujung kakinya dan tidak mahu menelan ’nestum’ yang disuapkan. Aku dan adikku jadi terkejut. Kami tertanya-tanya apa yang dilihat ayah agaknya. Anak saudaraku yang berumur tiga tahun memeluk umminya sambil berkata dia takut. Aku bertanya sebab-sebab dia takut. Katanya ada ’sesuatu di sana’ sambil menunjukkan ke hujung kaki ayah. Lebih kurang lima minit keadaan ayah kembali normal. Aku bertanya kepada anak saudaraku dari mana ’benda itu’ masuk. Anak saudaraku mengatakan ’benda itu’ masuk melalui pintu hadapan. Dia menceritakan bagaimana rupa ’benda itu’ yang dilihatnya sebentar tadi. Aku tahu bahawa ’benda’ yang dilihat oleh anak saudaraku dan ayahku itu tadi ialah malaikat maut yang sudah datang menziarahi ayahku kerana datangnya ’benda itu’ melalui laluan yang elok iaitu melaui pintu masuk rumah kami. Disebabkan masanya belum sampai ’dia’ pergi semula. Kami reda, jika kiranya sudah sampai masanya untuk ayahku meninggalkan kami semua. Esoknya ‘benda’ itu datang lagi, tetapi kali ini pada sebelah petang pula. Kami tahu masanya sudah hampir tiba.

Pada hari Sabtu 13 Disember 2008, aku memohon kepada ibuku untuk pulang ke Raub kerana suami dan anak-anakku sudah seminggu ditinggalkan. Tiada sesiapa yang menguruskan anak-anakku kerana suamiku bekerja. Aku membisikkan di telinga ayahku bahawa aku terpaksa pulang. Aku berjanji bahawa aku akan balik semula ke kampung, dan jika ayah panjang umur, insha-Allah aku akan berjumpa lagi dengannya. Aku memohon maaf daripadanya berkali-kali kerana terpaksa pulang. Aku juga membisikkan ke telinganya bahawa ayah tidak ada dosa denganku. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah kecik hati dengannya. Sambil mengalirkan air mata, tidak lupa aku membisikkan syahadah di telinganya  berkali-kali. Aku berdoa jika Allah menjemputnya sepeninggalanku, aku reda. Aku juga memohon kepada Ilahi, jika Allah ingin menjemput ayahku, biarlah tidak di depanku kerana aku adalah hamba-Nya yang lemah, aku tidak sanggup melihat saat-saat malaikat mencabut nyawa ayahku.

Hari itu seharian ayahku memandang ke dinding, ke arah atas peti televisyen. Aku tidak mengerti, apa-apa yang dilihat oleh ayahku itu. (Kini aku tahu rupa-rupanya ayah melihat ke atas frame bertulisan Allah yang terletak di dinding itu). Dengan berat hati, selepas solat zohor, aku dan adikku (jururawat) yang tinggal di Kuantan pulang. Aku memandu kereta adikku ke Kuantan. Di sana suamiku menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Raub.  Aku sampai di Raub lebih kurang jam 11.00 malam. Setelah mandi dan solat, aku tidor. Aku berdoa kepada Allah agar ayahku dipanjangkan umur dan beberapa hari lagi aku akan pulang semula ke kampung menjenguk dan menjaganya. Disebabkan penat mudah sahaja aku melelapkan mata. Aku bermimpi ayahku datang kepadaku. Aku terjaga dan terus ke bilik air. Seketika kemudian tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Rupa-rupanya adikku yang menelefon. Aku melihat jam dinding di bilikku, waktu itu hampir pukul 2.00 pagi. Adikku memberitahu bahawa ayahku baru sahaja dijemput Ilahi. Innalillah hiwainna ilahirojiun. Daripada-Nya dia datang, kepada-Nya dia kembali.  

Dengan beg-beg baju yang masih berada di tepi pintu, aku sekeluarga pulang semula ke kampung jam 2.00 pagi Ahad 14 Disember, 2008. Kami tiba pukul 7.00 pagi. Aku terus menuju ke sekujur tubuh kaku yang ditutupi kain batik lepas di ruang tamu rumah ibuku. Rumah ibuku dipenuhi jiran-jiran yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Aku mendekati jenazah ayahku. Ku buka kain yang menutupi jenazahnya. Aku mengucapkan salam kepadanya kerana aku tahu rohnya masih berada di situ. Aku lihat kelopak matanya sedikit terbuka. Dalam hatiku mengatakan bahawa mungkin ayahku menunggu aku pulang. Aku baca ayat-ayat suci al-Quran dan mengurut kelopak matanya pelahan-lahan. Setelah mengurut matanya sambil membacakan ayat-ayat suci al-Quran, kelopok mata ayahku pun tertutup rapat. Aku teringat firman Allah yang aku pernah baca daripada tafsir al-Quran yang bermaksud...

“ Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia;  Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”  (surah Al-Fajr, ayat 27-30)

Aku cium pipi ayahku dengan genangan air mata yang cuba ku tahankan. Aku berbisik kepadanya bahawa aku sudah pulang. Aku reda Allah menjemputnya. Aku berjanji kepadanya bahawa aku akan sentiasa membacakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai hadiah kepadanya agar rohnya aman ‘di sana’. Itulah hadiah dariku sebagai anak untuk bapanya yang telah meninggal dunia yang fana ini. Dengan linangan air mata, aku memohon kepada Allah agar menempatkan roh ayahku bersama roh orang-orang yang beriman.

Sejurus kemudian, jenazah ayahku pun dimandikan. Aku melihat bagaimana jenazah ayahku dimandi dan dikafankan. Aku teringat bagaimana aku memandikan ayah sewaktu ayah berada di rumahku. Aku lihat begitu lembut tangan dan anggota badannya seperti seorang bayi yang sedang tidur sahaja. Setelah siap solat jenazah, adikku yang bekerja di Kuala Lumpur belum sampai lagi. Aku memohon kepada imam agar menunggu adikku yang dalam perjalanan pulang. Nasib baiklah tuan imam akur dan kain kafan penutup muka tidak diikat. Apabila adikku sampai, dia terus masuk ke rumah dan mencium jenazah ayahku. Aku lihat begitu tenangnya dia. Tidak sedikitpun dia menangis. Agaknya adikku sudah bersedia menerima kenyataan bahawa ayah akan meninggalkan kami adik-beradik sejak kejadian Hari Raya Aidil Adha tempoh hari.

Aku bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan cuaca yang baik pada 14 Disember itu, walaupun sebelum ini hujan lebat tidak berhenti-henti. Akhirnya jenazah ayahku selamat dikebumikan di perkuburan Bukit Tumbuh di samping bapanya. Ayah berpesan jika dia meninggal, gunalah batu yang dia ambil dari pulau semasa pelayarannya dahulu sebagai nisan. Batu itulah kami jadikan nisan ayah seperti wasiatnya. Begitulah akrabnya arwah ayahku dengan dunia pelayarannya.

Ibuku menceritakan bahawa pada malam sepeninggalan aku dan adikku, lebih kurang jam 1.00 pagi, ibuku sudah melihat kelainan pada wajah ayahku. Sebagai orang tua yang berpengalaman menghadapi beberapa kematian sebelum ini, ibuku tahu bahawa sudah sampai masanya ayahku dijemput Ilahi. Ayahku sudah berada diambang sakratul maut. Ibu mengejutkan adik-beradikku yang tidur berhampiran ayah dan mengatakan bahawa ayah sudah hendak mengucapkan ’selamat tinggal’. Ibu lalu mendekati ayah dan membisikkan syahadah di telinganya. Ibu lalu berzikir menyebut Lailahaillallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Sebaik sahaja habis 100 kali zikir itu, ibu melalukan tasbih 100 biji yang dibelinya di Mekah dulu itu di muka ayah dan sejurus selepas itu ayah terus menutup matanya buat selama-lamanya. Pada masa yang sama itulah, aku telah bermimpi ayahku datang kepadaku pada malam itu sebelum deringan telefon berbunyi memaklumkan bahawa ayahku telah kembali kepada-Nya.
Rupa-rupanya khidmatku mengelap badannya, menukar baju dan lampinnya serta menyuapkannya pada pagi Sabtu itu adalah khidmatku yang terakhir padanya. Subhanalllah.

Kini arwah ayahku sudah  tiada lagi. Sudah hampir dua tahun arwah ayah meninggalkanku. Setiap kali aku pulang ke kampung, aku tidak lupa menziarahi ’rumahnya’ yang kaku dan sepi itu, bersama-sama suami dan anak-anak sambil menghadiahkan bacaan surah Yaasin. Aku berasa sedih apabila melihat nisan batu laut itu. Begitu sayang ayahku dengan dunia pelayarannya. Aku bersyukur kerana adik-beradikku yang tinggal di kampung menjaga kebersihan kubur ayah.  Setiap masa, tidak terkecuali setiap kali selepas solat aku tidak lupa menghadiahi arwah ayah dengan ayat-ayat suci al-Quran. Aku berdoa agar Allah mengurniakan ’rumahnya di sana’ lebih baik daripada rumahnya di- dunia seperti bacaan doa yang dibacakan tuan imam selepas bacaan ’talkin’ yang masih aku ingat hingga kini. Kenangan bersama arwah ayahku tidak dapat aku lupakan. Semoga aku akan berjumpanya di akhirat nanti. Insha-Allah.

Kepada anak-anak didikku dan pembaca sekalian, sayangilah ibu bapa anda dan berkhidmatlah kepadanya selagi hayat mereka masih ada supaya apabila tiba masa Allah menjemput mereka kembali kepadanya, anda tidak akan berasa terkilan dan berasa berpuas hati atas khidmat yang diberikan walaupun kecil berbanding jasanya membesarkan kita dan kasih sayangnya yang seluas lautan terhadap kita.

Akhir kata, sudilah kiranya muslimin dan muslimat menghadiahkan al-Fatihah buat ayahandaku dan saudara kita semua yang dikasihi serta muslimin dan muslimat yang telah terlebih dahulu kembali menemui-Nya. Al-Fatihah. Amin.

                          ...Ny... 6.30 petang 17 Oktober 2010 (Sabtu)
  

*****************
Tatkala ini aku begitu rindu kepada arwah ayahandaku. Doaku agar arwah ayahandaku aman di sana dan semoga Allah SWT mengumpulkan kita semula di syurga-Nya yang paling istimewa di akhirat kelak. Amin. al Fatihah.
  








Tiada ulasan:

Catat Ulasan