Pagi ini sewaktu
menunggu para pelajar menjawab soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun, aku
mengambil kesempatan untuk membaca al Mathurat. Tiba pada bacaan saiyidul
istighfar, aku tiba-tiba teringat akan seorang sahabatku yang sudah lama tidak
berjumpa.
Kami
bersama-sama menunaikan fardu haji pada tahun 2011 dahulu. Sama-sama berkursus
haji selama 2 tahun dan tinggal di hotel yang sama di kota Makkah iaitu Hotel
Abraj Janadriah walaupun sahabatku itu
berangkat ke Makkah dengan penerbangan ke-2 iaitu KT 2 manakala aku KT 63. Sesampai sahaja aku di Makkah subuh itu iaitu
pada 30 Oktober 2011, aku terus menghantar pesanan ringkas kepadanya mengatakan
yang aku sudah sampai di Makkah dan ditempatkan di Hotel Abraj Janadriah.
Sahabatku mengatakan bahawa dia juga berada di hotel yang sama. Subhanallah, Maha Suci Allah, begitulah Allah
memanjangkan pertemuan kami sehinggakan sewaktu di sanapun, kami selalu
berjumpa sama ada di hotel ataupun berselisih di jalanan sewaktu ke Masjidil
Haram mahupun pulang dari masjid.
Selepas pulang dari Makkah ( Disember 2011), seingatku
kami hanya bertemu sekali iaitu sewaktu pertemuan di masjid bersama-sama para jemaah haji yang baru pulang dari Makkah dalam
Program Ala Post Mortem. Selepas itu dek kesibukan masing-masing, kami tidak
berjumpa lagi.
Aku habiskan
saiyidul istighfar sebanyak 3 kali. Tergambar di depan mataku ketika kami
bersama-sama menghadiri Kursus Haji Perdana di Masjid Sultan Ahmad Shah,
Kuantan.
Waktu itu
sahabatku pening kepala. Dia duduk di atas tangga sambil memicit-micit tengkuk
dan kepalanya.
Aku bertanya keadaannya dan dia menyatakan bahawa “belum
sampai di Makkah lagi, Allah sudah membalas niat buruk walau hanya terlintas di
dalam hati”.
Katanya
lagi, “Kakak ada terlihat sesuatu tadi, hati kakak mengutuknya, selepas itu kakak terus sakit kepala”.
Terasa
di hatiku bahawa, aku perlu sentiasa basahkan lidahku dengan istighfar terutama
jika terlepas cakap atau hati berkata sesuatu yang tidak elok.
Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui apa-apa yang berada di dalam hati kita walaupun kita tidak
melafazkannya.
Aku bertanya
sahabatku itu adakah dia tahu atau ingat tentang saiyidul istighfar.
Sahabatku mengatakan
bahawa dia tidak hafal. Lalu aku menolongnya dengan memicit-micit tengkuknya
sambil membaca saiyidul istighfar yang bermaksud;
“ Ya
Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau. Engkaulah
yang menciptakan segalanya dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada dalam perjanjian
dengan-Mu dan ikrar kepada-Mu yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku.
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sebarang kejahatan yang telah aku
lakukan. Aku akui dengan sebenar-benarnya segala nikmat-Mu ke atasku. Aku juga
mengakui dosa-dosa terhadap-Mu. Maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tiada
yang boleh mengampunkan dosa-dosa (ini) kecuali Engkau, ya Allah.”
Beberapa ketika
kemudian, Allah makbulkan doaku, sahabatku berasa sedikit lega. Dan kami
kembali fokus kepada kursus yang kami hadiri sebagai persediaan untuk ke Makkah
tidak lama lagi.
Kenangan itu
bagai wayang tergambar di depan mataku.
Tanpa berlengah
aku mencari telefon bimbit di dalam beg tanganku dan mencari-cari namanya.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah, nombor telefon bimbitnya masih dalam
simpananku.
Aku segera
menaip pesanan ringkas kepadanya menyatakan bahawa aku teringat kepadanya
secara tiba-tiba.
Beberapa detik
kemudian, dia membalas pesanan ringkasku dengan mengatakan bahawa dia sedang
berkursus di luar daerah tetapi tengah hari nanti dia akan balik.
Aku mengajaknya
berjumpa kerana aku sangat rindu kepadanya.
Sebenarnya aku
mendapat khabar pada tahun lepas iaitu pada akhir 2012 bahawa selepas beberapa
bulan balik daripada menunaikan fardu haji, dia berkongsi kasih. Suaminya
berkahwin seorang lagi. Isteri kedua merupakan bekas kekasih lama suaminya.
Masya-Allah, begitu
berat dugaan dan ujian yang ditanggung oleh sahabatku itu.
Bagiku ,sebagai seorang
perempuan dan isteri yang kukira mempunyai iman senipis kulit bawang, jika hal
ini berlaku kepadaku, kufikir berkongsi kasih merupakan dugaan hidup yang maha
berat.
Selepas itu kudengar dia bertukar tempat kerja. Aku fikir mungkin dia mahu meringankan
tekanan dan bebanan yang dia tanggung di tempat kerja lama dengan beralih ke tempat
baharu dengan suasana dan enviromen yang baharu.
“Untuk memupuk dan memulihkan
semangat barangkali…”fikirku.
Tengah hari itu
sewaktu berada di dalam kelas tingkatan 3 untuk mengawas peperiksaan, aku
menghidupkan semula telefon bimbit yang telah aku matikan kerana baterinya hampir
kehabisan. Aku mahu melihat-lihat pesanan ringkas daripada sahabatku jika ada.
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kedatangannya.
Dia datang berjumpa
denganku di kelas itu. Masya-Allah, Subhanallah Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan segalanya. Allah tahu aku sangat merinduinya. Ingin
bercerita dengannya. Ingin menggamit kembali memori sewaktu kami sama-sama di Makkah dahulu. Aku bagai
terpana. Tanpa sedar aku memeluknya. Kami berpelukan. Erat sekali.
Rupa-rupanya
selepas selesai berkursus, dia terus balik dan singgah mencariku sebelum dia
balik ke rumah.
Seketika
kemudian loceng tamat kelas berbunyi. Aku mengajaknya ke surau memandangkan
waktu Zohor telahpun masuk. Kami ke surau dan solat berjamaah bersama-sama.
Seusai solat, sambil
menyandar di dinding surau, kami berkongsi
cerita.
Katanya, sewaktu
di Makkah, dia memohon kepada Allah agar diberi kesabaran dalam menempuh segala
dugaan dan cabaran hidup ini.
Sungguh ! Allah
memberinya kesabaran yang tinggi.
Setelah suaminya memberitahu niat untuk
berkahwin seorang lagi, dia tidak berkata apa-apa, tidak membantah malah jauh sekali mengambil tindakan yang diluar dugaan.
Walau kesedihan
di dalam hati tetap ada, namun dia sabar dan reda.
Allah telah menyurat
takdirnya begitu.
Katanya, kini
dia tidak mahu lagi memikirkan hal itu. Yang dia fikirkan adalah mahu
meningkatkan amal ibadatnya. Umurnya sudah menjangkau 50 tahun. Dia sudah
memohon untuk pencen awal.
"Mahu rehat dan fokus kepada amal ibadat" katanya.
Katanya dia
tidak pernah bercerita apa-apa masalah kepada adik beradiknya kerana hal itu
tidak mendatangkan apa-apa penyelesaian.
Apa-apa kesulitan dan kekusutan
fikiran yang dihadapi, diluahkan kepada Allah SWT dalam solat-solat dan doanya.
Sebagai seorang
perempuan dan isteri, aku faham dan simpati terhadap apa-apa yang dia alami.
Ya. Benarlah
seperti firman Allah dalam surah
al-Baqarah ayat 153, yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman ! Mohonlah pertolongan Allah (kepada
Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."
Dan juga dalam ayat 45 surah al- Baqarah , yang bermaksud;
“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan
(solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”.
Dia mohon agar aku menyelitkan doa untuknya dalam doa-doaku agar dia diberi kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi dugaan hidup ini, sekarang dan akan datang.
Aku betul-betul kagum dengan
kesabarannya.
Ya. Benar ! Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat)
olehnya. Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga
menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…”
Allah menyuruh
kita bersabar dalam menempuh segala dugaan dan menghadapi segala ujian. Jika
menghadapi sebarang ujian dan dugaan, kita hendaklah sabar dan solat.
Berserahlah
kepada Allah. Mohonlah doa kepada-Nya agar diberi kekuatan untuk menghadapi
segalanya. Segala ujian dan dugaan yang diberi, adalah untuk meningkatkan
keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya.
Setengah jam
kemudian, kami berpisah. Aku tidak berpeluang untuk mengajaknya minum kerana
dia sedang berpuasa.
Setelah
sahabatku pulang. Aku kembali berteleku di atas sejadah, tempat aku dan
sahabatku solat berjamaah sebentar tadi.
Banyak benda yang aku fikirkan.
Tentang dugaan hidup sahabatku, tentang hidupku, tentang masa depanku,
tentang akhirat dan macam-macam lagi.
Allah berfirman dalam surah
al-Ankabut ayat 2-3.
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan
mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang
sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui
orang-orang yang dusta”
Sungguh! Jika Allah memberi dugaan dan ujian kepadaku
sebagaimana yang dihadapi oleh sahabatku itu , fikirku aku tidak mampu menghadapinya.
Aku ini hamba-Mu yang lemah...ya Allah. Dugaan seperti itu maha berat untuk kupikul.
Pernah aku berkata kepada
suamiku,
“Papa,
janganlah papa fikirkan untuk mencari penghidupan yang lain. Kita fokuskan
kepada hidup kita sekarang. Apa-apa yang kita mahu, Allah sudah bagi segalanya.
Kita sudah selesai menunaikan rukun Islam kelima. Selepas ini kita tingkatkan
amal ibadat kita sekurang-kurangnya sebagaimana yang kita lakukan di Makkah
dahulu. Kita mengaji, kita berulang alik ke masjid, kita bangun untuk solat
malam dan lain-lain ibadat lagi. Umur
kita pun sudah 46 dan 47 tahun. Jika merujuk kepada umur baginda Rasul iaitu 63
tahun sewaktu wafatnya, kita cuma ada 16 atau 17 tahun lagi untuk beribadat
kepada-Nya. Jika papa mencari penghidupan baru, papa seperti 20 yang dulu,
bergelumang dengan anak kecil sehinggakan mahu bangun untuk solat malam pun
susah. Sekarang kita sudah selesa bangun menunaikan tahajjud tanpa gangguan
anak kecil. Kita fokuslah pada hidup kita sekarang. Kita fokus pada amal ibadat
kita. Setiap 2 tahun sekali kita ke Makkah untuk menunaikan umrah kerana Allah
akan ampunkan dosa kita antara umrah dengan umrah. Kalau ada rezeki lebih, kita
tunaikan umrah setiap tahun hingga kita menutup mata. Ada peluang, kita pergi
melancong. Kita lihat bumi Allah yang luas dan indah ini”
Begitulah yang
aku katakan kepada suamiku tentang impianku dan impian hidup kami.
Aku berharap
agar impianku ini menjadi kenyataan.
Impian seorang isteri yang tidak mampu dan tidak ingin berkongsi kasih suaminya dengan insan lain yang bergelar isteri.
Ku berdoa agar
Allah mengabulkan segala hajatku ini.
Ya Allah
sesungguhnya aku tidak mampu menghadapi dugaan-Mu yang maha berat.
Kau
ampunilah aku atas kelemahan imanku.
Kau
tingkatkanlah keimanan dan ketaqwaanku kepada-Mu agar aku menjadi hamba-Mu yang solehah dan bertaqwa kepada-Mu.
Doaku agar aku dan sahabatku
diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi segala dugaan dan ujian hidup ini.
“…Wahai Tuhan kami, janganlah
engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang
telah Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami,
janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak berdaya memikulnya.
Maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada
kami. Engkaulah penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai
kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (surah al-Baqarah ayat 286)
Astaghfirullah…aku mohon keampunan-Mu , ya Allah…
Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar
*********************************
Catatan:
Kepada sahabatku, mohon maaf dipinta kerna aku menulis entri mengenai
hal ini di dalam blogku…
Semoga hal ini boleh memberi kita semua kekuatan dan reda atas apa-apa
yang Allah suratkan atas takdir kita.