Semalam 24 Mei 2013-Jumaat. Kami sekeluarga ke rumah Abang Man (abang ipar) di Putrajaya untuk menghadiri kenduri tahlil dan bacaan yaasin untuk disedekah kepada roh arwah mak (ibu mentuaku) yang meninggal pada 21 April 2013 -Ahad.
Balik dari Putrajaya lebih kurang jam 6 petang.
Apabila masuk waktu Maghrib, kami berniat jamak takhir dan qasar kerana kami dalam perjalanan (bermusafir).
Lebih kurang jam 8.15 malam, kami singgah di Petronas Apandi Hill Side, Bentong iaitu sebuah stesen pam minyak yang besar di tepi sebuah bukit di lebuh raya Kuala Lumpur -Kuantan.
Selalunya kalau kami bermusafir ke Kuala Lumpur , kami akan singgah di sini untuk menunaikan solat.
Aku dan Sarah terus menuju ke surau kecil di dalam stesen minyak itu.
Setelah menolak pintu untuk masuk ke surau, kelihatan beberapa orang muslimat yang sedang bersolat.
Aku dan Sarah terus mengambil wuduk.
Sewaktu mencari telekung yang di sediakan di situ untuk dipakai, datang 3 orang budak perempuan menghampiriku sambil membuka telekung yang dipakainya serta menyidainya di tempat yang disediakan menunjukkan yang dia telah selesai bersolat.
"Cantik budak- budak perempuan ni..."kata hatiku.
Akupun memerhati gelagat mereka sambil mengenakan telekung.
Agakku budak perempuan yang paling besar itu berumur 14 tahun dan paling cantik dalam kalangan 3 orang budak perempuan itu.
Dua orang lagi dalam lingkungan umur 12 tahun dan 9 tahun.
Kulihat budak-budak perempuan itu memakai baju T muslimah yang labuh menutupi bahagian punggung, bertudung agak labuh dengan brooch berbentuk bunga melekat kemas di bahu dan yang menarik perhatianku ialah budak perempuan yang berumur 14 dan 12 tahun itu bersiap-siap memakai stokin hitam. <
Hatiku berkata bagusnya budak-budak ini. Menutup aurat secara sempurna. Jarang kujumpa anak gadis yang BARU MASUK USIA REMAJA ini menutup aurat sesempurna ini.
Yang selalu kutengok ialah hanya memakai tudung sahaja. Tidak memakai stokin untuk menutup aurat kaki.
Kadang- kadang ada juga yang bertudung tetapi memadai baju berlengan pendek.
Ya ! Semua ini sebenarnya salah ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak supaya menutup aurat secara sempurna dari kepala hingga ke kaki sejak mereka mula mencapai umur akil baligh.
Kadang-kadang yang lebih memalukan ialah apabila anak-anak memakai tudung dengan elok tetapi si ibu pula yang mendedahkan rambutnya tanpa rasa berdosa. Masya-Allah...
Aku cuba menegur anak gadis itu..."pukul berapa sekarang dik?
Seraya melihat jam di pergelangan tangannya, gadis yang kuagak berumur 14 itu menjawab "pukul 8.25".
"Oh ! Mak Chik nak solat Isya' " , kataku.
"Yang ini nombor satu ye?" Sambil bertanya kepada gadis yang paling tua dalam kalangan mereka bertiga itu.
"Tak ! Nombor dua" katanya.
"Yang ini nombor tiga dan ini nombor empat?"
Tanyaku lagi sambil menunjuk kepada dua orang gadis yang lebih kecil daripada si kakak.
" ya! Tapi yang ini sepupu saya" katanya menunjuk kepada anak gadis yang paling kecil yang agakku berumur sembilan tahun itu.
"Ooo...patutlah lainnnn..." kataku sambil tersenyum kepada mereka.
Setelah siap mengemas pakaian mereka seusai solat itu, mereka pun pergi.
Dalam hatiku bertekad, aku akan mendidik Sarah berpakaian menutup aurat sebagaimana anak-anak gadis itu.
Bagusnya ibu bapa gadis itu dalam mendidik anak-anak mereka. Mesti mereka merupakan ibu bapa yang beriman. Kata hatiku...
Hal ini jelas kerana mereka yang beriman dan beramal soleh akan menjaga solatnya walau di mana mereka berada.
Mengambil berat fasal solat dan aurat anak-anak dengan baik ...menunjukkan pasangan ibu dan bapa itu adalah terdiri daripada orang-orang beriman.
Hal ini memberi pengajaran kepadaku agar mendidik anak-anak menitikberatkan solat dan menutup aurat secara sempurna.
In shaa Allah, jika ibu bapa mengajar anak-anak dari kecil untuk patuh terhadap hukum-hukum agama Islam seperti kewajiban menunaikan solat lima waktu, menutup aurat dan lain-lain perintah Allah, maka apabila mereka mula akil baligh nanti, mereka akan berasa malu untuk membuka aurat dan akan menjaga solat lima waktu walau di mana mereka berada dan dalam keadaan apapun, kerana didikan mantap sudah diberi sejak dari kecil.
**********
Setelah pasti waktu Isya' telah masuk, aku mengimani Sarah untuk menunaikan solat kami pada malam itu.
***********************
Catatan:
Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa yang memiliki tiga orang anak perempuan, dia melindungi mereka, menyayangi mereka, dan menanggung mereka, maka wajiblah baginya syurga. " ada yang berkata, " wahai Rasulullah, jika dua orang?" Baginda pun menjawab, " sekalipun dua orang." Perawi berkata, "Maka sebahagian orang melihat sekiranya dia mengatakan seorang nescaya baginda berkata, " Dan satu orang pun".
Allah Allah Allah
Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan