Selasa, 21 Mei 2013

UJIAN SAHABATKU BERKONGSI KASIH



Pagi ini sewaktu menunggu para pelajar menjawab soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun, aku mengambil kesempatan untuk membaca al Mathurat. Tiba pada bacaan saiyidul istighfar, aku tiba-tiba teringat akan seorang sahabatku yang sudah lama tidak berjumpa.

Kami bersama-sama menunaikan fardu haji pada tahun 2011 dahulu. Sama-sama berkursus haji selama 2 tahun dan tinggal di hotel yang sama di kota Makkah iaitu Hotel Abraj Janadriah  walaupun sahabatku itu berangkat ke Makkah dengan penerbangan ke-2 iaitu KT 2 manakala aku KT 63.  Sesampai sahaja aku di Makkah subuh itu iaitu pada 30 Oktober 2011, aku terus menghantar pesanan ringkas kepadanya mengatakan yang aku sudah sampai di Makkah dan ditempatkan di Hotel Abraj Janadriah. Sahabatku mengatakan bahawa dia juga berada di hotel yang sama.  Subhanallah, Maha Suci Allah, begitulah Allah memanjangkan pertemuan kami sehinggakan sewaktu di sanapun, kami selalu berjumpa sama ada di hotel ataupun berselisih di jalanan sewaktu ke Masjidil Haram mahupun pulang dari masjid.

 Selepas pulang dari Makkah ( Disember 2011), seingatku kami hanya bertemu sekali iaitu sewaktu pertemuan di masjid bersama-sama para  jemaah haji yang baru pulang dari Makkah dalam Program Ala Post Mortem. Selepas itu dek kesibukan masing-masing, kami tidak berjumpa lagi.

Aku habiskan saiyidul istighfar sebanyak 3 kali. Tergambar di depan mataku ketika kami bersama-sama menghadiri Kursus Haji Perdana di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

Waktu itu sahabatku pening kepala. Dia duduk di atas tangga sambil memicit-micit tengkuk dan kepalanya.

Aku  bertanya keadaannya dan dia menyatakan bahawa “belum sampai di Makkah lagi, Allah sudah membalas niat buruk walau hanya terlintas di dalam hati”.

                Katanya lagi, “Kakak ada terlihat sesuatu tadi, hati kakak mengutuknya,  selepas  itu kakak terus sakit kepala”.
 
                Terasa di hatiku bahawa, aku perlu sentiasa basahkan lidahku dengan istighfar terutama jika terlepas cakap atau hati berkata sesuatu yang tidak elok.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang berada di dalam hati kita walaupun kita tidak melafazkannya.

Aku bertanya sahabatku itu adakah dia tahu atau ingat tentang saiyidul istighfar.

Sahabatku mengatakan bahawa dia tidak hafal. Lalu aku menolongnya dengan memicit-micit tengkuknya sambil membaca saiyidul istighfar yang bermaksud;

 “ Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau. Engkaulah yang menciptakan segalanya dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada dalam perjanjian dengan-Mu dan ikrar kepada-Mu yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sebarang kejahatan yang telah aku lakukan. Aku akui dengan sebenar-benarnya segala nikmat-Mu ke atasku. Aku juga mengakui dosa-dosa terhadap-Mu. Maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tiada yang boleh mengampunkan dosa-dosa (ini) kecuali Engkau, ya Allah.”

Beberapa ketika kemudian, Allah makbulkan doaku, sahabatku berasa sedikit lega. Dan kami kembali fokus kepada kursus yang kami hadiri sebagai persediaan untuk ke Makkah tidak lama lagi.

Kenangan itu bagai wayang tergambar di depan mataku.

Tanpa berlengah aku mencari telefon bimbit di dalam beg tanganku dan mencari-cari namanya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, nombor telefon bimbitnya masih dalam simpananku.

Aku segera menaip pesanan ringkas kepadanya menyatakan bahawa aku teringat kepadanya secara tiba-tiba.

Beberapa detik kemudian, dia membalas pesanan ringkasku dengan mengatakan bahawa dia sedang berkursus di luar daerah tetapi tengah hari nanti dia akan balik.

Aku mengajaknya berjumpa kerana aku sangat rindu kepadanya.

Sebenarnya aku mendapat khabar pada tahun lepas iaitu pada akhir 2012 bahawa selepas beberapa bulan balik daripada menunaikan fardu haji, dia berkongsi kasih. Suaminya berkahwin seorang lagi. Isteri kedua merupakan bekas kekasih lama suaminya.

Masya-Allah, begitu berat dugaan dan ujian yang ditanggung oleh sahabatku itu.

Bagiku ,sebagai seorang perempuan dan isteri yang kukira mempunyai iman senipis kulit bawang, jika hal ini berlaku kepadaku, kufikir berkongsi kasih merupakan dugaan hidup yang maha berat.

Selepas itu kudengar dia bertukar tempat kerja. Aku fikir mungkin dia mahu meringankan tekanan dan bebanan yang dia tanggung di tempat kerja lama dengan beralih ke tempat baharu dengan suasana dan enviromen yang baharu. 

“Untuk memupuk dan memulihkan semangat barangkali…”fikirku.

Tengah hari itu sewaktu berada di dalam kelas tingkatan 3 untuk mengawas peperiksaan, aku menghidupkan semula telefon bimbit yang telah aku matikan kerana baterinya hampir kehabisan. Aku mahu melihat-lihat pesanan ringkas daripada sahabatku jika ada. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kedatangannya.

Dia datang berjumpa denganku di kelas itu. Masya-Allah, Subhanallah Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segalanya. Allah tahu aku sangat merinduinya. Ingin bercerita dengannya. Ingin menggamit kembali memori sewaktu  kami sama-sama di Makkah dahulu. Aku bagai terpana. Tanpa sedar aku memeluknya. Kami berpelukan. Erat sekali.

Rupa-rupanya selepas selesai berkursus, dia terus balik dan singgah mencariku sebelum dia balik ke rumah.

Seketika kemudian loceng tamat kelas berbunyi. Aku mengajaknya ke surau memandangkan waktu Zohor telahpun masuk. Kami ke surau dan solat berjamaah bersama-sama.

Seusai solat, sambil menyandar di dinding surau, kami berkongsi  cerita.

Katanya, sewaktu di Makkah, dia memohon kepada Allah agar diberi kesabaran dalam menempuh segala dugaan dan cabaran hidup ini.

Sungguh ! Allah memberinya kesabaran yang tinggi. 

Setelah suaminya memberitahu niat untuk berkahwin seorang lagi, dia tidak berkata apa-apa, tidak membantah malah jauh sekali mengambil tindakan yang diluar dugaan.

Walau kesedihan di dalam hati tetap ada, namun dia sabar dan reda.

Allah telah menyurat takdirnya begitu.

Katanya, kini dia tidak mahu lagi memikirkan hal itu. Yang dia fikirkan adalah mahu meningkatkan amal ibadatnya. Umurnya sudah menjangkau 50 tahun. Dia sudah memohon untuk pencen awal.

"Mahu rehat dan fokus kepada amal ibadat" katanya.

Katanya dia tidak pernah bercerita apa-apa masalah kepada adik beradiknya kerana hal itu tidak mendatangkan apa-apa penyelesaian. 

Apa-apa kesulitan dan kekusutan fikiran yang dihadapi, diluahkan kepada Allah SWT dalam solat-solat dan doanya.  

Sebagai seorang perempuan dan isteri, aku faham dan simpati terhadap apa-apa yang dia alami.

 Ya.  Benarlah seperti  firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153, yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman ! Mohonlah pertolongan Allah (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."

Dan juga  dalam ayat 45  surah al- Baqarah , yang bermaksud;

Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”.

Dia mohon  agar aku menyelitkan doa untuknya dalam doa-doaku agar dia diberi kekuatan dan kesabaran dalam  mengharungi dugaan hidup ini,  sekarang  dan  akan  datang.

Aku betul-betul kagum dengan kesabarannya.

Ya. Benar !   Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat) olehnya. Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…”

Allah menyuruh kita bersabar dalam menempuh segala dugaan dan menghadapi segala ujian. Jika menghadapi sebarang ujian dan dugaan, kita hendaklah sabar dan solat.

Berserahlah kepada Allah. Mohonlah doa kepada-Nya agar diberi kekuatan untuk menghadapi segalanya. Segala ujian dan dugaan yang diberi, adalah untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya.

Setengah jam kemudian, kami berpisah. Aku tidak berpeluang untuk mengajaknya minum kerana dia sedang berpuasa.

Setelah sahabatku pulang. Aku kembali berteleku di atas sejadah, tempat aku dan sahabatku solat berjamaah sebentar tadi. 

Banyak benda yang aku fikirkan. Tentang dugaan hidup sahabatku, tentang hidupku, tentang masa depanku, tentang akhirat dan macam-macam lagi.

Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2-3.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?  Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta”

Sungguh!  Jika Allah memberi dugaan dan ujian kepadaku sebagaimana yang dihadapi oleh sahabatku itu , fikirku aku tidak mampu menghadapinya. 

Aku ini hamba-Mu yang lemah...ya Allah.  Dugaan seperti itu maha berat untuk kupikul.

Pernah aku berkata kepada suamiku,

 “Papa, janganlah papa fikirkan untuk mencari penghidupan yang lain. Kita fokuskan kepada hidup kita sekarang. Apa-apa yang kita mahu, Allah sudah bagi segalanya. Kita sudah selesai menunaikan rukun Islam kelima. Selepas ini kita tingkatkan amal ibadat kita sekurang-kurangnya sebagaimana yang kita lakukan di Makkah dahulu. Kita mengaji, kita berulang alik ke masjid, kita bangun untuk solat malam dan lain-lain ibadat lagi.  Umur kita pun sudah 46 dan 47 tahun. Jika merujuk kepada umur baginda Rasul iaitu 63 tahun sewaktu wafatnya,  kita cuma ada  16 atau 17 tahun lagi untuk beribadat kepada-Nya. Jika papa mencari penghidupan baru, papa seperti 20 yang dulu, bergelumang dengan anak kecil sehinggakan mahu bangun untuk solat malam pun susah. Sekarang kita sudah selesa bangun menunaikan tahajjud tanpa gangguan anak kecil. Kita fokuslah pada hidup kita sekarang. Kita fokus pada amal ibadat kita. Setiap 2 tahun sekali kita ke Makkah untuk menunaikan umrah kerana Allah akan ampunkan dosa kita antara umrah dengan umrah. Kalau ada rezeki lebih, kita tunaikan umrah setiap tahun hingga kita menutup mata. Ada peluang, kita pergi melancong. Kita lihat bumi Allah yang luas dan indah ini”

Begitulah yang aku katakan kepada suamiku tentang impianku dan impian hidup kami. 

Aku berharap agar impianku ini menjadi kenyataan.

Impian seorang isteri yang tidak mampu dan tidak ingin berkongsi kasih suaminya dengan insan lain yang bergelar isteri. 

Ku berdoa agar Allah mengabulkan segala hajatku ini.

Ya Allah sesungguhnya aku tidak mampu menghadapi dugaan-Mu  yang maha berat.
Kau ampunilah aku atas kelemahan imanku.

Kau tingkatkanlah keimanan dan ketaqwaanku kepada-Mu agar aku menjadi hamba-Mu yang solehah dan bertaqwa kepada-Mu.

Doaku agar aku dan sahabatku diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi segala dugaan dan ujian hidup ini.

 “…Wahai Tuhan kami, janganlah engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak berdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."    (surah al-Baqarah ayat 286)


Astaghfirullah…aku mohon keampunan-Mu  ,  ya Allah…

Subhanallah     Alhamdulillah      Allahu Akbar


********************************* 
Catatan:

Kepada sahabatku, mohon maaf dipinta kerna aku menulis entri mengenai hal ini di dalam blogku…
Semoga hal ini boleh memberi kita semua kekuatan dan reda atas apa-apa yang Allah suratkan atas takdir kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan