Selasa, 21 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU- AKU BAHAGIA DIPANGGIL "CIKGU"

16 Mei 2013, genap 21 tahun aku menjadi seorang guru. Ah! Terasa cepatnya masa berlalu. Apabila setiap hari berulang alik ke sekolah, tidak ku sedar bahawa tempoh masa yang aku lalui sejak bergelar CIKGU,  rupa- rupa sudah 21 tahun lamanya.

Disebabkan setiap hari berulang alik ke sekolah, aku sebenarnya tidak berasa tua...malah aku terasa bagai masih remaja yang masih berpakaian sekolah lagi. Bergembira bersama- sama kawan-kawan bagai tiada masalah.

 Ah! Cukup manis kenangan alam persekolahan. Inilah antara sebab mengapa aku suka menjadi guru.

Aku bahagia dipanggil "cikgu!".

Kalau mengikut perjanjian pencen yang ditandatangani, aku masih ada 16 tahun lagi untuk berkhidmat mencurahkan ilmu kepada para pelajar.

Pencen apabila berumur 60 tahun.

Wah ! 60 tahun ? Tua tu ? Larat lagikah aku untuk berdiri memegang marker pen, menulis pada papan putih ?

Larat lagikah aku menapak selangkah demi selangkah menaiki anak-anak tangga menuju ke kelas di tingkat  3 atau 4 ?

Hahaha...agaknya pada masa itu, mungkin ada anak muridku yang nakal memanggilku dengan panggilan baru " Nenek Guru", "Wan Guru", atau "Opah Guru". Menggantikan "Mama Guru !".

Ah !  Terpulangkan apa-apa yang dipanggil...aku percaya akan slogan untuk guru "SEKALI BERGELAR GURU, SELAMANYA DIPANGGIL CIKGU"  pasti unggul. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan !

Menjadi guru hari ini terlalu banyak cabarannya. Sikap ibu bapa yang suka komplen dan sikap anak murid yang tidak menghormati guru , sedikit sebanyak melemahkan semangat guru.

Walau bagaimanapun, sepanjang 21 tahun aku mengajar, aku tidak banyak berdepan dengan karenah pelajar sebegini. Padaku, berdepan dengan pelajar yang jatuh cinta dengan cikgu lebih sukar dihadapi berbanding berdepan dengan pelajar yang bersikap kurang ajar.

Hahaha...Ya, itulah pengalamanku sewaktu muda- muda dahulu.

Dipanggil "CIKGU " ketika  berumur 25 tahun selepas tamat belajar di UKM.

Pengalaman tersebut rasanya tidak perlulah dikongsi dengan khalayak, al maklumlah, aku pun faham perasaan anak-anak remaja yang tidak banyak terdedah dengan dunia luar pada masa itu.

Cuma pada  suatu hari selepas beberapa tahun berlalu, sewaktu aku menonton sebuah drama di kaca televisyen, aku lihat pelajar tersebut menjadi pelakon dalam drama tersebut. Oh! Jadi pelakon rupanya. Kini, aku tidak pernah lagi melihat dia berlakon dalam mana-mana drama.

Itulah pengalamanku sewaktu pertama kali bergelar "cikgu".

Pengalaman lain yang boleh dikongsi adalah semasa aku mengajar di sekolah pertamaku di Terengganu pada tahun 1992.

Peristiwa yang aku tidak boleh lupa adalah sewaktu operasi seluar ketat. Ramai pelajar pada masa itu sengaja menjahit seluar mereka menjadi ketat.

Entah trend dari mana yang menjadi ikutan mereka. Disebabkan guru disiplin sudah tidak larat melarang dan menegur mereka, satu kaedah luar biasa telah diambil iaitu meminjam kain batik murid perempuan yang tinggal di asrama.

Selalunya 'operasi seluar ketat' akan bermula pada masa kedua iaitu sewaktu pelajar-pelajar sedang asyik belajar dan pelajar yang selalu datang lewat pun sudah sampai ke sekolah.

Pelajar-pelajar yang ditangkap kerana memakai seluar ketat akan diarah menukar seluar mereka dan memakai kain batik. Apalagi, merah padamlah muka mereka kerana malu sehinggakan pelajar-pelajar ini tidak makan pada waktu rehat kerana malu hendak ke kantin dengan berkain batik hahaha...lucukan?

Sehinggalah tiba waktu balik, barulah mereka berjalan ke bilik disiplin untuk mengambil seluar mereka.

Adanya juga yang mengatakan "best juga belajar pakai kain batik ni ye ! Nyaman dan BERANGIN ..." hahaha...itulah antara pengalaman lucu dalam memori hidupku sebagai seorang guru.

Selain pengalaman yang mencuit hati, terselit juga pengalaman yang  menyedihkan contohnya pada awal tahun 1999 seperti kematian seorang pelajarku sewaktu balik dari sekolah. Pelajar tersebut mengalami kemalangan.

Motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan lori dan dia meninggal sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

Apabila aku masuk ke kelas setiap hari, hatiku sedih melihat mejanya yang kosong, tidak diduduki.

Baru sahaja mahu mengenali pelajar-pelajar yang menghuni kelas itu pada awal tahun tetapi salah seorang daripadanya sudah pergi meninggalkan kami dan takkan kembali lagi.

Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupa dan terkilan sehingga kini ialah apabila ada pelajarku yang 'tersalah langkah' .

Awal tahun 1999 itu juga, sewaktu menghadiri mesyuarat pertama guru-guru, aku dikejutkan dengan berita seorang pelajar perempuan yang pernah aku ajar sewaktu di tingkatan 5 tahun 1998 telah melahirkan anak sebaik sahaja habis peperiksaan SPM.

Masya-Allah, tidak terkata aku apabila mendengar berita itu. Sebenarnya ibu pelajar lelaki yang menjadi pasangan pelajar perempuan itu meminta aku menasihati anaknya yang juga pelajar di kelasku dan pelajar perempuan itu agar memutuskan hubungan cinta mereka.

Walaupun tindakan menasihati kedua-duanya sudah diambil tetapi mereka masih juga berhubungan dan akhirnya melakukan perbuatan yang dilaknati Allah SWT.

Aku masih ingat, selepas mesyuarat guru, aku ke hospital melawat pelajar perempuan itu.

Dia menangis apabila melihat aku. Apa nak buat lagi...nasi sudah menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Menangis air mata darah sekalipun...seorang nyawa sudah keluar.

Aku menasihatinya supaya bertaubat nasuha. Memohon keampunan Allah SWT atas dosa besar yang dilakukan dan jangan sesekali mengulangi perbuatan zina itu lagi.

Aku menasihatinya agar membela anak itu dengan baik dan jangan menganiayainya seperti berita yang banyak keluar di dada-dada akhbar kerana anak itu tidak bersalah.

Yang bersalah melakukan dosa besar ialah kedua-dua ibu bapanya.

Aku menasihati kedua-duanya agar berkahwin. Ku harap agar mereka berdua insaf atas kesalahan yang dilakukan dan bertaubat.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya.

Allah berfirman dalam Surah at-Tahrim :8,
"Wahai orang-orang yang beriman !  Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap gelita): "Wahai Tuhan kami ! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Setelah beberapa tahun, aku berjumpa lagi dengan bekas pelajarku itu di Pekan Sehari.

Melalui ceritanya, dia berkahwin dengan pasangannya itu setelah budak lelaki itu genap berumur 18 tahun dan perkahwinan mereka bertahan hanya 2 tahun sahaja.

Akhirnya mereka bercerai. Bekas pelajarku itu menjadi 'janda' dan 'duda' sewaktu berumur 20 tahun. Masya-Allah...

Pada tahun 2011 , sewaktu sukan di sekolahku, aku ditugaskan menyambut para tetamu termasuk ibu bapa.

Seorang perempuan muda menegurku, "cikgu tak kenal saya?" Katanya.

Puas aku amati, rupa-rupanya perempuan muda itu bekas pelajarku.

Dia memberitahuku bahawa anaknya itu bersekolah di sekolahku dalam tingkatan 1.

Masya-Allah, anaknya menjadi anak muridku pula.
Walaupun aku tidak mengajar di kelasnya, anaknya juga merupakan anak muridku.  Yang tepatnya menjadi  "CUCU MURIDkulah..."

Itulah serba sedikit pengalaman dan kenangan menjadi guru dan dipanggil 'CIKGU !' .

Sebenarnya banyak lagi suka duka bergelar guru. Yang kupaparkan ini hanyalah cebisan pengalaman dalam masa 21 tahun aku mengajar.

WALAU APAPUN ,  AKU AMAT BAHAGIA SEKALI DIPANGGIL "CIKGU!!" .

SEMOGA AKU MENJADI GURU YANG TERBAIK UNTUK ANAK-ANAK MURIDKU DI SEKOLAH DAN MENJADI "GURU" YANG TERBAIK  JUGA UNTUK ANAK-ANAKKU DI RUMAH...in shaa Allah...

Semoga anak-anak muridku dan anak-anakku menjadi antara orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

*********
Astaghfirullah...aku mohon keampunan-Mu ya Allah atas kelemahan diriku dalam mendidik anak bangsa dalam menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah.

"Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu orang yang sentiaa bertaubat kepada Allah."    (Hadis riwayat Darimi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan