Selasa, 21 Mei 2013

HUJAN - MENGGAMIT MEMORI PILU

Apabila hujan turun, hatiku akan berasa sedih. Walau aku tahu hujan yang turun adalah satu rahmat daripada Allah, namun kepiluan itu tidak dapat aku bendung.

Teringat akan lagu arwah Sudirman Haji Arshad;

            Hujan yang turun bagaikan mutiara
            Bersinar, berkilau, berkelipan
            Subur menghijau bumi terbentang
            Dan bayu berpuput lembut...

Hujan yang turun menggamit memori sewaktu kecilku. Aku teringat bagaimana kesusahan hidup yang aku alami sewaktu kecilku dahulu.

Apabila hujan turun maka berderet- deretlah besen dan baldi di tengah rumah,  menadah air hujan akibat atap rumah kami yang bocor.

Arwah bapaku hanya seorang pelayar, kemudian apabila aktiviti kelautan tidak lagi aktif, arwah ayah hanya mengangkut pasir di sungai untuk dijual serta membela lembu.

Pendapatan hanyalah RM 10-20 sahaja sehari. Ibuku tidak bekerja. Hanya mengambil upah menjahit . Bolehlah menampung sedikit perbelanjaan rumah.

Masih ku ingat sewaktu kecilku. Suatu hari di tengah hujan renyai-renyai, ibuku menebang sepohon pisang. Kemudian dirautnya daun pisang Tenggala itu dan diikat.

Aku dan adik lelakiku, Yami disuruh ibu menghantar daun pisang itu ke rumah sahabatnya Mak Cik Nah yang berniaga nasi dagang.

Kami dua beradik berjalan beringan. Aku memegang payung manakala adikku Yami mengelek daun pisang. Tempias hujan membasahi baju kami.

Jika tidak silap waktu itu aku berumur 10 tahun manakala adik lelakiku Yami berumur 8 tahun.

Rumah Mak Cik Nah agak jauh juga.

Walaupun sesekali payung yang kupegang bagai hendak terbang ditiup angin dan baju kami yang hampir lenjun kebasahan, tetapi kami teruskan juga perjalanan kerana mengingati kata ibu, "kalau Mak Cik Nah beli daun pisang ini dapatlah 80 sen...boleh buat beli gula"

Tetapi apabila sampai sahaja di rumah Mak Cik Nah, dia memberitahu bahawa dia tidak mahu daun pisang yang kubawa itu.

Aku pun tidak tahu mengapa? ....adakah dia tidak berniaga atau stok daun pisangnya sudah ada.

Alangkah sedihnya hatiku ini. Adik lelakiku memandang wajahku dengan perasaan yang hampa. Aku tahu dia juga sedih...tetapi apa nak buat, takkanlah aku nak memaksa orang tua itu pula...

Dalam hatiku berkata,  tidak kesian ke dia kepada kami yang basah kuyup ini? 

Apa salahnya jika dia menolong kami dua beradik yang basah kuyup ini?

Tetapi tidak !...Dia sampai hati melihat kami dua beradik pulang di tengah hujan itu dengan membawa balik seikat daun pisang. Alahai sedihnya...

Apa-apapun, kami terpaksa membawa daun pisang tu pulang. Adik lelakiku menjunjung daun pisang tersebut di atas kepalanya. Mungkin dia telah penat mengeleknya. Kami dua beradik berjalan pulang dalam hujan lebat itu.

Sesampainya di rumah ,  hatiku sayu melihat wajah sedih ibu. Ibu bersusah payah menebang pokok pisang untuk diambil daunnya untuk dijual, tetapi hampa apabila orang itu tidak mahu membelinya pula sedangkan dia yang mahukan daun pisang tempoh hari.

Betapa besarnya nilai 80 sen pada tahun 1976.

Begitulah susahnya hidup kami adik-beradik sewaktu kecil dahulu.

Apabila tiba musim tengkujuh, hujan turun tidak berhenti-henti. Kadang-kadang berminggu-minggu kami tidak melihat matahari.
Penuh baju-baju yang telah dibasuh di sidai di dalam rumah.

Kami makan apa-apa yang ada.

Nelayan tidak dapat ke laut. Ikan yang adapun jenis ikan Tambang Buru yang banyak tulang. Selalunya ibu akan mengelar ikan Tambang Buru itu halus-halus supaya senang kami adik beradik, anak ibu yang kecil -kecill ini makan supaya tidak tercekik tulang.

Kini, ikan Tambang Buru hanya popular untuk dibuat keropok sahaja.

Pada musim hujan selalunya arwah ayah akan menggali ubi setela (ubi keledek) dan ubi kayu berhampiran rumah Tok.

Bau ubi yang dibakar atau direbus amat menyelerakan. Apalagi jika dicecah dengan gula . Tak kira apa-apa makanan pun habis dimakan kerana kesejukkan hujan membuatkan perut cepat lapar.

Arwah ayah juga selalu membuat lempeng ubi kayu yang dibakar di dalam kuali dengan berlapikkan daun pisang. Enaknya bukan kepalang.

Ya...walaupun susah,  kenangan sewaktu kecilku ini,  tetap aku rindu.

Aku teringat akan satu peristiwa yang berlaku yang hampir meragut nyawa kami adik-beradik di musim tengkujuh.

Peristiwa itu berlaku pada bulan Disember tahun 1986 iaitu sewaktu aku di tingkatan 6 Atas.

Peperiksaan akhir hari itu ialah Kertas Geografi Fizikal.

Setelah peperiksaan berakhir pada petang itu, aku terus pulang dengan berjalan kaki ke rumah lebih kurang 4 kilometer jauhnya.

Di pertengahan jalan, kulihat sawah-sawah padi sudah digenangi air.

Apabila hampir sampai di kampungku, aku dapati jalan raya sudah tenggelam oleh air banjir .

Aku terpaksa menjunjung beg dan mengharung air banjir itu yang dalamnya separas paha.

Banjir di kawasan rumahku separas pinggang.

Rumah kami berhampiran sungai.

Akhirnya aku sampai juga ke rumah.

Setelah Maghrib, kelihatan banjir semakin besar. Air naik dengan derasnya mencecah lantai rumah. Ibu kelihatan sangat panik.

Ibu menyuruh ayah mencari perahu. Jiran-jiranku sudah ramai yang berpindah.

Sementara menunggu ayah meminjamkan perahu, kami berkemas mana-mana yang perlu seperti mengangkat kerusi, tv dan peti ais serta baju-baju ke atas meja yang agak tinggi.

Setelah masuk waktu Isya',  ayah akhirnya pulang dengan sebuah perahu kecil.

Emak mengarahkan aku dan adik-adikku  Yami, Jas,  Zimu dan adik Eli iaitu adik bongsu kami yang berumur setahun lebih untuk berpindah ke rumah emak saudara kami di kawasan yang agak tinggi.

Aku mendukung adikku Eli untuk masuk ke dalam perahu, manakala adikku Yami mengangkat  bakul baju adik Eli dan baju kami ke dalam perahu.

Setelah aku dan adik-adikku Yami, Jas , Zimu dan adik Eli masuk dan duduk di perut perahu, arwah ayah mula mengayuh perahu tersebut perlahan-lahan dalam kepekatan malam.

Tiba-tiba perahu kami berpusing-pusing. Rupa-rupanya kami tiba di KAWASAN AIR BERPUTAR .

Arwah ayah kelam kabut mengawal perahu supaya tidak tenggelam. Keadaan bertambah panik apabila air memenuhi perahu kami. Rupa-rupanya perahu bocor !!!

Adik-adikku , Yami dan Jas kelam kabut menimba air yang masuk ke dalam perahu kami.

Bakul baju adik Eli sudah basah separuh.

Aku memeluk adik kecilku Eli dan dalam keadaan yang panik itu aku berdoa kepada Allah. " Ya Allah ya Tuhanku, Engkau selamatkanlah adik-adikku , aku matipun tidak apa ya Allah, janji adik-adikku selamat ..tolonglah kami ya Allah..." Itulah doaku waktu itu.

Doa seorang gadis yang juga seorang kakak yang berumur 19 tahun.

Akhirnya Allah menolong kami. Dengan kekuatan kudrat yang berikan oleh Allah SWT dan setelah berhempas pulas,  akhirnya arwah ayah berjaya mengawal perahu dalam kegelapan malam itu.

Kami akhirnya selamat sampai di rumah ibu saudara kami dan bermalam di situ beberapa malam sehingga banjir surut.

******
Kini,   jika aku dan adik-adikku mengimbau kenangan lalu, air mata kami bagai tidak tertahan-tahan lagi. Kami masing-masing menangis mengingati peristiwa itu

Kalaulah arwah ayah tidak berjaya mengawal perahu bagi melawan arus air yang berputar-putar itu, mungkin perahu kami akan terbalik dan kami semua akan tenggelam dalam arus air yang deras itu.

Jika hal ini terjadi, aku tidak akan lepaskan adik kecilku  Eli yang berada kemas dalam pelukanku. Itulah tekadku waktu itu...

Subhanallah...Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang...dengan kasih sayang-Nya, Allah menyelamatkan kami adik-beradik dan ayah kami.

Kami masih hidup hingga kini... (tetapi ayah kami meninggal pada 14 Disember 2008 , setelah 20 tahun peristiwa itu berlalu)

Mengingati peristiwa itu kadang-kadang membangkitkan rasa ngeri dan sedih di hati.

Kalaulah perahu kami terbalik...kami berlima beradik mungkin akan mati.

*******

Walau apapun, ajal maut itu di tangan Tuhan.

Syukur Alhamdulillah ya Allah, kami selamat...

Subhanallah   Alhamdulillah   Allahu Akbar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan