Rabu, 22 Mei 2013

JIKA DOSA BERBAU BUSUK

Bismillahirrahmanirrahim...

Cuba anda bayangkan,   jika Allah menjadikan dosa berbau busuk !

Sudah pasti manusia tidak akan berbuat dosa kerana jika seseorang itu melakukan dosa,  pasti badannya akan berbau busuk.

Lagi banyak melakukan dosa, lagi busuk baunya.

Lagi besar dosa yang dilakukannya, lagi busuk baunya.

Jadi , jika dia ke mana-mana, orang sekeling akan menjauhinya kerana bau badannya yang busuk itu tidak menyenangkan orang sekeliling.

Apabila semua orang menjauhinya , maka sudah tentu dia akan berasa malu.

Mungkin juga lalat atau haiwan seperti lipas dan tikus yang sinonim dengan benda- benda kotor akan mengikutinya ke mana-mana.

Justeru, jika dosa berbau busuk, tentulah manusia baik-baik belaka, tidak berani melakukan dosa kerana dari bau badannya yang busuk itu, orang dapat mengesan dia telah melakukan banyak dosa.

Bagaimana pula jika pahala berbau wangi ?

Jika pahala berbau wangi , sudah tentu manusia sentiasa beribadat dan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik-baik sahaja.

Orang sekeliling pun akan berasa senang dengannya.

Ke mana-manapun dia pergi, orang berasa menyenanginya  kerana baunya yang wangi dan sudah pasti dia akan berasa gembira kerana ramai orang suka berada di sampingnya.

Tetapi semua ini tidak berlaku. Dosa tidak berbau busuk di dunia ini dan pahala tidak berbau wangi di dunia ini,   sebab itulah manusia tidak takut melakukan dosa.

Setiap masa melakukan dosa !

Malah kadang-kadang sepanjang hidupnya memang sentiasa bergelumang dengan dosa.

Hanya Allah sahajalah yang mengetahui akan hikmah sesuatu yang Dia jadikan.

Semua itu adalah ujian bagi seseorang manusia untuk menguji kekuatan iman masing-masing dan hikmah Allah jadikan syurga dan neraka.

Hikmah seterusnya adalah supaya semua manusia beriman dengan Rukun Islam dan Rukun Iman iaitu contohnya percaya kepada Rasul  iaitu percaya dan mengikut  ajaran yang dibawa oleh Rasul serta percaya kepada Hari Kiamat  iaitu percaya terhadap segala perbuatan baik dan buruk walau sebesar zarah pun akan ditimbang dan dihisab di neraca mizan kemudian akan dimasukkan ke syurga atau neraka.

Tetapi terdapat ramai manusia tidak beriman...tidak takut melakukan dosa, tidak takut akan seksa kubur dan azab api neraka walau Allah telah mengingatkannya di dalam al-Quran.

Di alam barzah nanti barulah  manusia tahu kesan keengkaran mereka dalam mamatuhi perintah Allah.

Di akhirat kelak, barulah mereka rasa akibat melakukan kemungkaran dan tidak mengikut syariat Allah seperti yang Allah terangkan semuanya di dalam al- Quran dan seperti ajaran yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW.

Allah berfirman dalam al Quran Surah al-Hadid: 16, yang bermaksud;

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?
Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, seterusnya orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antara nya orang-orang yang fasik (derhaka)".

************

"Bacalah (ya Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan, Ia menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, yang mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. Sekali-kali janganlah (disangkal nikmat Allah itu). Sesungguhnya manusia amat derhaka, kerana dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
( Ingatlah ) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima pembalasan) ..."
(Surah Al-Alaq :1-8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan