Hari itu (Jumaat) aku kurang sihat. Badan terasa lemah dan seram sejuk, bagai mahu demam rasanya, hidung pula berair selesema. Tetapi aku gagahkan juga memandu ke sekolah. Malas rasanya mahu mengambil cuti sakit atau cuti rehat khas (CRK) kerana aku fikir, jika aku cuti tentulah akan menyusahkan guru-guru lain untuk 'relief' atau menggantikan jadualku, tambahan pula pada hari Jumaat itu aku hanya ada 2 masa sahaja iaitu kelas 3KAA ( Kelas Aliran Arab).
Setelah loceng berbunyi, dengan langkah kaki yang lemah, aku berjalan juga ke blok C untuk ke kelas 3 KAA untuk mengajar.
Sudah menjadi rutin apabila kaki mencecah masuk ke dalam kelas, aku akan memberi salam manakala anak-anak muridku lantas berdiri menjawab salamku dan seterusnya kami membaca doa penerang hati bersama-sama.
Mereka hairan melihatku yang kelihatan tidak bermaya dengan hidung yang merah sebab biasanya aku sentiasa ceria.
Lantas Juwita Adawiyah menanyakan kepadaku " kenapa cikgu? Cikgu tak sihat ya?"
"Cikgu selesema la...rasa macam nak demam ni" kataku menjawab pertanyaannya.
" Cikgu rehatlah, tak payah ajar hari ini. Kami buat kerja sendiri" Kata Juwita Adawiyah lagi.
" Aaa...la cikgu ! Cikgu rehatlah..." Kata Alia Shafika menyampuk.
" Kalau cikgu tak mengajar, nanti kamu bising !" Kataku pula.
" Tak cikgu, kami tak bising! Kami buat kerja sendiri" Kata Syara pula.
" Baiklah. Kalau macam tu, kamu buat kerja sendiri dan jangan bising. " kataku lagi.
"Siapa ada minyak angin...cikgu sakit kepalalah" Aku bertanya kepada mereka lagi.
Juwita menghulurkan minyak angin kepadaku. Aku menyapunya di tepi dahi dan hujung hidung. Seketika kemudian sakit kepalaku terasa sedikit lega.
Kata Faezah "Cikgu! , Cikgu Saadon cakap kalau sakit kepala, urut tangan."
"Ya ke?" Tanyaku. " Awak boleh urut?" Tanyaku kepada Faezah.
" Boleh cikgu " kata Faezah.
Aku pun menghulurkan tangan kepada Faezah dan Faezah mengurut jari- jemariku.
Sebenarnya aku berasa agak segan juga tetapi kepalaku memang sakit, jadi fikirku, apa salahnya jika anak muridku ingin menolong.
Emm...pandai juga Faezah ini mengurut, terasa agak lega.
Apabila terasa kepalaku sedikit ringan , aku mengucapkan terima kasih kepadanya dan menyuruhnya menyiapkan kerjanya. Kesian pula aku kepadanya.
Aku duduk di meja guru, dan memerhatikan mereka membuat latihan.
Kelas sunyi sepi. Mereka betul-betul mengotakan kata. Tidak bising dan mengangguku.
Dalam hatiku berkata " prihatin juga anak-anak muridku ini...ingatkan mereka tak kisah jika guru sakit, rupa-rupanya mereka mempunyai sikap keprihatinan yang tinggi."
"Terima kasih anak-anak muridku. Cikgu bangga dengan kamu".
Kamu sememangnya anak-anak SEMRSRA yang baik. Alhamdulillah...syukur ke hadrat Allah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan